Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya jika kita ikut imam solat subuh pada bermula rakaat kedua dan sudah baca qunut, perlukah baca qunut lagi pada rakaat seterusnya?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan Qunut (الْقُنُوْتُ) adalah daripada Bahasa Arab yang membawa beberapa makna seperti berdiri lama, diam, selalu taat, tunduk, doa dan khusuk. Manakala maksud doa Qunut secara istilah adalah doa yang dibaca seorang Muslim dalam solat pada tempat yang dikhususkan semasa berdiri.

Membaca qunut adalah semasa iktidal dalam rakaat yang kedua ketika solat Subuh dan dalam rakaat yang kedua dalam solat Witir pada separuh yang kedua di dalam bulan Ramadhan. Begitu juga dalam rakaat yang akhir pada mana-mana solat bagi qunut Nazilah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/145)

Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Muhammad bin Sirin bahawa beliau bertanya kepada Anas R.A:

هَلْ قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ؟ قَالَ: نَعَمْ، بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا

Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW melakukan qunut dalam solat Subuh? Beliau menjawab: ‘Ya, Baginda melakukan qunut dalam solat, tidak berapa lama selepas rukuk.’”

Riwayat Muslim (677)

Begitu juga dengan sebuah hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma:

أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوعِ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ مِنَ الفَجْرِ يَقُولُ: «اللَّهُمَّ العَنْ فُلاَنًا وَفُلاَنًا وَفُلاَنًا» بَعْدَ مَا يَقُولُ «سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ» فَأَنْزَلَ اللَّهُ: {لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ} إِلَى قَوْلِهِ: {فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ}

Maksudnya: “Beliau mendengar Rasulullah SAW apabila mengangkat kepalanya daripada rukuk pada rakaat terakhir solat Subuh, Baginda mengucapkan: ‘Ya Allah, laknatlah fulan, fulan dan fulan.’ Baginda mengucapkannya selepas mengucapkan: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” (Allah Menerima pujian orang yang memuji-Nya, dan hanya bagi Engkau segala pujian). Lalu Allah menurunkan ayat (yang bermaksud): “لَيْسَ لَكَ مِنَ الأَمْرِ شَيْءٌ” (“Kamu tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu…”) – sehingga Firman-Nya – “فَإِنَّهُمْ ظَالِمُونَ” (“kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim!”) [Surah Ali ‘Imran: 128].”

Riwayat al-Bukhari (4069, 4070)

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan perkara ini merupakan perkara yang diperselisihi dikalangan ulama. Kami nyatakan sebagaimana yang berikut:

Pandangan pertama: Membaca qunut untuk kali kedua bagi orang yang masbuq. Ini merupakan pandangan dari Mazhab Syafi’i.

Dinyatakan dalam al-Tahzib fi Fiqh al-Syafi’i bahawa, sekiranya seseorang sempat bersama imam pada rakaat ketiga dalam solat witir, dia hendaklah melakukan qunut bersama imam. Apabila dia hendak menyempurnakan solatnya, dia harus melakukan qunut pada rakaat ketiganya. Begitu juga, jika seseorang bersama imam pada rakaat kedua solat Subuh dan telah melakukan qunut bersama imam, apabila dia ingin menyelesaikan solatnya, dia hendaklah membaca sekali lagi qunut pada rakaat keduanya. (Lihat al-Tahzib fi Fiqh al-Syafi’i, 2/169)

Begitu juga al-Rafi’i menyatakan: Jika seseorang sempat satu rakaat dalam solat Subuh dan melakukan qunut bersama imam, dia perlu mengulangi qunut dalam rakaat seterusnya selepas imam memberi salam. (Lihat Fath al-’Aziz bi Syarh al-Wajiz, 4/427)

Pandangan kedua: Tidak perlu membaca qunut untuk kali kedua bagi yang masbuk. Ini merupakan pandangan dari mazhab Maliki.

Al-Dusuki al-Maliki menyatakan bahawa: Pandangan yang muktamad sebagaimana yang disebutkan dalam al-’Utbiyyah dan al-Bayan bahawa bagi sesiapa yang sempat bersama imam pada rakaat kedua solat subuh, dia tidak perlu melakukan qunut apabila bangun untuk melakukan  qadha’ rakaat  pertama yang tertinggal. (Lihat Syarh al-Kabir li Syeikh al-Dardir wa Hasyiah al-Dusuki, 1/346)

Justeru, kami lebih cenderung kepada pandangan yang pertama iaitu bagi sesiapa yang masbuk dalam solat subuh dan telah melakukan qunut bersama dengan imam, maka dia hendaklah mengulangi qunut pada rakaatnya yang berbaki. Namun sekiranya dia meninggalkan qunut pada rakaatnya yang kedua solatnya tetap sah dan disunatkan baginya untuk sujud sahwi menurut pandangan Mazhab al-Syafi’i. Ini kerana bacaan qunut dalam solat  merupakan sunat ab’adh.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Leave a Reply