Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Manakah lebih baik, membaca surah pendek secara sempurna atau sebahagian ayat daripada surah yang panjang ketika bacaan surah selepas surah al-Fatihah dalam solat? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah riwayat daripada Abu Umamah al-Bahili R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya:Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat sebagai pemberi syafaat kepada para pembacanya.”

Riwayat Muslim (804); riwayat al-Tabarani dalam Mu‘jam al-Kabir (7542); riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4056); riwayat Ahmad (22146).

Menurut al-Munawi dalam  al-Taisir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, (1/193) lafaz “لأَصْحَابه” di dalam hadith ini, merujuk kepada para pembacanya. Namun, sekadar membaca al-Quran semata-mata adalah tidak cukup untuk memperoleh syafaat dengannya, kerana mestilah bersama bacaan itu, amalan (yakni beramal dengan isi kandungannya) sebagaimana yang ditunjukkan dalam hadith lain, di mana di dalamnya ada menyatakan, “الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ” (yakni mereka yang mengamalkannya di dunia dahulu).[1]

Dapat difahami daripada lafaz, “الَّذِينَ كانوا يَعْمَلُونَ بِهِ” bahawa sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak beramal dengannya, maka mereka tidak termasuk dalam kalangan ahli al-Quran. Bukan itu sahaja, al-Quran juga tidak akan memberi syafaat kepada mereka, bahkan al-Quran itu pula menjadi hujah ke atas mereka — dan bukannya hujah buat mereka. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 4/1461)

Pada asasnya, membaca surah atau ayat-ayat al-Quran selepas bacaan surah al-Fatihah termasuk dalam perkara sunat dan menyempurnakan lagi pahala solat tersebut. Malah, al-Khatib al-Syirbini menjelaskan lagi dengan menyebutkan bahawa membaca surah selepas bacaan al-Fatihah adalah sunat sekalipun pendek pada dua rakaat yang awal oleh imam atau orang yang mendirikan solat secara bersendirian,

Tambahan lagi, Ibn Hajar al-Haitami ada menyebutkan bahawa asal pahala sunatnya — yakni bacaan al-Quran selepas al-Fatihah — dapat diperolehi dengan hanya membaca satu ayat. Bahkan sebahagian daripada ayat itu sekiranya bermanfaat — yakni memberi makna. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika dapat membaca tiga ayat — sekurang-kurangnya. Manakala jika dapat membaca satu surah secara sempurna pula adalah lebih baik berbanding membaca sebahagian ayat daripada surah yang panjang. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/51-52)

Hal ini adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Qatadah bahawa:

كانَ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ والعَصْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ، وسُورَةٍ سُورَةٍ، ويُسْمِعُنا الآيَةَ أحْيانًا

Maksudnya:Nabi SAW membaca di dalam dua rakaat yang pertama solat Zohor dan Asar Surah al-Fatihah dan surah surah — iaitu di rakaat pertama dan kedua — serta Baginda kadang-kadang memperdengarkan kepada kami ayat yang dibacanya.

Riwayat al-Bukhari (762); Muslim (451)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas dengan menyebutkan, padanya menunjukkan bahawa membaca surah yang pendek secara sempurna adalah lebih baik berbanding membaca ayat-ayat daripada surah yang panjang mengikut kadarnya — yakni kadar surah yang pendek itu — kerana disunatkan bagi Qari untuk memulakan bacaannya daripada permulaan ayat yang saling berkaitan (dalam sesuatu topik) dan berhenti pada bahagian penghabisan perkara yang berkaitan itu. Boleh jadi perkaitan atau perkara yang menghubungkan antara ayat-ayat al-Quran ini tersembunyi kepada kebanyakan atau ramai orang. Oleh itu, disunatkan kepada mereka untuk melengkapkan bacaan surah tersebut agar dapat mengelakkan daripada berhenti pada suatu ayat tanpa perkaitannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/174)

Meskipun begitu, membaca sebahagian ayat daripada surah yang panjang hukumnya adalah diharuskan. Hal ini dapat dilihat melalui kenyataan Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya bahawa di antara petunjuk Nabi SAW adalah membaca surah secara lengkap (selepas al-Fatihah di dalam rakaat solat), boleh jadi Baginda membacanya di dalam dua rakaat, dan boleh jadi juga Baginda membaca ayat pada awal surah. Adapun membaca ayat-ayat pada akhir surah atau pertengahannya, tidak pernah diriwayatkan daripada Baginda. Begitu juga, membaca dua surah dalam satu rakaat, Baginda SAW hanya melakukannya di dalam solat sunat manakala di dalam solat fardhu, tidak pernah diriwayatkan daripada Baginda — yakni membaca dua surah dalam satu rakaat. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 1/208)

Namun, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma yang menceritakan bahawa :

أنَّ رَسولَ اللهِ ﷺ، كانَ يَقْرَأُ في رَكْعَتَيِ الفَجْرِ في الأُولى منهما: (قُولوا آمَنّا باللَّهِ وَما أُنْزِلَ إلَيْنا) الآيَةَ الَّتي في البَقَرَةِ، وفي الآخِرَةِ منهما: (آمَنّا باللَّهِ واشْهَدْ بأنّا مُسْلِمُونَ) وفي رواية: (تَعالَوْا إلى كَلِمَةٍ سَواءٍ بيْنَنا وبيْنَكُمْ)

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah membaca di dalam rakaat pertama solat subuh: {قُولوا آمَنّا باللَّهِ وَما أُنْزِلَ إلَيْنا} iaitu ayat yang terdapat di dalam surah al-Baqarah, dan di dalam rakaat kedua: {آمَنّا باللَّهِ واشْهَدْ بأنّا مُسْلِمُونَ}. Selain itu, terdapat dalam riwayat yang lain: {تَعالَوْا إلى كَلِمَةٍ سَواءٍ بيْنَنا وبيْنَكُمْ }.”

Riwayat Muslim (727)

Al-Syaukani menyebutkan,hadith di atas menunjukkan bahawa hukumnya adlah harus untuk membaca sebahagian ayat daripada surah di dalam rakaat-rakat solat. (Lihat Nail al-Autar, 2/267)

Kesimpulannya

Oleh itu, kami berpendapat bahawa membaca surah secara lengkap sekalipun pendek di dalam rakaat selepas bacaan al-Fatihah adalah lebih baik dan afdhal, berbanding membaca sebahagian ayat sahaja daripada mana-mana surah. Hal ini kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga perkaitan dan topik yang dibawakan di dalam ayat-ayat al-Quran. Selain itu juga, ramai orang tidak nampak atau tidak tahu perkaitan antara ayat-ayat al-Quran yang dibacakan itu menyebabkan boleh jadi mereka berhenti pada tempat yang tidak diharuskan untuk berhenti atau topiknya masih lagi tergantung — yakni belum lagi habis dibicarakan — sebagaimana yang difahami menerusi kata-kata Imam al-Nawawi.

Sekalipun begitu, membaca sebahagian ayat-ayat daripada surah di dalam solat hukumnya adalah diharuskan dan tetap mendapat pahala sunat sekalipun dengan hanya membaca satu ayat daripadanya. Namun, sebaik-baiknya adalah membaca sekurang-kurangnya tiga ayat sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[1] Riwayat Muslim (805); riwayat Ahmad (17637); riwayat al-Tirmizi (2883); riwayat Abu ‘Awanah dalam mustakhrajnya (3934).

Leave a Reply