Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, kalau kita ada hutang kereta atau shopee pay yang terikat dalam tempoh dan kita meninggal sebelum sempat habis bayar hutang tersebut, adakah kita akan dituntut pada hari akhirat nanti? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya.

Bahkan hutang merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan termasuk dalam akad antara sesama manusia yang wajib ditunaikan atau dilangsaikan. Ini adalah seperti mana dinyatakan di dalam al-Quran:

إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.”

(Surah al-Nisa: 58)

Begitu juga firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Dalam menjawab persoalan mengenai hutang, kami tegaskan bahawa melunasi hutang adalah suatu kewajipan yang harus dipenuhi oleh pihak yang berhutang. Hal ini disebabkan seseorang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab hutang tersebut kecuali dengan melunasinya sepenuhnya. Selain itu, melunasi hutang juga melibatkan hak-hak sesama manusia yang tidak boleh diabaikan.

Seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan berhutang, maka rohnya akan tergantung sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.

Riwayat al-Tirmizi: (1078) dan Ibn Majah (2413). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan.

Oleh yang demikian dalam situasi  seperti  ini kami katakan adalah disarankan bagi sesiapa yang mempunyai hutang baik hutang kepada bank, Shopee Pay Later atau dengan mana-mana pihak, untuk  memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat  berkaitan hutang yang dilakukan tersebut. Ini bagi memudahkan urusan ahli keluarga untuk melunaskannya sekiranya berlaku kematian sebelum sempat melunaskan segala hutang tersebut.

Sabda Rasulullah SAW:

 إِنَّ صَاحِبَكُمْ مُحْتَبِسٌ عَلَى بَابِ الْجَنَّةِ فِي دَيْنٍ عَلَيْهِ، حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sahabat kamu itu sedang tertahan di pintu syurga dengan sebab hutang yang masih ada padanya sehinggalah warisnya melunaskan hutang itu bagi pihaknya.”

Riwayat Ahmad (20124) dan lafaznya adalah sebagaimana di atas tanpa menyebutkan, “حَتَّى يَقْضِيَهُ عَنْهُ وَارِثٌ”; Riwayat Abu Daud (3341) dan al-Nasa’i (4685) dengan lafaz seumpamanya. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (20124) menilai sanadnya sebagai sahih.

Disebutkan dalam Taudhih al-Ahkam bahawa: Wajib untuk segera menyelesaikan atau melunaskan hutang si mati jika dia mempunyai harta (yang ditinggalkan). Ini kerana dia masih berterusan menanggung beban hutangnya itu sekalipun setelah kematiannya sehinggalah ia dilunaskan. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/159-160).

Justeru, berdasarkan hadith-hadith yang telah dinyatakan di atas dan pandangan para ulama, jelaslah bahawa si mati menanggung tanggungan hutang sehingga hutang itu dilunaskan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga atau waris untuk melunaskan hutang yang masih belum dilunaskan oleh si mati semasa beliau masih hidup.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply