Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah di syurga kelak ada petani? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi menjawab persoalan ini, oleh kerana ia termasuk dalam perkara ghaibiyyat maka kami bawakan satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW pada suatu hari menceritakan, dan di sisinya terdapat seorang lelaki Badwi:

أَنَّ رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ اسْتَأْذَنَ رَبَّهُ فِي الزَّرْعِ، فَقَالَ لَهُ: أَلَسْتَ فِيمَا شِئْتَ؟ قَالَ: بَلَى، وَلَكِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَزْرَعَ، قَالَ: فَبَذَرَ، فَبَادَرَ الطَّرْفَ نَبَاتُهُ وَاسْتِوَاؤُهُ وَاسْتِحْصَادُهُ، فَكَانَ أَمْثَالَ الجِبَالِ، فَيَقُولُ اللَّهُ: دُونَكَ يَا ابْنَ آدَمَ، فَإِنَّهُ لاَ يُشْبِعُكَ شَيْءٌ». فَقَالَ الأَعْرَابِيُّ: وَاللَّهِ لاَ تَجِدُهُ إِلَّا قُرَشِيًّا، أَوْ أَنْصَارِيًّا، فَإِنَّهُمْ أَصْحَابُ زَرْعٍ، وَأَمَّا نَحْنُ فَلَسْنَا بِأَصْحَابِ زَرْعٍ، فَضَحِكَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Sesungguhnya salah seorang lelaki ahli syurga meminta kepada Allah SWT untuk bercucuk tanam. Lalu Allah SWT berfirman kepadanya: ‘Bukankah kamu bebas melakukan apa sahaja yang kamu hendaki?’ Dia berkata: ‘Benar. Akan tetapi aku sangat suka bercucuk tanam.’ Nabi SAW bersabda: Kemudian lelaki itu pun menyemai benih lalu tumbuh dengan subur dan apabila menuai, hasilnya seperti sebuah gunung. Lalu Allah SWT berfirman: ‘Ambillah, wahai anak Adam. Sesungguhnya tidak ada yang memuaskan hati kamu (kenyang).’ Lelaki Badwi itu pun berkata: ‘Demi Allah, tidak akan ditemui seperti itu melainkan kaum Quraisy atau Ansar. Ini disebabkan mereka golongan petani, sedangkan kami bukan golongan petani.’ Lalu Nabi SAW tertawa.”

Riwayat al-Bukhari (2348)

Hadith ini mengandungi beberapa faedah yang dapat diambil, antaranya:

Pertamanya, syurga Allah SWT disediakan untuk para hamba-Nya yang soleh, yang di dalamnya turut disediakan segala macam kenikmatan, kelazatan dan kebaikan. Apa-apa sahaja keinginan mereka di dalamnya tidak akan ditolak. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh al-Muhallab bahawa apa sahaja yang diinginkan di dalam syurga dari perkara-perkara dunia, maka hal itu ada kemungkinan terdapat di dalamnya. ( Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani, 5/27)

Firman Allah SWT:

لَهُم مَّا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ

Maksudnya:Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).

(Surah Qaf: 35)

Begitu juga firman Allah SWT yang lain:

وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الْأَنفُسُ وَتَلَذُّ الْأَعْيُنُ ۖ وَأَنتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

Maksudnya:Dan di dalam syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): ‘Kamu adalah tetap kekal di dalamnya.’

(Surah al-Zukhruf: 71)

Hal ini juga adalah sebagaimana riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى: أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنٌ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنٌ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ، فَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ )فَلاَ تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ(

Maksudnya:Allah Tabaraka wa Ta‘ala berfirman: ‘Aku menyediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh apa yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas (hakikatnya) dalam hati seorang manusia.’ Jika kamu mahu, maka bacalah (firman Allah): “فَلاَ تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ” (Maksudnya: “Seseorang tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka berupa pelbagai nikmat yang menyedapkan pandangan mata.”) [Surah al-Sajdah: 17].

Riwayat al-Bukhari (3244); Muslim (2824)

Keduanya, syurga yang disediakan oleh Allah SWT untuk para hamba-Nya yang soleh, tiada sebarang kesengsaraan di dalamnya mahupun ketidakbahagiaan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يُؤْتَى بأَنْعَمِ أهْلِ الدُّنْيا مِن أهْلِ النَّارِ يَومَ القِيامَةِ، فيُصْبَغُ في النَّارِ صَبْغَةً، ثُمَّ يُقالُ: يا ابْنَ آدَمَ هلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ؟ هلْ مَرَّ بكَ نَعِيمٌ قَطُّ؟ فيَقولُ: لا، واللَّهِ يا رَبِّ. ويُؤْتَى بأَشَدِّ النَّاسِ بُؤْسًا في الدُّنْيا، مِن أهْلِ الجَنَّةِ، فيُصْبَغُ صَبْغَةً في الجَنَّةِ، فيُقالُ له: يا ابْنَ آدَمَ هلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ؟ هلْ مَرَّ بكَ شِدَّةٌ قَطُّ؟ فيَقولُ: لا، واللَّهِ يا رَبِّ ما مَرَّ بي بُؤْسٌ قَطُّ، ولا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطُّ

Maksudnya:Orang paling nikmat di dunia dalam kalangan penghuni neraka didatangkan pada hari kiamat lalu dicelupkan sekali ke dalam neraka, setelah itu dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam, adakah engkau pernah melihat kebaikan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasakan kenikmatan sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak, demi Allah, wahai Tuhan.’ Kemudian didatangkan pula orang yang paling sengsara di dunia dalam kalangan penghuni syurga. Kemudian dicelupkan sekali ke dalam syurga, setelah itu dikatakan kepadanya: ‘Wahai anak cucu Adam, adakah engkau pernah melihat kesengsaraan sedikit pun? Adakah engkau pernah merasa sengsara sedikit pun?’ Dia menjawab: ‘Tidak, demi Allah, wahai Tuhan, aku tidak pernah merasa sengsara sedikit pun dan aku juga tidak pernah melihat kesengsaraan pun.’

Riwayat Muslim (2807)

Ketiganya, apa yang berada di syurga berbeza sama sekali dengan apa yang ada di dunia. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

ليس في الجنَّةِ شيءٌ ممَّا في الدُّنيا إلَّا الأسماءَ

Maksudnya:Tidak ada suatupun di dalam syurga yang sama dengan yang ada di dunia melainkan hanya pada nama sahaja.

Riwayat Abu Nu‘aim dalam Sifah al-Jannah (124); al-Baihaqi dalam al-Ba‘th wa al-Nusyur (332); al-Munziri menyatakan bahawa sanadnya adalah baik (Lihat al-Taghib wa al-Tarhib4/408); al-Albani pula menyebutkan riwayat ini adalah sahih dalam Sahih al-Targhib (3769).

Oleh itu, bercucuk tanam dalam syurga tidak sama dengan hal bercucuk tanam di dunia. Dalam erti kata lain, pertanian di syurga tidak memerlukan waktu, tenaga mahupun kos. Dalam sekelip mata sahaja taburan benih itu sempurna lalu menumbuhkan tanam-tanaman sehingga menyamai seperti gunung. Maha suci Allah Tuhan sekalian alam yang menyediakan untuk para hamba-Nya yang soleh, sebaik-baik perkara di dalam syurga.

Keempatnya, di antara faedahnya juga, menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani  yang menukilkan daripada Ibn Battal bahawa sifat manusia itu adalah berdasarkan kepada apa yang menjadi kebiasaannya — sebagaimana kisah lelaki yang diceritakan dalam hadith di atas yang sangat suka bercucuk tanam. Selain itu, terdapat juga isyarat bahawa sememangnya menjadi fitrah seorang manusia yang mana jiwanya berkehendak untuk memperbanyakkan harta di dunia. Di samping itu dalam hadith berkenaan juga terkandung isyarat mengenai keutamaan orang yang memiliki sifat qana‘ah (merasa cukup dan redha dengan sesuatu pemberian sekalipun sedikit) dan tercelanya sifat tamak. (Lihat Fath al-Bari, 5/27)

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa terdapat petani dalam kalangan ahli syurga sebagaimana yang diceritakan dalam hadith sahih di atas. Meskipun begitu, keadaan petani di dalam syurga adalah berbeza sama sekali dengan keadaan petani ketika di dunia dahulu sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas yang menyebutkan bahawa tidak ada sesuatupun perkara di dalam syurga yang sama dengan perkara di dunia melainkan hanya pada nama. Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT:

مَّثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ ۖ فِيهَا أَنْهَارٌ مِّن مَّاءٍ غَيْرِ آسِنٍ وَأَنْهَارٌ مِّن لَّبَنٍ لَّمْ يَتَغَيَّرْ طَعْمُهُ وَأَنْهَارٌ مِّنْ خَمْرٍ لَّذَّةٍ لِّلشَّارِبِينَ وَأَنْهَارٌ مِّنْ عَسَلٍ مُّصَفًّى ۖ وَلَهُمْ فِيهَا مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ وَمَغْفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِمْ

Maksudnya:Sifat syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredhaan daripada Tuhan mereka.”

( Surah Muhammad: 15)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan mengizinkan kita masuk ke dalam syurga-Nya dengan rahmat-Nya. Sesungguhnya Dia Tuhan yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

Leave a Reply