Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, kalau waktu dulu kita pernah mencuri harta mak kita tetapi beliau tidak perasan, kemudian kita menyesal atas perbuatan tersebut lalu memulangkan semula harta yang dicuri tanpa pengetahuan mak, kerana kita berasa malu yang amat dan risau akan mak kita terasa hati. Adakah kita masih kira berdosa kerana tidak mengakui depan mak kita akan dosa tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang salah.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Allah SWT melarang orang yang beriman daripada memakan harta orang lain secara batil iaitu dengan cara yang menyalahi syara‘. Ibn ‘Abbas dan Hassan Basri mentafsirkan batil iaitu dengan cara memakan sesuatu tanpa sebarang balasan atau bayaran. Antara perkara yang dikira memakan harta secara batil termasuklah mengambil bayaran daripada akad kontrak yang menyalahi syarak seperti jual-beli barang yang tidak dimiliki, menjual sesuatu yang tidak bermanfaat seperti bangkai, lalat dan peralatan yang melalaikan. Barang siapa yang terlibat di dalam jual-beli tersebut maka hasil yang diperolehinya adalah haram dan perlu dikembalikan semula kepada asalnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/29)

Mencuri juga termasuk dalam dosa-dosa besar yang harus dijauhi agar kita tidak termasuk dalam kalangan mereka yang dinafikan iman mereka oleh Rasulullah SAW. Ini disebutkan dalam hadith ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

وَلاَ يَسْرِقُ السَّارِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Seorang pencuri yang mencuri tidak beriman (dengan iman yang sempurna) ketika dia sedang mencuri.”

Riwayat al-Bukhari (2475) dan Muslim (57)

Abu al-‘Abbas al-Qastalani berkata, Nabi SAW menyebutkan perbuatan mencuri secara khusus kerana ia merupakan tahap tertinggi dalam mengambil harta orang lain tanpa hak. (Lihat Irsyad al-Sari, 10/7)

Harta yang dicuri tersebut wajib dipulangkan kembali sekiranya empunya barang itu masih hidup. Akan tetapi, jika dia telah meninggal dunia maka wajib diserahkan kepada warisnya. Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu‘ (9/351) menukilkan fatwa Imam  al-Ghazali, seraya berkata: “Sekiranya seseorang memiliki suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya.”

Pada asalnya, para ulama’ hanya menekankan noktah agar harta yang dicuri itu dipulangkan semula kepada pemiliknya, tanpa membahaskan sama ada pemilik itu perlu dimaklumkan bahawa hartanya telah dicuri oleh individu tertentu. Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Jika seseorang mengambil sesuatu milik saudaranya, kemudian Allah memberikan ilham padanya lalu dia bertaubat, maka yang diwajibkan ke atasnya adalah mengembalikan semula harta yang diambil itu dengan apa jua cara. Maka pilihlah cara yang tidak memberikan mudharat, sebagai contoh: dia mencuri 100 Dirham, lalu bertaubat dan ingin memulangkan semula wang tersebut, dalam keadaan dia tahu sekiranya dia mengaku telah mencuri kemudian bertaubat dan memulangkan wang tersebut, barangkali akan berlaku keburukan. Maka ketika itu, boleh memulangkan wang tersebut dengan perantaraan orang yang dipercayai, seraya berkata kepada pemilik asal wang tersebut: ‘Wang ini daripada seseorang yang dahulu mencurinya darimu, kemudian Allah memberikan ilham padanya lalu dia bertaubat. Inilah wang tersebut’.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 24/2)

Kesimpulan

Melihat kepada perbincangan ringkas di atas, sekiranya benar orang yang mencuri itu menyesal atas perbuatan mencuri itu, seterusnya bertaubat dan memulangkan semula harta yang dicuri, maka kami berharap semoga Allah SWT memberikan keampunan kepadanya sekalipun dia tidak membuat pengakuan terbuka di hadapan mangsa kecurian tersebut. Allah SWT berfirman:

فَمَن تَابَ مِن بَعْدِ ظُلْمِهِ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ اللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ma’idah: 39)

Sebaiknya, mohonlah kemaafan dari orang yang dizalimi tersebut sekiranya ia tidak mendatangkan kemudharatan dalam hubungan silaturrahim. Akan tetapi, jika dikhuatiri akan mengguris hati dan merosakkan hubungan baik, maka carilah orang tengah yang baik dan dipercayai untuk memulangkan semula harta curi tersebut serta memohon kemaafan bagi pihak orang yang mencuri itu.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply