Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita memakai pelitup muka semasa tawaf dan tanah haram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya wanita yang berada dalam keadaan ihram hendaklah tidak menutupi mukanya. Hal ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

نَهَى النِّسَاءَ فِي إِحْرَامِهِنَّ عَنِ القُفَّازَيْنِ وَالنِّقَابِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang wanita yang berada dalam ihram dari memakai sarung tangan dan niqab”.

Riwayat  Abu Dawud (1827)

Namun dalam keadaan darurat atau terdapat keperluan untuk menutup muka maka pada ketika itu adalah dibenarkan seperti untuk mencegah wabak penyakit dan sebagainya. Hal sedemikian sebagaimana satu kaedah yang menyatakan:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Yang darurat (keadaan terpaksa) membolehkan perkara yang dilarang.” (Lihat al-Qawaid wa al-Dhawabit al-Fiqhiyyah al-Mutadhamminah li al-Taisir, 1/287).

Dar al-Ifta al-Misriyyah menyatakan bahawa: Tidak ada halangan syarak bagi seorang wanita untuk memakai pelitup muka perubatan untuk mengelakkan jangkitan semasa beliau dalam keadaan ihram untuk umrah atau haji, dan tidak ada fidyah yang wajib atasnya kerana itu. Ini kerana pelitup muka perubatan bukanlah dari jenis niqab atau tudung muka yang dilarang semasa ihram; kerana pelitup muka perubatan itu pada asalnya bukanlah untuk menutup muka.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18369/% Diakses pada 25 Mac 2024

Leave a Reply