Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang perlu dilakukan jemaah setelah memasuki kawasan tanah haram?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Taudhih Syarh al-Idhah (hlm. 142-147), terdapat beberapa amalan yang digalakkan bagi mereka yang memasuk kawasan tanah haram, antaranya:
Pertama: Menjadikan Masjidil Haram sebagai destinasi pertamanya, bagi tujuan mengerjakan tawaf qudum. Ummu al-Mukminin ‘Aisyah R.Anha berkata:
أَنَّهُ أَوَّلُ شَيْءٍ بَدَأَ بِهِ حِينَ قَدِمَ أَنَّهُ تَوَضَّأَ، ثُمَّ طَافَ بِالْبَيْتِ
Maksudnya: “Perkara pertama yang didahulukan oleh Baginda ketika tiba (di Makkah) ialah, Baginda berwuduk, kemudian melaksanakan tawaf di Baitullah.”
Riwayat al-Bukhari (1641) dan Muslim (1235)
Kedua: Memasuki tanah haram Makkah dari al-Thaniyyah al-‘Ulya, iaitu Kada’ (كَدَاءُ), kawasan ‘Aqabah kecil yang terletak di bahagian atas Makkah berhampiran al-Muhassad. Kemudian disunatkan untuk pulang ke negara asal melalui al-Thaniyyah al-Sufla, iaitu Kudan (كُدًى), kawasan yang terletak di sebelah bawah Makkah berhampiran dengan Zi Tuwa. Ia sekarang merupakan jalan Hajun.
Ini Thabit sebagaimana dalam hadith Ibn ‘Umar R.A, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ مِنَ الثَّنِيَّةِ العُلْيَا، وَيَخْرُجُ مِنَ الثَّنِيَّةِ السُّفْلَى
Maksudnya: “Rasulullah SAW memasuki Makkah melalui al-Thaniyyah al-‘Ulya dan keluar melalui al-Thaniyyah al-Sufla.”
Riwayat al-Bukhari (1575) dan Muslim (1257)
Ketiga: Berdoa semasa memasuki Masjidil Haram:
اللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu buatku.”
Riwayat Muslim (713)
Keempat: Ketika mata tertancap melihat Kaabah, disunatkan membaca doa:
اللَّهُمَّ زِدْ هَذَا الْبَيْتَ شَرَفًا وَتَعْظِيمًا وَمَهَابَةً وَتَكْرِيمًا، وَزِدْ مِنْ شَرَفِهِ وَعَظَمَةً مِمَّنْ حَجَّهُ أَوْ اعْتَمَرَ تَشْرِيفًا وَتَعْظِيمًا وَتَكْرِيمًا وَمَهَابَةً
Maksudnya: “Ya Allah tambahkanlah Baitullah ini dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan, kebaikan, dan tambahkanlah kurnia-Mu kepada sesiapa juga yang memuliakannya (Baitullah) dan membesarkannya dari kalangan yang mengerjakan haji dan umrah dengan kemuliaan, kebesaran dan kebajikan.”
Seterusnya, diikuti dengan solat sunat 2 rakaat. Akan tetapi, jika jemaah dalam keadaan berihram, maka dia menjadikan Tawaf Qudum atau Tawaf Umrah sebagai permulaan.
Digalakkan juga untuk melakukan tawaf sunat sekerap yang mungkin, begitu juga solat sunat, baca al-Quran, i‘tikaf, mendapatkan keberkatan dengan minum air zamzam, mengingati Allah SWT dengan perbanyakkan berzikir, selawat atas Rasulullah SAW, istighfar dan banyak lagi amalan lain.
Kami juga menasihatkan agar jemaah mengelakkan daripada banyak bermain dengan peranti pintar, seperti berswafoto, bercakap-cakap di telefon tanpa keperluan, atau mengambil gambar persekitaran sehingga hilang daripada fokus dan tujuan asalnya menziarahi Baitullah itu.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”