Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. benarkah Imam Syafii terkenal dengan sikap pemurah
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
السَّخِيُّ قَرِيبٌ مِنَ اللَّهِ، قَرِيبٌ مِنَ الْجَنَّةِ، قَرِيبٌ مِنَ النَّاسِ، بَعِيدٌ مِنَ النَّارِ. وَالْبَخِيلُ بَعِيدٌ مِنَ اللَّهِ، بَعِيدٌ مِنَ الْجَنَّةِ، بَعِيدٌ مِنَ النَّاسِ، قَرِيبٌ مِنَ النَّارِ. وَلَجَاهِلٌ سَخِيٌّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ عَابِدٍ بَخِيلٍ
Maksudnya: “Orang yang pemurah dekat dengan Allah SWT, dekat dengan manusia, dekat dengan syurga, jauh daripada neraka. Sedangkan orang yang bakhil dan kedekut, jauh daripada Allah, jauh daripada manusia, jauh daripada syurga dan hampir dengan neraka. Orang jahil yang pemurah lebih dicintai oleh Allah SWT daripada ‘abid yang bakhil.”
Riwayat al-Tirmizi (1961)
Berikut diceritakan beberapa peristiwa dan kenyataan daripada mereka yang terlibat dengan Imam al-Syafi‘i tentang betapa pemurahnya beliau semasa hayatnya. Di antara muridnya yang paling banyak meriwayatkan tentang sifat pemurahnya Imam al-Syafi‘i ialah al-Rabi‘ bin Sulaiman. Kami himpunkan kenyataannya di sini:
Pertama, al-Rabi‘ bin Sulaiman berkata, “Kami sering mendengar kisah-kisah orang dermawan. Di Mesir, terdapat ramai orang dermawan dan pemurah. Namun, kami tidak pernah melihat seperti Imam al-Syafi‘i. Kami tidak pernah mendengar orang yang menyamai kemurahan beliau pada masanya. (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 2/235).
Kedua, Al-Rabi‘ berkata kepada Imam al-Syafi‘i: “Saya telah berkahwin.” Lalu beliau bertanya: “Berapa banyak kamu berikan maharnya?” Saya menjawab: “Tiga puluh dinar.” Beliau bertanya lagi: “Berapa yang kamu berikan kepadanya (selain daripada mahar)?” Saya menjawab: “Enam dinar.” Lalu beliau terus naik ke rumahnya dan mengirim kepada saya satu uncang duit yang berisi dua puluh empat dinar. Beliau juga turut memberi kepadaku tanggungjawab untuk melaungkan azan di Masjid Jami‘ pada tahun 201 Hijrah. (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 2/225).
Ketiga, setiap hari, Imam al-Syafi‘i selalu bersedekah semampunya. Al-Rabi‘ berkata, “Imam al-Syafi‘i tidak pernah melalui satu hari tanpa bersedekah. Beliau selalu bersedekah pada malam hari. Pada bulan Ramadhan, beliau memperbanyakkan sedekah dengan wang dan pakaian, memberi makan fakir miskin dan orang-orang yang lemah. Beliau sangat prihatin dengan keadaan mereka. Beliau sering bertanya keadaan orang yang beliau kenali, lalu memberi bantuan kepada mereka. (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 2/284).
Keempat, setiap kali orang melakukan sesuatu kebaikan kepadanya, Imam al-Syafi‘i sentiasa membalas kebaikan itu sebanyak-banyaknya. Setelah itu, beliau meminta maaf kerana tidak mampu memberikan lebih banyak lagi. Suatu hari, seseorang memegangkan tali kudanya. Imam al-Syafi‘i lalu berkata kepada al-Rabi‘, “Wahai Rabi‘, berikanlah kepadanya empat dinar dan mintakan maaf dari pihakku.” (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 2/220).
Kelima, Imam al-Syafi‘i sangat malu jika ada seseorang yang meminta sesuatu daripadanya. Al-Rabi‘ berkata, “Apabila seseorang meminta daripada Imam al-Syafi‘i, wajah beliau menjadi merah kerana malu kepada peminta itu. Beliau akan segera memberikan apa yang dimintanya. Suatu hari, beliau berada di tengah jalan apabila seseorang meminta sesuatu daripadanya. Raut wajah beliau berubah. Beliau berkata, ‘Di manakah tempat tinggalmu?’ Apabila Imam al-Syafi‘i tiba di rumahnya, beliau segera mengirimkan apa yang diminta itu kepadanya.” (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 2/235; Lihat juga Mengenali Imam al-Syafi‘i oleh Dr. Umar Muhammad Noor, hlm. 34-35).
Keenam, Al-Rabi‘ berkata, “Suatu ketika, Imam al-Syafi‘i sedang menunggang keldainya melalui pasar tukang-tukang besi. Tiba-tiba, tali cemeti beliau terjatuh dari tangannya. Lantas seorang lelaki menerpa (ke arah cemeti beliau itu, mengambil) serta menyapunya dengan tangannya, dan mengembalikan kepada Imam al-Syafi‘i. Lalu Imam al-Syafi‘i berkata kepada pembantunya, ‘Berilah kepadanya beberapa dinar yang ada pada kamu.’ Aku tidak ingat sama ada tujuh atau sembilan dinar.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 121; Manaqib al-Imam al-Syafi‘i oleh al-Munawi, hlm. 119).
Ketujuh, Al-Rabi‘ menceritakan lagi, “Pada suatu hari, kami bersama-sama Imam al-Syafi‘i. Kemudian, tali capalnya telah terputus. Lalu ia dibaiki oleh seorang lelaki. Imam al-Syafi‘i pun berkata, ‘Wahai al-Rabi‘, adakah bersama kamu sesuatu yang baki daripada perbelanjaan kita?’ Aku menjawab, ‘Ya.’ Beliau bertanya, ‘Berapa?’ Aku menjawab, ‘Tujuh dinar.’ Beliau berkata, ‘Berilah kepadanya.’” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh Imam al-Nawawi, 1/58).
Kelapan, al-Rabi‘ berkata: “Imam al-Syafi‘i telah mengadakan walimah. Apabila tiba masanya orang akan menjamah makanan, al-Buwaiti berkata kepadaku, ‘Duduk dan makanlah.’ Lalu aku bertanya, “Siapa yang mengizinkan kita makan?” Pertanyaan ini didengari oleh Imam al-Syafi‘i, lalu beliau berkata, ‘Subhanallah, kamu (sentiasa) berada dalam keadaan halal pada semua hartaku.’” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 124).
Kesembilan, al-Rabi‘ menceritakan lagi: “Beliau (Imam al-Syafi‘i) melihatku menulis hisab perbelanjaannya, lalu beliau berkata, ‘Tidak usahlah menghabiskan kertas kamu pada perkara yang tidak berguna. Aku tidak akan melihat hisab kami.’ Aku berkata, ‘Ummu Abi al-Hasan, boleh jadi (dia) akan meminta kepadaku untuk membelinya sesuatu, sedangkan tuan tidak mengizinkanku?’ Beliau menjawab, ‘Wahai orang yang lama tidurnya. Kamu berada dalam keadaan halal pada semua hartaku.’” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 125)
Kesepuluh, al-Rabi‘ turut menyebutkan, “Tidak ada suatu hari yang dilalui tanpa bersedekah. Beliau bersedekah pada malam hari, khususnya pada bulan Ramadhan. Beliau mencari orang-orang fakir miskin dan orang yang dha’if (lemah). Meskipun nafkah untuk ahli keluarganya datang daripada kemurahan para peniaga dan orang kaya, beliau masih sebagai seorang yang paling pemurah dalam apa-apa sahaja majlis.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 123).
Kesebelas, al-Humaidi berkata, “Suatu ketika, Imam al-Syafi‘i tiba dari San’a’ (Yaman), dan beliau membawa bersamanya wang berjumlah sepuluh ribu dinar. Lalu beliau membentang khemahnya di luar kota Makkah. Orang ramai sentiasa datang menziarahinya, lalu wangnya itu habis diagihkan kepada mereka kesemuanya. (Lihat Manaqib al-Syafi‘i oleh al-Baihaqi, 2/220; Tawali al-Ta’sis, hlm. 123; Sifat al-Safwah, 2/145).
Kedua belas, al-Humaidi berkata, “Ketika Imam al-Syafi‘i tiba (di Mesir), beliau memiliki tiga ribu dirham. Kemudian, beliau diziarahi oleh anak-anak buah bapa saudaranya dan orang lain. Beliau pun memberikannya kepada mereka sehingga apabila beliau bangun, tidak ada apa lagi yang tinggal bersamanya.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 68; Manaqib al-Imam al-Syafi‘i oleh al-Munawi, hlm. 120).
Ketiga belas, betapa pemurahnya Imam al-Syafi‘i seperti yang dinyatakan oleh al-Muzani: Suatu hari, aku menziarahi Imam al-Syafi‘i dan bersamanya. Tiba-tiba seorang jiran beliau yang bekerja sebagai tukang jahit menziarahinya. Imam al-Syafi‘i memintanya untuk membaiki butang bajunya. Orang itu lalu melakukannya. Kemudian Imam al-Syafi‘i memberikan satu dinar emas kepada jirannya. Lantas tukang jahit itu melihat wang tersebut sambil tersenyum. Imam al-Syafi‘i berkata: “Ambillah. Sekiranya kami memiliki lebih daripada itu, kami akan memberikannya untukmu.” Jirannya berkata, “Semoga Allah kekalkan tuan. Aku datang ke sini semata-mata untuk mengucapkan salam kepadamu.” Imam al-Syafi‘i berkata: “Kalau begitu kamu adalah seorang tetamu yang datang berziarah. Tidak sopan untukku gunakan tetamu yang datang berziarah.”
Keempat belas, al-Muzani dalam satu riwayat menyebut: “Pada suatu hari, aku bersama-sama Imam al-Syafi‘i melalui satu kawasan memanah. Seorang lelaki sedang memanah dengan menggunakan alat pemanah ‘Arab. Imam al-Syafi‘i berhenti untuk melihatnya. Lelaki itu adalah seorang yang pandai memanah. Beberapa panahnya menepati sasaran. Imam al-Syafi‘i berkata kepadanya, ‘Baguslah. Semoga kamu diberkati (Allah).’ Lalu beliau bertanya kepadaku, ‘Kamu ada membawa sesuatu?’ Aku menjawab, ‘Aku hanya mempunyai tiga dinar sahaja.’ Lalu beliau berkata, ‘Berikanlah kepadanya dan mohonlah kemaafannya kerana aku tidak memiliki selain daripada itu.’ (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 122; Manaqib al-Imam al-Syafi‘i oleh al-Munawi, hlm. 119).
Kelima belas, Imam al-Syafi‘i adalah seorang yang sangat pemurah. Jika ada sesiapa yang datang meminta sesuatu kepadanya, beliau akan terus memberinya. Begitu juga apabila beliau mendapat hadiah pemberian khalifah, jika hadiah itu berupa wang, beliau tidak menggunakannya semata-mata untuk keperluan dirinya sahaja. Beliau akan berikan juga kepada orang ramai dan sesiapa yang beliau temui memerlukan wang.
Keenam belas, diriwayatkan pernah Khalifah al-Rasyid mengirim kepada beliau sebanyak 5,000 dinar. Sebaik sahaja menerima pemberian itu, Imam al-Syafi‘i segera membahagikannya kepada orang ramai sehingga yang tinggal di dalam poket jubahnya hanyalah 100 dinar.
Ketujuh belas, Muhammad bin Abdullah al-Misri berkata, “Adalah Imam al-Syafi‘i itu seorang insan yang sangat dermawan.
Kelapan belas, ‘Amr bin Sawad al-Sirji berkata, “Imam al-Syafi‘i adalah seorang gemar menderma dari apa pun yang ia milikinya.” Beliau berkata lagi: “Imam al-Syafi‘i merupakan seorang yang paling pemurah dengan dinar, dirham dan makanan.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh Imam al-Nawawi, 1/57; Tawali al-Ta’sis, hlm. 121).
Kesembilan belas, Ibn ‘Abd al-Hakam berkata, “Imam al-Syafi‘i adalah seorang yang paling pemurah dengan apa yang dimilikinya.” (Lihat Tawali al-Ta’sis, hlm. 68; al-Imam al-Syafi’i: Faqih al-Sunnah al-Akbar oleh ‘Abd al-Ghani al-Daqir, hlm. 369).
Kedua puluh, Imam al-Syafi‘i sendiri pernah berkata, “Aku belum pernah memiliki kegagalan, tidak memiliki sesuatu apa pun, sehingga aku mesti menjual semua perhiasan milik isteriku dan puteri kesayanganku.”
Kedua puluh satu, jika seseorang meminta daripadanya, maka Imam al-Syafi‘i akan berasa malu jika tidak memberi. Suatu hari, seseorang datang mengadu tentang kesukaran hidup yang sedang dialaminya. Pada ketika itu, Imam al-Syafi‘i tidak memiliki apa-apa selain satu dinar. Beliau lalu memberikan semua wang itu kepadanya. Seseorang berkata, “Andai engkau berikan satu atau dua dirham, tentulah mencukupi baginya. Mengapa engkau berikan satu dinar?” Imam al-Syafi‘i menjawab, “Aku malu apabila seseorang meminta sesuatu kepadaku, dan aku memiliki kemampuan untuk membantunya, namun aku tidak memberinya.” (Lihat Manaqib al-Syafi‘i, 2/225).
Kedua puluh dua, ‘Abd al-Rahman bin Muhammad berkata: Aku mendengar bapaku berkata, “Kami keluar bersama-sama Imam al-Syafi‘i menuju ke Mesir. Lalu kami memasuki Harran. Pada waktu itu, didapati rambutnya sudah pun panjang. Maka, Imam al-Syafi’i pun memanggil tukang gunting untuk memendekkan rambutnya. Setelah itu, beliau memberikan kepada tukang gunting itu sebanyak lima puluh dinar.” (Lihat Manaqib al-Syafi‘i oleh al-Razi, hlm. 128; Manaqib al-Imam al-Syafi‘i oleh al-Munawi, hlm. 119).
Kedua puluh tiga, al-Buwaiti berkata, “Semasa Imam al-Syafi‘i tiba di Mesir, Permaisuri Zubaidah (isteri Khalifah Harun al-Rasyid) telah menghantar kepadanya satu bungkusan yang mengandungi pakaian biasa dan bersulam. Lalu, Imam al-Syafi‘i mengagihkannya kepada orang ramai.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh Imam al-Nawawi, 1/58)
Kedua puluh empat, Abu Sa’d berkata: “Imam al-Syafi‘i adalah seorang yang paling pemurah. Beliau telah membeli seorang hamba perempuan yang mahir memasak dan membuat kuih. Beliau berkata kepada kami, ‘Nikmatilah apa yang kamu suka. Sesungguhnya aku telah membeli seorang hamba perempuan yang tahu membuat apa yang kamu mahu.’ Lalu sebahagian kami berkata, ‘Buatlah hari ini bahagian dan bahagian,’ dan kami sentiasa menyuruhnya memasak apa-apa yang kami mahu, dan beliau (Imam al-Syafi‘i) gembira dengan keadaan demikian.” (Lihat Manaqib al-Syafi‘i oleh al-Baihaqi, 2/222; Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat oleh Imam al-Nawawi, 1/58).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”