Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Abu Hanifah terkenal dengan ketaatan kepada ibunya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra’: 23)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

Menjawab persoalan di atas, sejarah ibu Imam Abu Hanifah tidak terkenal di kalangan ahli-ahli sejarah. Namun, beliau turut menghormati dan sangat taat kepada ibunya. Beliau pernah membawa ibunya ke majlis-majlis atau perhimpunan ilmu pengetahuan. Beliau pernah bertanya mengenai sesuatu masalah atau hukum untuk menunaikan permintaan ibunya.

Beliau berpendapat bahawa taat kepada ibu dan bapa adalah salah satu sebab mendapat keberkatan dan sebaliknya akan membawa kesesatan.

Abu Yusuf menceritakan bahawa Imam Abu Hanifah pernah membawa ibunya bersama-sama di atas keldai untuk hadir ke majlis ilmu Umar bin Zar sebagai menunaikan kehendak ibunya. Beliau berkata: “Adakala aku pergi ke majlis Umar bin Zar untuk bertanya beberapa masalah yang ibuku ingin ketahui. Manakala beliau ditanya, mengapakah beliau bertanya? Maka jawabnya: Ibuku meminta aku bertanya.

Umar bin Zar berkata kepada Imam Abu Hanifah: “Engkau bertanya kepadaku tentang masalah itu, padahal engkau lebih mengetahuinya daripadaku.” Beliau menjawab: “Ibuku menyuruhku bertanya.” Umar berkata kepada Abu Hanifah: “Jawablah soalan itu supaya aku dapat memberitahu kepadamu.” Imam Abu Hanifah pun menjawab dan pulang ke rumah serta menceritakan kepada ibunya tentang jawapan daripada Umar.

Pada suatu ketika, ibunya meminta pendapat tentang satu hukum, lalu beliau pun memberikan pendapatnya. Ibunya tidak menerima pendapatnya dan ibu berkata: “Aku tidak akan menerima pendapat selain daripada Zar’ah al-Qas.” Ibunya meminta beliau membawanya berjumpa Zar’ah, lalu beliau berkata: “Ibuku ingin meminta pendapat mengenai hukum ini.

Zar’ah berkata: “Engkau lebih mengetahui maksudnya daripadaku. Maka jawablah.” Imam Abu Hanifah memberitahu Zar’ah bahawa: “Aku telah memberikan pendapatku, tetapi ibuku enggan menerimanya.” Zar’ah pun berkata kepada ibunya bahawa hukum tentang masalah ini adalah sebagaimana yang dikatakan oleh imam Abu Hanifah.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Leave a Reply