Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Adakah semua kurma yang berasal dari Madinah sekalipun bukan Ajwah termasuk dalam hadith yang menyebutkan mengenai fadhilat terselamat daripada racun dan sihir, jika dimakan sebanyak tujuh biji pada setiap pagi? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya terdapat banyak hadith yang menceritakan mengenai kelebihan memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi. Di antaranya, riwayat daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَصَبَّحَ بِسَبْعِ تَمَرَاتٍ عَجْوَةً، لَمْ يَضُرَّهُ ذَلِكَ الْيَوْمَ سُمٌّ، وَلَا سِحْرٌ

Maksudnya:Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5445); Muslim (2047)

Begitu juga, riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي عَجْوَةِ الْعَالِيَةِ شِفَاءً – أَوْ إِنَّهَا تِرْيَاقٌ – أَوَّلَ الْبُكْرَةِ

Maksudnya:Sesungguhnya pada kurma Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.”

Riwayat Muslim (2048)

Justeru berdasarkan kepada hadith-hadith ini, secara zahirnya menunjukkan kepada pengkhususan kurma Ajwah Madinah dan kurma Ajwah ‘Aliyah termasuk dalam jenis kurma Ajwah Madinah. Tambahan lagi, Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith berkenaan kelebihan kurma Madinah menyebutkan, hadith-hadith ini menunjukkan kelebihan kurma Madinah dan kurma Ajwah. Begitu juga kelebihan memakan tujuh biji kurma pada waktu pagi. Namun kelebihan ini hanya khusus buat kurma Ajwah Madinah sahaja, dan bukannya pada kurma-kurma yang lain. Manakala, bilangan tujuh biji — yang disebutkan dalam hadith — termasuk dalam perkara yang hanya diketahui oleh Allah SWT akan hikmahnya. Sedangkan kita pula wajib beriman dan menerimanya, serta meyakini akan fadhilatnya (adalah benar) dan ada hikmahnya (akan perkara tersebut), sebagaimana ketetapan terhadap bilangan solat, kadar nisab di dalam zakat dan lain-lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/3)

Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyyah juga ada menukilkan pendapat yang menyatakan bahawa fadhilat tersebut — yakni terselamat dari racun dan sihir — hanya terdapat pada kurma Ajwah Madinah. (Lihat al-Tibb al-Nabawi, hlm. 258)

Begitu juga, al-Qurtubi menyebutkan, secara zahirnya hadith-hadith tersebut menunjukkan kepada pengkhususan kurma Ajwah Madinah bagi menyembuhkan racun dan membatalkan sihir.

Walau bagaimanapun, terdapat dalam kalangan ulama yang berpendapat bahawa fadhilat ini turut didapati pada kurma-kurma yang lain, jika dimakan pada waktu pagi kerana nas yang menyebutkan tentang kurma Ajwah dalam hadith tidak memestikan pengkhususannya dalam hukum.

Mengenai hal ini, Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Syeikh Ibn Baz menyatakan dalam fatwanya bahawa mudah-mudahan Allah SWT akan memberikan manfaat fadhilat tersebut melalui kurma keseluruhannya. Akan tetapi nas menyebut berkenaan Madinah kerana keutamaan kurmanya dan kelebihan khusus yang terdapat di dalamnya. Diharapkan juga Allah akan memberi manfaat fadhilat tersebut melalui baki kurma-kurma yang lain, jika memakannya pada waktu pagi sebanyak tujuh biji. Boleh jadi Baginda SAW menyebutkan perkara tersebut disebabkan oleh fadhilat khusus, dan tanda khusus yang terdapat pada kurma Madinah tidak menghalang terdapatnya manfaat tersebut pada jenis-jenis kurma yang lain, yang ditunjukkan oleh Baginda SAW. Aku beranggapan terdapat dalam sebahagian riwayat lain dengan lafaz, “من تمر” (daripada kurma) tanpa sebarang pengikat. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn Baz, 8/109)

Selain itu, dalam fatwanya yang lain beliau juga ada menyebutkan, termasuk dalam rawatan atau pelindung daripada sihir adalah sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah Madinah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya.” Dalam riwayat lain datang dengan lafaz: “yang ditanam antara dua bebatuan hitam,” yakni kurma Madinah keseluruhannya, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya, dan diharapkan juga kurma-kurma lain — yakni selain kurma Madinah — termasuk di dalam fadhilat tersebut, jika dimakan pada waktu pagi sebanyak tujuh biji.   Mudah-mudahan Allah akan memberi fadhilat tersebut jua kepada pengamalnya. (Lihat Fatwa Nur ‘ala al-Darb, 3/297)

Selain daripada itu, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin turut menyebutkan dalam fatwanya bahawa hadith tersebut sahih, akan tetapi berbeza pada lafaz-lafaz yang mengikatnya (mengkhususkannya) sebagaimana yag terdapat dalam sesetengah riwayat. Ada lafaz yang mengikatnya dengan kurma Ajwah.  Ada juga yang mengikatnya dengan kurma Ajwah ‘Aliyah. Sebahagian ulama berpendapat, fadhilat tersebut adalah khusus buat kurma ini sahaja — yakni yang mengikatnya iaitu Ajwah Madinah — dan bukannya sabit pada semua jenis kurma. Manakala sebahagian ulama yang lain pula memahami hadith tersebut sebagai bersifat mutlak — yakni tidak diikat dengan sesuatu apa pun.

Oleh itu, sesiapa yang memakan apa sahaja jenis kurma pada waktu pagi sebanyak tujuh biji, dia terselamat daripada sebarang racun dan sihir pada hari tersebut. Adapun lafaz yang muqayyad — yakni yang diikat dengan sesuatu — jika ia bertepatan sebagaimana lafaz yang umum pada hukumnya, maka lafaz tersebut tidak boleh menjadi pengikat — yang mengikat lafaz umum — akan tetapi ia hanyalah sekadar menyebut sebahagian daripada jenis-jenisnya sahaja. Kesimpulannya, kami katakan selagi mana nas tersebut muhtamal (ada kemungkinan), sekiranya seseorang itu memakan tujuh biji kurma dan ia menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW, maka dia memperoleh fadhilat tersebut — yakni terselamat daripada racun dan sihir. Sekiranya ia tidak menepati sebagaimana yang dikehendaki oleh Baginda SAW, maka perkara tersebut langsung tidak memudaratkannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 6/2)

Tambahan lagi, beliau juga ada menyebutkan dalam kitabnya yang lain bahawa Allah SWT memelihara dan melindungi sesiapa yang memakan tujuh biji kurma Ajwah ‘Aliyah — ‘Aliyah ialah satu tempat di Madinah yang diketahui — atau kurma Ajwah. Walau bagaimanapun, guru kami Ibn Sa‘di berpendapat perkara tersebut adalah sebagai contoh semata-mata, sedangkan maksudnya yang dikehendaki ialah buah kurma secara mutlaknya — yakni yang tidak diikat dengan apa-apa. Oleh itu, berdasarkan pendapat ini, sesiapa yang pada waktu pagi memakan tujuh biji kurma setiap hari, jika Nabi SAW memaksudkannya maka dia memperoleh fadhilat tersebut, dan sekiranya tidak — yakni Baginda tidak memaksudkannya — maka tidak syak lagi bahawa seseorang yang bersarapan dengan kurma, yang terhimpun padanya tiga perkara — iaitu manis, buah-buahan dan berkhasiat — adalah salah satu makanan terbaik. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘ ‘ala Zad al-Mustaqni‘, 5/123)

Kajian berkenaan kandungan buah kurma

Lebih-lebih lagi, terdapat kajian menunjukkan bahawa kurma sangat kaya dengan kandungan nutrien yang pelbagai. Di antaranya ialah:

  1. Selenium

Kajian telah mendapati bahawa selenium yang terdapat di dalam buah kurma penting dalam sistem imunisasi badan.

  1. Agen aktioksida

Selain itu, kurma juga mengandungi agen antioksida. Satu kajian telah dijalankan ke atas hati tikus yang telah diaruh menjadi toksik, kemudian dirawat dengan ekstrak buah kurma. Hasil menunjukkan bahawa buah kurma berpotensi sebagai agen antioksida. Begitu juga, satu kajian lain telah dijalankan ke atas 11 jenis kurma dari Iran bagi melihat aktiviti antioksida dan kandungan fenolik di dalam kurma-kurma tersebut. Hasil menunjukkan jenis kurma dari Iran ini berpotensi sebagai bahan antioksida.

  1. Flavonoid

Hasil kajian mendapati kurma Deglet-Noor mengandungi 13 jenis flavonoid. Selain daripada itu, ia juga mengandungi flavonoid sulfat yang jarang dijumpai dalam tumbuhan. Flavonoid mempunyai potensi yang baik sebagai antioksida dan baik untuk pencegahan penyakit terutamanya seperti penyakit kanser dan penyakit kardiovaskular.[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa kurma yang dimaksudkan di dalam hadith Nabi SAW, yang mana mempunyai kelebihan bagi menghindari racun dan sihir, adalah khusus buat kurma Ajwah Madinah sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dan al-Qurtubi. Manakala kurma Ajwah ‘Aliyah pula termasuk di dalam kategori kurma Ajwah Madinah.

Sekalipun begitu, sekiranya tidak ada kurma Ajwah Madinah, seseorang itu boleh beramal dengan apa sahaja jenis kurma yang ada, dengan mengharapkan mudah-mudahan dia mendapat fadhilat sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadith. Hal ini kerana sebagaimana yang dibahaskan di atas, selagi mana nas tersebut muhtamal (ada kemungkinan), jika seseorang itu memakan tujuh biji kurma, tidak kira daripada jenis apa pun dan ia bertepatan sebagaimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW, maka dia memperoleh fadhilat tersebut. Jika ia tidak menepati apa yang dikehendaki oleh Baginda SAW, perkara tersebut langsung tidak memudaratkannya. Bahkan sebenarnya dia telah makan salah satu daripada makanan yang terbaik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H

[1] Lihat disertasi bertajuk: Tumbuhan Terpilih Menurut Perspektif Islam dan Sains Kesihatan, oleh Sumaiyah binti Mohd. Tamizi, Disertasi ini dikemukakan untuk memenuhi keperluan bagi Ijazah Sarjana Falsafah, Institut Pengajian Siswazah Universiti Malaya Kuala Lumpur 2015, hlm. 142.

Leave a Reply