Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kebelakangan ini terdapat banyak syarikat yang menggunakan nama dan logo dewa/tuhan agama lain seperti Zeus, Apollo, Hermes, dan sebagainya. Soalan saya, apakah hukum membeli makanan atau minuman daripada syarikat-syarikat tersebut, jika makanan dan minumannya telah dijamin halal oleh JAKIM? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”
(Surah al-A‘raf: 32)
Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).
Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Ini berdasarkan firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا
Maksudnya: “Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”
(Surah al-Baqarah: 29)
Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan semua makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).
Tambahan lagi, kenyataan ini disokong dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:
الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ
Maksudnya: “Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).
Begitu juga firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”
(Surah al-Baqarah: 168)
Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).
Justeru, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa suatu makanan atau minuman itu dihukumkan sebagai halal dan harus untuk dimakan dan diambil manfaatnya sebagaimana hukum asalnya selagi mana tiada bukti yang menunjukkan kepada hal yang sebaliknya seperti bahan-bahan yang tidak halal, bernajis, memberi mudarat dan seumpamanya sekalipun ia dilihat seolah-olah menggunakan nama/jenama/logo dewa agama lain seperti Zeus, Apollo, Hermes, dan sebagainya. Terdapat kaedah menyebutkan:
العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا
Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”
Apatah lagi jika badan berwajib yang dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan sijil Pengesahan Halal Malaysia seperti Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri sudah pun mengesahkan akan kehalalan dan kesucian produk makanan dan minuman tersebut, maka adalah lebih-lebih lagi ia boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam suatu produk makanan itu adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekaligus menghilangkan keraguan yang timbul.
Begitulah juga jual beli produk makanan dan minuman yang sudah dijamin halal itu adalah dibolehkan dan tidak menjadi suatu kesalahan. Ini kerana dalam aspek muamalat, prinsipnya asasnya adalah keharusan untuk bermuamalah selagi mana tidak ada dalil yang melarang atau menyatakan sebaliknya. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)
Namun, hukumnya boleh berubah menjadi haram sekiranya diyakini dan pasti bahawa pembelian produk itu sebenarnya bertujuan bagi membantu agama tersebut. Ini kerana pada asasnya, sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh membantu orang bukan Islam dalam apa-apa amalan keagamaan agama lain kerana ia melibatkan syirik dan dosa kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).
Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:
إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).
Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan maksiat atau perbuatan dosa syirik tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain melalui pembelian yang dilakukan yang mana ia jelas disumbangkan kepada agama tersebut dalam melakukan perbuatan maksiat dan kesyirikan akan turut dianggap sebagai maksiat.
Pada kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu makanan dan minuman kerana memilih makanan dan minuman yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟
Maksudnya: “Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.”
Riwayat Muslim (1015)
Demikianlah jika timbul keraguan terhadap suatu makanan yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”
Riwayat al-Tirmizi (2518)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”