Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mengapa kebanyakan isteri terlalu sukar untuk patuh kepada suami, tetapi terlalu baik dan patuh semasa di pejabat? Adakah ianya ada kaitan dengan hadith Nabi SAW ketika Baginda diperlihatkan dengan ramainya wanita di neraka semasa peristiwa isra’ mi‘raj?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Melihat kepada persoalan saudara, kami bawakan terlebih dahulu hadith ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَأُرِيتُ النَّارَ، فَلَمْ أَرَ مَنْظَرًا كَاليَوْمِ قَطُّ أَفْظَعَ، وَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ. قَالُوا: بِمَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: بِكُفْرِهِنَّ. قِيلَ: أَيَكْفُرْنَ بِاللهِ؟ قَالَ: يَكْفُرْنَ العَشِيرَ، وَيَكْفُرْنَ الإِحْسَانَ، لَوْ أَحْسَنْتَ إِلَى إِحْدَاهُنَّ الدَّهْرَ كُلَّهُ، ثُمَّ رَأَتْ مِنْكَ شَيْئًا، قَالَتْ: مَا رَأَيْتُ مِنْكَ خَيْرًا قَطُّ
Maksudnya: “Dan diperlihatkan juga kepadaku neraka, maka aku tidak pernah sama sekali melihat pemandangan yang lebih mengerikan seperti hari ini. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita. Mereka bertanya: ‘Mengapa wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Dengan sebab kekufuran mereka.’ Dikatakan: ‘Adakah mereka kufur terhadap Allah?’ Baginda menjawab: ‘Mereka kufur (ingkar) terhadap suami dan kufur terhadap kebaikan (yang suami mereka lakukan). Apabila engkau berbuat baik kepada salah seorang antara mereka sepanjang masa, kemudian dia melihat daripadamu sesuatu (yang dia tidak senangi), maka dia akan berkata, ‘Aku tidak pernah melihat sebarang kebaikan pun daripadamu’.”
Riwayat al-Bukhari (1052)
Dalam hadith lain daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
تَصَدَّقْنَ؛ فَإِنَّ أَكْثَرَكُنَّ حَطَبُ جَهَنَّمَ، فَقَامَتِ امْرَأَةٌ مِنْ سِطَةِ النِّسَاءِ سَفْعَاءُ الخَدَّيْنِ، فَقَالَتْ: لِمَ يا رَسولَ اللهِ؟ قَالَ: لِأنَّكُنَّ تُكْثِرْنَ الشَّكَاةَ، وَتَكْفُرْنَ العَشِيرَ
Maksudnya: “Bersedekahlah kalian, kerana kebanyakan kalian akan menjadi bahan bakar neraka jahannam. Maka berdirilah seorang wanita terbaik di antara mereka dengan wajah pucat seraya bertanya: ‘Kenapa wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Kerana kalian lebih banyak mengadu (mengeluh) dan mengingkari kelebihan dan kebaikan suami’.”
Riwayat Muslim (885)
Berdasarkan hadith yang kami bawakan di atas, jelas difahami teguran tegas Rasulullah SAW terhadap para wanita agar perbanyakkan bersyukur atas kebaikan suami. Imam al-Nawawi berkata, kebanyakan ulama’ mentakwilkan maksud al-‘Asyir (العَشِيرُ) di dalam hadith sebagai suami. Begini juga sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab Sahih, apabila beliau meletakkan satu bab khusus: “Bab Mengkufuri Nikmat al-‘Asyir iaitu Suami, dan al-‘Asyir adalah Orang yang Kita Berinteraksi Semasa Bersosial.” Inilah yang disebutkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika membahaskan hadith di atas. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/175; Fath al-Bari, 9/298)
Mengapa Rasulullah SAW hanya menyebutkan perkara tersebut kepada para wanita dan tidak kepada lelaki, sedangkan perihal ‘tidak bersyukur terhadap kebaikan pasangan’ ini juga wujud dalam diri segelintir suami? ‘Abd al-Ra’uf al-Manawi menjawab: “Kerana tidak mensyukuri pasangan dan pemberiannya serta tidak mampu bersabar ketika ditimpa ujian, ini kebanyakannya dari kalangan wanita.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/165)
Akan tetapi, ini tidak menafikan kewajiban suami untuk turut mensyukuri kebaikan isterinya, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ
Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa’: 19)
Bahkan, Islam mengajarkan kita bahawa suatu kebaikan itu tidak dibalas melainkan dengan kebaikan juga di akhirat kelak. Maka perbanyakkan kebaikan kepada pasangan kita agar kelak Allah SWT melimpahkan kebaikan di akhirat. Firman Allah SWT:
هَلْ جَزَاءُ الْإِحْسَانِ إِلَّا الْإِحْسَانُ
Maksudnya: “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga?”
(Surah al-Rahman: 60)
Al-Baghawi menyebutkan bahawa, tiada balasan bagi sifat ihsan di dunia melainkan dibalas dengan ihsan di akhirat. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 7/455)
Adapun persoalan yang saudara timbulkan, mengapa kebanyakan isteri lebih baik dan mudah patuh semasa di pejabat, maka itu bukanlah sebab kurangnya ketaatan serta penghargaan mereka terhadap suami di rumah. Sebaliknya, pergaulan yang baik sesama rakan sekerja amatlah dituntut bagi mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni dan produktif. Begitu juga perlu mematuhi arahan semasa bekerja agar segala projek yang dirancang dapat berjalan dengan baik.
Keduanya, terkadang-kadang suami serta isteri apabila sudah lama berkahwin dan menjalani kehidupan rumah tangga menganggap perkara tersebut biasa semata-mata, bermula dari penampilan diri, cara bual bicara, tutur kata dan berakhlak. Ini sudah tentu menyebabkan perasaan penghormatan terhadap pasangan masing-masing mula berkurangan. Kami pernah mendengar Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti melayani isterinya sama seperti seseorang melayani perempuan yang lain sepertimana ketika berada di pejabat atau di tempat yang lain. Hal ini sudah tentu menatijahkan penghormatan yang luar biasa dan sifat seperti sikap pasangan yang saling hormat menghormati.
Semoga, penjelasan ringkas ini dapat meleraikan sebarang ketegangan serta mendidik kita untuk sentiasa mensyukuri segala kebaikan yang dilakukan oleh pasangan kita, di samping membina keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam.