Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Abu Hanifah tidak menerima jawatan daripada Khalifah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Maksudnya: “Oeh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”
Surah al-Taubah (122)
Ibn al-Arabi berkata: Makna umum ayat ini, yakni kepada hak sesiapa yang datang selepas wafat Nabi SAW, ialah bahawa bukan umat islam perlu keluar berjihad kesemuanya tetapi hendaklah sebahagian mereka bertafaqquh (mendalami ilmu) dalam agama. Kemudian mereka pulang kepada kaumnya untuk ajar mereka. Justeru menuntut ilmu diasingkan daripada jihad fi sabilillah sedangkan jihad merupakan jalan kemuncak islam itu sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/601)
Menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan tentang penolakan Imam Abu Hanifah terhadap jawatan qadhi yang ditawarkan kepadanya oleh al-Mansur, antara yang kisah yang disebut ialah:
Kerajaan telah memaksa Imam Abu Hanifah supaya menjadi qadi semasa pemerintahan Marwan, tetapi beliau enggan menerimanya. Mereka memukul kepalanya dengan kuat. Setelah dibebaskan, beliau tidak bimbang akan penahanan atau pukulan, bahkan katanya: “Bahawa kerunsingan aku terhadap ibuku lebih sakit dan pedih daripada pukulan di kepalaku.”
Mengikut riwayat pernah Ibn Habirah mahu melantiknya menjadi qadi di Kufah sehingga diugut akan dipukul di kepala dan dipenjara tetapi dengan tegas Imam Abu Hanifah berkata: “Pukulannya terhadapku hanya di dunia lebih ringan daripada hukuman dengan besi-besi di hari akhirat. Demi Allah SWT aku tidak akan menerimanya sekalipun dia membunuhku.”
Dalam kitab al-Manaqib oleh Ibn al-Bazzazi disebutkan bahawa: Abu Ja’far memenjarakan Abu Hanifah dengan syarat agar beliau menerima jawatan sebagai qadhi dan menjadi ketua qadhi, tetapi Abu Hanifah menolak sehingga beliau dipukul dengan seratus sepuluh kali sebatan. Kemudian beliau dibebaskan dari penjara dengan syarat beliau harus tinggal di rumah dan diminta untuk memberi fatwa. Walau bagaimanapun, ketika ditanya untuk memberikan fatwa, beliau menolak untuk melakukannya. Maka diperintahkan supaya beliau dikembalikan ke penjara dan mereka memberikan tekanan yang sungguh dasyat kepada Imam Abu Hanifah. (Lihat Manaqib Ibn al-Bazzazi, 2/19 )
Begitu juga dalam Tarikh Baghdad, diceritakan: Abu Ja’far ingin melantik Abu Hanifah,sebagai qadhi tetapi Abu Hanifah menolak. Abu Ja’far bersumpah agar beliau melakukannya, tetapi Abu Hanifah bersumpah untuk tidak melakukannya. Al-Rabi’ al-Hajib berkata: “Tidakkah engkau lihat Amir al-Mu’minin bersumpah?” Abu Hanifah menjawab: “Amir al-Mu’minin lebih dikhendaki melakukan kafarah sumpahnya daripada aku,” dan beliau menolak untuk menerima jawatan tersebut. Maka beliau diperintahkan untuk dipenjarakan. Al-Rabi’ bin Yunus juga menyatakan: “Aku melihat Amir al-Mukminin berunding dengan Abu Hanifah tentang urusan kehakiman. Abu Hanifah berkata: ‘Bertakwalah kepada Allah dan janganlah engkau memberikan amanahmu kecuali kepada orang yang takut kepada Allah. Demi Allah, aku bukanlah orang yang boleh dipercayai dalam keadaan akau redha untuk menerima jawatan ini, bagaimana mungkin aku boleh dipercayai ketika mana aku tidak menyukainya? Jika penghakiman ditujukan kepadamu dan kemudian engkau mengancamku untuk membenamkan aku di Sungai Furat atau menerima jawatan tersebut, aku akan memilih untuk tenggelam. Engkau memiliki sekumpulan orang yang memerlukan penghormatan daripada engkau, maka aku bukanlah orang yang layak. Amir al-Mu’minin berkata kepadanya:’Engkau berbohong, engkau memang layak. ‘Abu Hanifah menjawab: ‘Kau sendiri sudah memutuskan hukumanmu, bagaimana mungkin engkau melantik qadhi atas amanahmu sedangkan dia itu seorang pembohong?!” (Lihat Tarikh Baghdad, 13/237)
Pelbagai riwayat mengenai ujian yang ditimpakan oleh al-Mansur terhadap Abu Hanifah. Perbezaan jawapan antara Abu Hanifah dan al-Mansur dalam pelbagai riwayat tidak menunjukkan pertentangan, tetapi menunjukkan bahawa situasinya telah berubah dan pendapat-pendapatnya telah berbeza-beza. Kadang-kadang beliau diseru untuk menjadi qadhi dan kemudian memberi fatwa. Kadang-kadang perbicaraan dipertikai tentang penolakannya terhadap pemberian, dan dalam majlis yang lain pula, al-Mansur menekannya untuk menjadi qadhi dan Abu Hanifah menolaknya, dengan memilih untuk tenggelam di Sungai Furat daripada menerima jawatan tersebut walaupun dipaksa memilih di antara dua pilihan itu. Ada ketika, al-Mansur bersumpah kepadanya agar menerima jawatan sebagai qadhi, tetapi Abu Hanifah bersumpah untuk tidak menerimanya. Perselisihan di antara mereka berakhir dengan penjara setelah dihasut oleh Rabi‘ bin Yunus, penasihat al-Mansur. Khalifah Abu Ja‘far al-Mansur dan Abu Hanifah adalah permusuhan atau lebih tepatnya kebencian yang ditunjukkan olehnya kepada Abu Hanifah. (Lihat Abu Hanifah al-Nu’man Imam A’immah al-Fuqaha’, hlm. 362-363)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)