Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Minta jelaskan secara terperinci tentang pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah berkenaan kemaksuman para Rasul, dan bagaimana pegangan berkaitan hal ini berbeza (atau sama) dengan konsep ‘Ismah dalam aliran Syiah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pertamanya, al-‘ismah (العِصْمَةُ) atau kemaksuman bermaksud, dipelihara dari terjerumus ke dalam kecelakaan atau apa-apa yang membawa kepada kecelakaan itu. (Lihat Fath al-Bari, 18/454) Perincian tentang kemaksuman para Nabi dan Rasul telah kami bincangkan dalam artikel kami yang bertajuk: “Kemaksuman Para Nabi.”
Sorotan kesimpulan dari artikel tersebut, para Nabi dan Rasul yang mulia ini tidaklah disebutkan maksum dalam erti kata tidak akan pernah melakukan kesalahan atau seumpamanya. Sebaliknya, Allah SWT mengampunkan kesilapan yang telah dilakukan serta menjauhkan mereka dari sebarang dosa besar dan juga kekufuran. Manakala kemaksuman junjungan kita Nabi Muhammad SAW adalah yang paling istimewa, apabila Allah SWT memberikan keampunan atas keterlanjuran yang telah dilakukan oleh Baginda SAW dan diampunkan juga apa yang mungkin akan dilakukan.
Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Anas bin Malik R.A, diceritakan situasi ketika manusia mencari para utusan Allah SWT untuk memohon syafaat dari mereka. Lalu, Nabi ‘Isa A.S mengatakan:
ائْتُوا مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، عَبْدًا غَفَرَ اللَّهُ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَا تَأَخَّرَ
Maksudnya: “Hendaklah kamu pergi kepada Muhammad SAW, seorang hamba yang dosa-dosanya sama ada yang lalu mahupun yang terkemudian telah diampuni oleh Allah SWT.”
Riwayat al-Bukhari (4476) dan Muslim (193)
Hal ini berbeza dengan hakikat ‘ismah atau kemaksuman di sisi penganut fahaman Syiah, apabila mereka menganggap kemaksuman para imam mereka itu mencapai tahap mustahil dan tidak mungkin akan melakukan sebarang dosa atau kesilapan. Ini disebutkan sendiri oleh ulama’ tersohor mereka, Muhammad Baqir al-Majlisi di dalam Bihar al-Anwar (90/64) ketika menyatakan syarat imamah menurut Syiah: “Maksum dari sebarang dosa sama ada kecil atau besar, tidak terkeliru ketika mengeluarkan fatwa dan tidak tersalah dalam menjawab persoalan, tidak lalai dan tidak terlupa, tidak pernah leka dengan apa jua urusan keduniaan.”
Syeikh Abu Hamid Muhammad al-Maqdisi menyebutkan, kemaksuman ini merupakan unsur keagamaan terpenting bagi Syiah, bahkan ia adalah salah satu syarat bagi imamah di sisi mereka, sehingga diibaratkan seperti satu sifat yang lazim. Mereka percaya bahawa kemaksuman para imam ini kerana mereka adalah khalifah bagi orang yang maksum (Rasulullah SAW), dan mereka dianggap lebih mulia dari nabi-nabi terdahulu kerana mereka ini pelapis kepada sebaik-baik nabi (Rasulullah SAW). (Lihat Risalah fi al-Radd ‘ala al-Rafidhah, hlm. 79)
Kefahaman tentang hakikat ‘ismah di antara Ahli Sunnah wal Jamaah dan Syiah jelas sekali berbeza apabila mereka melihat kemaksuman itu sebagai suatu tiket untuk menafikan para imam mereka dari sekecil-kecil kesilapan, sedangkan Allah SWT menyebutkan di dalam al-Quran bahawa Rasulullah SAW sendiri pernah tersilap dalam melakukan keputusan lalu diampunkan oleh-Nya. Firman Allah SWT:
عَفَا ٱللَّهُ عَنكَ لِمَ أَذِنتَ لَهُمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكَ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَتَعْلَمَ ٱلْكَـٰذِبِينَ
Maksudnya: “Semoga Allah memaafkanmu wahai Muhammad! Mengapa kamu mengizinkan mereka untuk tidak menyertai peperangan sebelum menjadi jelas kepadamu orang yang bercakap benar lalu kamu boleh mengenali orang yang sebenarnya berdusta?”
(Surah al-Taubah: 43)
Majoriti ulama’ berpandangan bahawa Nabi dan Rasul maksum daripada melakukan dosa-dosa besar, akan tetapi tidak maksum daripada melakukan dosa-dosa kecil yang mungkin terlanjur dilakukan oleh manusia biasa. Beginilah pandangan kebanyakan para ulama’ tafsir dan hadith serta fuqaha’. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 4/319)
Allah SWT mengkhabarkan kepada umat Islam tentang teguran-teguran yang diberikan kepada para nabi serta rasul terdahulu atas keterlanjuran mereka. Dalam pada itu, kesilapan mereka ini tidaklah menjadi penghalang atau mencacatkan status para nabi dan rasul yang mulia selaku penyampaian dakwah dan wahyu. Sebagai contoh, Allah SWT menegur Rasulullah di dalam firman-Nya:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ لِمَ تُحَرِّمُ مَا أَحَلَّ اللَّهُ لَكَ ۖ تَبْتَغِي مَرْضَاتَ أَزْوَاجِكَ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana) engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Tahrim: 1)
Maka, bagaimana mungkin golongan Syiah boleh mendakwa bahawa kemaksuman para imam mereka itu sehingga menjadikan martabat mereka seperti para nabi itu sendiri. Antara ulama’ mereka, Muhammad Redha al-Muzaffar menyebutkan di dalam ‘Aqa’id al-Imamiyyah (hlm. 67): “Kami percaya pada kemaksuman imam, dan kami percaya bahawa imam itu seperti nabi. Dia mesti seorang yang maksum dari segala sifat buruk sama ada yang zahir atau tersembunyi, sepertimana mereka mesti seorang yang maksum dari kecuaian, leka, tersilap dan lupa; kerana para imam ini merupakan orang yang memelihara agama dan menegakkannya, keadaan mereka umpama seorang nabi.”
Jelas berdasarkan perbincangan ringkas di atas, kefahaman ‘ismah di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah itu berbeza dari apa yang dipegang oleh golongan Syiah. Kemaksuman para nabi tidak menafikan sifat kemanusiaan mereka, iaitu keterlanjuran dalam perkara-perkara asas seperti terlupa dan sebagainya. Semoga pencerahan ini sedikit-sebanyak dapat memberikan input baharu serta kefahaman yang baik kepada kita. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا
Maksudnya: “Ya Allah, berilah manfaat terhadap apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, ajarkan kepada kami sesuatu yang bermanfaat bagi kami, dan tambahkanlah kepada kami ilmu.”
Wallahu a‘lam