Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsir bagi ayat 3 dan 5 Surah al-Kafirun?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ
Maksudnya: “Kamu pula bukan penyembah-penyembah apa yang aku sembah.”
(Surah al-Kafirun: 3 dan 5)
Al-Syaukani menafsirkan ayat “وَلا أَنْتُمْ عابِدُونَ مَا أَعْبُدُ” ini dengan menyatakan bahawa maksudnya adalah: “Kamu tidak akan melakukan di masa depan apa yang aku minta daripada kamu untuk melakukannya iaitu beribadah kepada Tuhanku.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/619).
Setelah Syeikh al-Sa‘di menjelaskan tafsiran ayat sebelumnya, beliau seterusnya menyatakan bahawa ayat “وَلا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ” disebabkan oleh tidak ada keikhlasan dalam ibadah kamu kepada-Nya. Ini kerana ibadah kamu kepada-Nya yang disertai dengan kesyirikan tidak dipanggil sebagai ibadah. Kemudian hal itu diulang-ulang, supaya yang pertama menunjukkan bahawa perbuatan itu tidak wujud, dan keduanya menunjukkan bahawa hal itu menjadi sifat yang lazim ada. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/936).
Selain daripada itu, Ibn Juzai ketika menafsirkan ayat ini menyatakan, ini merupakan suatu perkhabaran bahawa mereka orang kafir tidak menyembah Allah, sebagaimana yang dikatakan kepada Nabi Nuh A.S melalui ayat:
أَنَّهُۥ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ ءَامَنَ
Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.”
(Surah Hud: 36)
Melainkan ini adalah tentang kaum tertentu yang telah mati dalam kekufuran. Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa kelompok yang disebutkan ini ialah Abu Jahal, al-Walid bin al-Mughirah, al-‘Asi bin Wa’il, al-Aswad bin al-Muttalib, Umayyah bin Khalaf, Ubai bin Khalaf, dan Ibn al-Hajjaj, mereka semuanya mati dalam keadaan kafir.
Jika ditanyakan: Mengapa Nabi menjawab, “مَا أَعْبُدُ” (apa yang aku sembah), sedangkan hal itu ditujukan untuk mereka yang berakal? Jawapannya ada tiga aspek: Pertamanya, hal tersebut sesuai dengan sabdanya dalam ayat, “لاَ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” yang bermaksud kepada berhala-berhala yang tidak berakal, dan kemudian Baginda menjadikan jawapannya iaitu “مَا أَعْبُدُ” supaya sesuai dengan lafaz/perkataan. Keduanya, ia merujuk kepada sifat, seolah-olah Baginda menjawab, “Aku tidak menyembah kebatilan dan kamu pula tidak menyembah al-Haq (yakni Allah) seperti mana disebutkan oleh al-Zamakhsyari. Ketiganya, ia merujuk kepada Ma Masdariyah (kata terbitan), menjadikan maksudnya seolah-olah seperti “Aku tidak menyembah sembahan kamu dan kamu pula tidak menyembah sembahanku,” dan pendapat ini adalah lemah.
Jika ditanyakan: Mengapa diulangi makna dan lafaz ini, dalam ayat seterusnya iaitu “وَلاَ أَنتُمْ عَابِدُونَ مَآ أَعْبُدُ” sekali lagi? Jawapannya boleh dilihat dari dua sudut: Pertamanya, menurut pendapat al-Zamakhsyari bahawa yang pertama merujuk kepada masa hadapan, manakala yang kedua merujuk kepada masa lalu. Keduanya, menurut pendapat Ibn ‘Atiyyah bahawa yang pertama merujuk kepada situasi semasa, manakala yang kedua merujuk kepada masa hadapan. Oleh itu, ini adalah suatu kepastian bahawa mereka tidak akan pernah beriman selama-lamanya. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/518-519).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”