Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Selepas mengerjakan tawaf sebanyak tujuh kali, seorang jemaah wanita terus pergi mencium al-Hajar al-Aswad kerana pada ketika itu tidak ramai orang. Kemudian dia pergi bersaie, dan bertahallul. Adakah umrah wanita ini sah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tawaf dan saie merupakan dua ibadah yang berbeza, maka tidak menjadi masalah seseorang wanita itu melewatkan ibadah saienya kerana pergi mencium al-Hajar al-Aswad. Perkara ini disebutkan oleh fuqaha’ sebagai al-muwalah (المُوَلَاةُ), iaitu berturut-turut. Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (8/73): “Berturut-turut di antara tawaf dan saie adalah sunat, dan dibenarkan serta sah hukumnya jika kedua-duanya dipisahkan untuk suatu tempoh masa, sekejap mahupun lama.”

Akan tetapi, perlu diketahui bahawa al-Hajar al-Aswad itu sentiasa disapukan padanya wangian supaya ia kekal berbau harum dan memberikan keselesaan kepada pengunjung Baitullah al-Haram ketika mengucupinya. Sedangkan hukum asal mengenakan wangian bagi mereka yang sedang berada dalam ihram, sama ada lelaki atau wanita adalah dilarang. Larangan ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَا تَلْبَسُوا شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلَا الْوَرْسُ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian memakai (ketika ihram) pakaian yang disentuh za‘faran dan al-wars (herba yang biasa dijadikan wangian)”

Riwayat al-Bukhari (1838) dan Muslim (1177)

Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan, bahawa termasuk di dalam larangan ihram mengenakan wangi-wangian pada pakaian dan badan seperti dengan minyak wangi atau kapur barus atau atau wars (الوَرْسُ) atau seumpamanya. Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Barlisi ‘Umairah menukilkan daripada Imam al-Rafi‘i, bahawa yang dimaksudkan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168)

Jika orang yang sedang berihram menyentuh al-Hajar al-Aswad dalam keadaan dia mengetahui telah disapukan padanya wangian, maka hukum dia adalah sama seperti orang yang sengaja memakai minyak wangi ketika ihram, dan dia perlu membayar Dam. Ini kerana dia telah melanggar larangan yang umum seperti yang terdapat dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma di atas.

Jika dia tidak tahu bahawa terdapat wangian disapukan pada kain al-Hajar al-Aswad, maka tidak diwajibkan padanya Dam.

Imam al-Nawawi berkata bahawa tidak dikenakan fidyah (Dam) ke atasnya kerana ia berlaku bukan atas kesengajaannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 7/272)

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan: “Tidak dikenakan fidyah (atau Dam) pada mereka yang mengenakan wangian kerana terlupa bahawa dia sedang berihram, atau dipaksa memakai wangian, atau jahil tentang larangan tersebut, atau jahil bahawa objek yang disentuh itu disapukan padanya minyak wangi.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/296)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Leave a Reply