Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah boleh saya solat tidak menghadap kiblat kerana saya sakit terlantar di katil di mana situasi saya tidak boleh untuk bangun sendiri? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/142)
Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/302)
Firman Allah SWT:
فَوَل وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Maksudnya: “Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram, dan di mana saja kamu berada, hadapakanlah wajahmu ke arah itu.”
(Surah al-Baqarah: 144)
Ibn Kathir berkata: “Walaubagaimanapun, persoalan mengadap kiblat kearah Baitul-Maqdis iaitu kiblat ahli kitab dari kaum Yahudi dan Nasara telah menjadi punca yang membuat kaum Yahudi menjadikan alasan untuk menolak kemasukkan mereka ke dalam agama Islam. Mereka telah menyebarkan da’yah mereka di Madinah bahawa amalan Muhammad dan para pengikutnya mengadap kearah kiblat mereka di dalam solat itu menunjukkan bahawa agama mereka adalah agama yang benar dan kiblat mereka yang sebenar dan merekalah yang asal. Oleh itu lebih baik kepada Muhammad dan para pengikutnya kembali kepada agama mereka sahaja bukannya menyeru mereka masuk ke dalam agama Islam. Dalam waktu yang sama persoalan ini menjadi satu persoalan yang sulit kepada kaum Muslimin Arab yang telah terbiasa di zaman jahiliyyah memuliakan Baitullah dan menjadikannya kiblat mereka, dan persoalan ini bertambah sulit lagi setelah mereka mendengar kaum yahudi berbangga-bangga dengan kiblat Baitul-Maqdis dan menggunakannya sebagai hujjah ke atas mereka. Rasulullah SAW seringkali mengadah mukanya ke langit bertawajjuh kepada Allah tanpa sepatah kata kerana menjaga adab sopannya terhadap Allah dan menunggu arahannya yang menyukakannya. Kemudian turunlah ayat Al-Quran yang memperkenan hasrat yang berkecamuk di dalam dada Rasulullah SAW.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/139)
Allah SWT juga berfirman:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ
Maksudnya: Dari mana saja kamu (keluar), maka palingkanlah wajahmu ke arah Masjidil Haram. dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya.
(Surah al-Baqarah: 150)
Ibn Kathir juga menyebutkan bahawa ayat tersebut itulah arahan Allah kepada Rasulullah SAW. supaya beginda menghadap mukanya ke arah Masjid al-Haram kemana sahaja beliau keluar, juga arahan kepada kaum Muslimin supaya menghadap muka mereka ke arahnya di mana sahaja mereka berada. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/152)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah”
Riwayat al-Bukhari (6667) dan Muslim (397)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan ulama telah bersepakat bahawa menghadap ke arah kiblat merupakan sayarat sah solat dan merupakan kewajipan yang diperintahkan oleh syara’. Hal ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh al-Syairazi dalam kitabnya al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i : Menghadap kiblat merupakan syarat sah dalam solat, kecuali dalam dua keadaan: dalam keadaan ketakutan yang amat dan dalam solat sunat semasa dalam permusafiran. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh Imam al-Syafi’i, 1/129)
Namun ulama berbeza pandangan bagi orang yang berada dalam keuzuran yang tidak mampu untuk menghadap kiblat ketika solat seperti orang yang sakit dan sebagainya. Kami nyatakan pandangan ulama sebagaimana berikut:
Ulama Mazhab Hanafi dan Hanbali berpandangan sesiapa yang tidak mampu menghadap kiblat dan tidak mendapati sesiapa yang boleh membantunya menghadap kiblat atau dengan menghadap kiblat itu akan mendatangkan kemudaratan baginya, maka gugurlah syarat tersebut daripadanya dan dia boleh solat mengikut keadaannya Tidak wajib baginya mengulangi solatnya pada masa itu; kerana menghadap ke arah kiblat adalah syarat tambahan yang tidak diperlukan ketika berlaku keadaan ketidakupayaan. Jika dia mendapati seseorang yang dapat membantunya menghadap kiblat, maka sepatutnya dia meminta bantuan daripadanya untuk menghadap kiblat. Jika dia tidak berbuat demikian dan solat ke arah yang lain, solat itu dianggap sah menurut pandangan Imam Abu Hanifah, berbeza dengan pandangan Muhammad dan Abu Yusuf.
Menurut Imam al-Kasani al-Hanafi, dalam pandangan beliau mengenai syarat “menghadap kiblat”, beliau menyatakan: Jika seseorang tidak mampu menghadap kiblat atas sebab tertentu walaupun mengetahui arah kiblat, maka dia boleh solat ke arah mana pun, tidak wajib baginya menghadap kiblat, seperti ketika dia takut akan keselamatannya daripada musuh dalam solat khauf, atau jika dia sakit dan tidak mampu untuk menghadap dengan kiblat sendiri di mana tiada sesiapa di sisinya yang dapat membantunya, atau seumpamanya. Ini kerana ia adalah syarat tambahan yang tidak diperlukan ketika seseorang tidak mampu. (Lihat al-Bada’i al-Sanai’ 1/118)
Manakala ulama mazhab Maliki dan al-Syafi’i pula berpandangan: Sesiapa yang tidak mampu menghadap kiblat dan tidak mendapati sesiapa yang boleh membantunya menghadap kiblat walaupun dengan upah; maka dia boleh solat mengikut keadaannya dan wajib untuk mengulangi solatnya.
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Bagi pesakit yang tidak mampu menghadap kiblat dan tidak mendapati sesiapa yang boleh membantunya menghadap kiblat, sama ada secara sukarela atau dengan bayaran, maka dia wajib untuk solat mengikut keadaannya dan solat tersebut perlu diulangi; kerana ini merupakan alasan yang jarang berlaku. (Lihat al-Majmu’, 3/243)
Dalam isu ini juga Dar al-Ifta al-Misriyyah dalam fatwanya menyatakan: Jika seseorang pesakit apabila tiba waktu solat, dia tidak mampu menghadap kiblat dengan sendiri atau dengan bantuan orang lain dan hal itu menyusahkan baginya: maka dia dibenarkan untuk solat mengikut keadaannya, walaupun tidak menghadap kiblat. Dia tidak perlu untuk mengulangi solat tersebut. Hal ini sebagaimana pendapat Mazhab Hanafi dan Hanbali.[1]
Justeru berdasarkan pandangan ulama yang telah dinyatakan di atas kami lebih cenderung kepada pandangan yang mengatakan orang sakit yang tidak mampu menghadap ke arah kiblat dalam solat dan tidak ada yang membantunya untuk menghadap kiblat maka dia boleh solat mengikut keadaannya. Tidak perlu baginya untuk mengulangi solat tersebut. Ini kerana syarat sah solat iaitu “mengahadap kiblat ” digugurkan ketika dalam keadaan darurat seperti sakit dan sebagainya. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Syeikh al-Maraghi berkata: Allah SWT tidak membebankan hamba-hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu mereka kerjakan. Bahkan sifat kemurahan-Nya memberikan kemudahan kepada mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/672)
Hal ini juga selari dengan kaedah yang menyebutkan:
مَنْ ابْتُلِيَ بِمُخْتَلَفٍ فِيهِ كَانَ لَهُ أَنْ يُقَلِّدَ مَنْ أَجَازَ
Maksudnya: “Sesiapa yang diuji dengan suatu kesusahan yang diperselisihi di dalamnya, maka dia boleh bertaqlid dengan ulama yang mengharuskannya.”
Walaupun begitu, kami tegaskan, jika di Malaysia sebagai sebuah negara Islam, kami yakin dan percaya ramai staf hospital atau klinik yang sanggup membantu serta membetulkan arah kiblat terlebih dahulu dari sudut susunan katil jika diminta oleh pesakit. Insya Allah, ia cukup mudah berbanding dengan tempat-tempat lain. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Nota kaki:
[1] Lihat : https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18489/%D8% Diakases pada 22 April 2024