Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan tafsiran ayat 1 bagi Surah al-Kafirun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang-orang kafir!.”

(Surah al-Kafirun: 1)

Surah ini dimulakan dengan kata perintah (قُلْ) bagi menekankan kepentingan ucapan selepas itu, sebuah ucapan yang ingin disampaikan kepada sekalian manusia dalam satu gaya bahasa yang khusus, dengan disebutkan secara jelas perintah untuk menyampaikan ucapan tersebut, meskipun pada hakikatnya keseluruhan al-Quran itu memang diperintahkan oleh Allah SWT agar disampaikan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Kemudian Allah menyeru orang kafir dalam ayat ini dengan istilah kafirun. Menurut Abu Bakar al-Anbari, kaum Quraisy terdahulu tidak suka dipanggil sebagai orang kafir kerana menurut fahaman mereka, mereka adalah kaum yang turut menyembah Allah SWT. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/580)

Muhammad al-Amin al-Syinqiti menimbulkan suatu persoalan, didatangkan kata perintah (قُلْ) sedangkan pesanan yang dibawa itu sudah cukup difahami bahawa ia untuk disampaikan, akan tetapi apakah tujuan didatangkan kata perintah ini?

Dinukilkan daripada al-Fakhr al-Razi, katanya: “Kemungkinan didatangkan kata perintah ini kerana orang-orang kafir itu mempersendakan Rasulullah SAW dalam surah sebelumnya (Surah al-Kauthar): ‘Sesungguhnya Muhammad ini tidak ada penyokong.’ Maka Allah SWT berfirman: ‘Katakanlah’ sebagai peringatan bahawa Allah SWT yang menjawab bagi pihak Rasul-Nya dengan ucapan ini, mereka diseru dengan seberat-berat sifat (Kafir), Allah SWT bersabda kepada Baginda: ‘Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir!’

Atau mungkin apabila ucapan ini mempunyai sedikit perubahan yang biasa digunakan oleh mereka dalam gaya bahasa yang penuh hikmah serta peringatan yang baik, dan padanya turut ada teguran serta kritikan. Allah SWT bersabda kepada Baginda: ‘Katakanlah’ sebagai peringatan bahawa Baginda sebagai sekadar menyampaikan dari Allah segala apa yang diperintahkan. Kemudian disebutkan: ‘Wahai’ sebagai seruan buat mereka yang duduk berjauhan, jauh di dalam kekufuran dan kedegilan terhadap Rasulullah SAW.” (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 9/132)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi berkata, Rasulullah SAW berjumpa dengan kaum Quraisy dan membacakan kepada mereka: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai orang-orang kafir!’.” Baginda tidak meninggalkan kalimah “Katakanlah,” agar mereka yang mendengar tahu bahawa ayat tersebut bukanlah datang dari diri Baginda sendiri.[1]

Manakala menurut Ibn Kathir, surah ini adalah surah yang mengandungi pelepasan diri daripada amalan yang dilakukan oleh golongan musyrikin, dan memerintahkan untuk mengikhlaskan diri dalam hal itu. Seterusnya, perkataan kafirun “الْكافِرُونَ” dalam ayat ini pula meliputi setiap orang kafir yang ada di atas muka bumi, akan tetapi dalam konteks ayat ini, ia ditujukan kepada golongan kafir Quraisy. Ada yang menyatakan bahawa disebabkan oleh kejahilan mereka, mereka mengajak Rasulullah SAW untuk menyembah berhala-berhala mereka selama setahun dan sebagai balasan mereka pula akan menyembah Tuhan yang disembah oleh Baginda selama setahun. Lalu Allah SWT menurunkan surah ini dan memerintahkan  Rasulullah SAW untuk menyatakan pembebasan diri secara total daripada agama mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/479).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?app=desktop&v=FDxu_tZnQxo. Diakses pada 5 April 2024.

Leave a Reply