Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya mendapat tawaran sebagai agen insurans yang menjual life insurance Takaful, employee benefits, group insurance, fire insurance, general insurance. Apakah hukum saya menjadi agen insurans Takaful? Adakah halal sumber pendapatan saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam mengiktiraf tanggungjawab setiap individu dalam memenuhi keperluan dirinya dan mereka yang berada di bawah tanggungannya. Oleh itu, Islam menuntut kita untuk mencari pendapatan yang baik lagi halal. Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ

Maksudnya: “Dia-lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaan-Nya).

(Surah al-Mulk: 15)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Maksudnya, Dia-lah yang menundukkan bumi untuk kamu agar kamu dapat memperoleh apa sahaja yang kamu perlukan, seperti bercucuk tanam, mendirikan bangunan, membuat jalan yang menghubungkan ke tempat yang jauh dan pelbagai negara. “Maka berjalanlah di segala penjurunya,” maksudnya untuk mencari rezeki dan penghasilan, dan makanlah sebahagian daripada rezekinya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 552)

Selain itu,  dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).

Manakala Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kita mesti mengetahui bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara insurans konvensional dan insurans takaful. Kami nyatakan secara ringkas definisi dan takrif insuran, konvensional dan takaful.

  • Insuran bermaksud satu bentuk pengurusan risiko bagi menjamin risiko kemungkinan kerugian kewangan.
  • Konvensional pula bermaksud amalan lazim yang bukan berasaskan sistem syariah Islam (non-syariah compliant).
  • Takaful bermaksud satu skim berdasarkan persaudaraan dan saling bantu membantu yang menyediakan pertolongan kewangan pada waktu yang diperlukan. [Akta Takaful Malaysia (1984), Seksyen 2]

Justeru, dapat difahami di sini bahawa Takaful secara umumnya ialah insuran yang mengamalkan prinsip Islam, manakala insuran konvensional merupakan insuran yang tidak mematuhi undang-undang syariah yang merangkumi tiga elemen: Riba (unsur faedah), gharar (ketidakpastian) dan maisir (perjudian).

Oleh itu, jelaslah insurans konvensional hukumnya adalah haram. Hal ini selari dengan keputusan yang diputuskan oleh Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979, di mana mereka telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:

  1. Mengandungi gharar (ketidak-tentuan)
  2. Mengandungi unsur judi.
  3. Mengandungi muamalah riba.[1]

Sehubungan dengan itu, apa-apa perkara yang membawa kepadanya juga dihukumkan sebagai haram seperti yang dilakukan oleh agen-agen insurans konvensional yang mempromosikan produknya dan seumpamanya. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain turut menyatakan:

مَا حَرُمَ أَخْذُهُ حَرُمَ إِعْطَأُوهُ

Maksud: “Sesuatu yang haram untuk mengambilnya, maka diharamkan juga untuk memberinya.”

Dalam erti kata lain, kaedah di atas menjelaskan bahawa apa sahaja perkara yang diharamkan untuk diambil, maka memberikannya kepada orang lain juga hukumnya adalah diharamkan. Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan sebagaimana dinyatakan menerusi firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan.

Tambahan lagi, hal ini juga adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 – 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah. Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba. Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.[2]

Manakala pekerjaan sebagai agen insurans takaful pula adalah diharuskan kerana ia merupakan insuran yang mengamalkan prinsip Islam. Ini berdasarkan umum firman Allah SWT:

هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِي ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا

Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa‘di mengatakan, Allah SWT telah menciptakan bagi seluruh manusia segala apa yang ada di muka bumi ini sebagai suatu bentuk kebaikan dan rahmat, agar dapat diambil manfaat, dinikmati, dan diambil i‘tibar. Dan di dalam ayat yang agung ini terdapat dalil bahawa asal bagi setiap perkara adalah harus dan suci, kerana ayat ini disebutkan dalam konteks menyebutkan tentang kenikmatan. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 48)

Tambahan pula, dalam aspek muamalat, prinsipnya asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Pekerjaan adalah termasuk dalam ruang lingkup muamalat. Oleh itu, hukum asal bagi sesuatu pekerjaan adalah harus selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Keharusan itu pula skopnya amat luas, sedangkan keharamannya pula hanya terhad kepada perkara yang sememangnya ditegah oleh Islam. Dalam erti kata lain, sekiranya suatu pekerjaan itu aktiviti pekerjaannya melibatkan perkara-perkara haram, maka hukumnya adalah haram seperti syarikat arak, syarikat yang mengandungi unsur judi, gharar dan riba atau seumpamanya. Begitulah juga, sekiranya aktiviti dan tugasan sesuatu syarikat itu harus, atau mengamalkan prinsip Islam maka hukumnya juga adalah harus seperti perniagaan jual beli buah-buahan, perniagaan yang tidak melibatkan sistem riba dan lain-lain.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa secara umumnya pekerjaan sebagai agen takaful (Islamik) adalah diharuskan. Hal ini kerana takaful (Islamik) merupakan insuran yang mengamalkan prinsip Islam dan menjalankan konsep secara tolong-menolong serta pemberian wang secara sukarela (tabarru‘). Maka, bekerja sebagai agen yang mempromosikan produk-produknya juga turut diharuskan selagi mana ia menepati sebagaimana yang digariskan oleh syariat dan tidak mengandungi elemen yang tidak patuh syariah. Sehubungan dengan itu, hasil pendapatan yang diperoleh daripada perkara itu juga adalah halal dan tidak haram.

Ia berbeza sama sekali dengan insurans (konvensional) yang diharamkan kerana jelas insurans konvensional dihukumkan sebagai haram disebabkan oleh elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar (ketidak-tentuan) dan unsur judi.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Nota kaki:

[1] Lihat https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/artikel/148-menyertai-polisi-insurans-konvensional-halal-atau-haram. Diakses pada 15 Jun 2023.

[2] Lihat https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/artikel/148-menyertai-polisi-insurans-konvensional-halal-atau-haram. Diakses pada 15 Jun 2023.

Leave a Reply