Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah rakan kepada Imam Syafi’i juga melakukan sifat pemurah terhadap Imam Syafi’i?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Talhah bin ‘Ubaidullah bin Kariz, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ جَوَّادٌ يُحِبُّ الْجُودَ، وَيُحِبُّ مَعَالِيَ الْأَخْلَاقِ، وَيَكْرَهُ سَفْسَافَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha Pemurah; Dia sangat kasih kepada orang yang pemurah. Allah juga mengasihi akhlak yang mulia dan Allah membenci akhlak yang buruk.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (13/288), al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq (hlm. 190), Ibn Abi al-Dunya dalam Makarim al-Akhlaq (hlm. 19) dan Abu Nu‘aim dalam Hilyah al-Auliya‘ (5/28). Al-‘Iraqi dalam Takhrij al-Ihya’ (3/302) menyatakan hadith ini mursal. Manakala dalam Sahih al-Jami‘ (1744), hadith ini dinilai sebagai sahih.

Diriwayatkan bahawa tatkala Imam al-Syafi‘i sakit di Mesir yang membawa kepada kematiannya, dia mengatakan, “Suruhlah si fulan yang memandikan aku.” Tatkala Imam al-Syafi‘i telah meninggal dunia, maka sampailah kepada orang tadi, berita tentang kewafatannya. Ketika orang itu telah datang, lalu dia mengatakan, “Berikanlah kepadaku catatan al-Imam al-Syafi‘i.”

Lalu diberikan kepadanya dan dilihatnya. Tiba-tiba dijumpai bahawa Imam al-Syafi‘i mempunyai hutang sebanyak tujuh puluh ribu dirham. Maka orang tadi menulis hutang tersebut menjadi hutangnya, dan lalu dibayarnya sambil berkata, “Inilah pemandianku terhadap Imam al-Syafi‘i.”

Abu Sa’id al-Harkusyi berkata: “Tatkala aku datang di Mesir, aku mencari tempat tinggal lelaki itu. Lalu mereka menunjukkan kepadaku tempat tinggalnya. Maka aku melihat sekumpulan cucu-cucunya dan aku berkunjung kepada mereka. Lalu aku melihat pada mereka, tanda kebajikan dan bekas-bekas kemuliaan. Maka aku mengatakan, Telah sampai bekasnya pada kebajikan kepada mereka dan telah lahir barakahnya pada mereka, berdalilkan firman Allah SWT:

وَكَانَ أَبُوهُمَا صَالِحًا

Maksudnya: “Dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.”

(Surah al-Kahfi: 82)

(Lihat al-Mustajad, hlm. 51; Ihya’ Ulum al-Din, 4/460)

Penulis tidak mampu untuk menyebut banyak lagi mauqif Imam al-Syafi‘i kerana ruangan yang terhad, tetapi Insyaallah akan dibincangkan dengan lebih terperinci pada siri-siri yang akan datang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply