Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apa faktor yang menyebabkan orang suka berhutang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada tahun 2023 dicatatkan hampir 300 ribu orang yg muflis. Lebih menyedihkan lagi, Individu yang berusia 35 tahun hingga 44 tahun dikategorikan sebagai golongan paling ramai diisytiharkan muflis iaitu seramai 13,073 orang berdasarkan statistik dari 2019 hingga 2023. Punca utama bagi muflis adalah hasil dari pinjaman peribadi. Maka untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu lihat dahulu apakah faktor-faktor yang menyebabkan hutang.
Faktor-Faktor hutang
Antaranya:
- Desakan hawa nafsu
Kita lihat orang lain beli kereta baru, maka kita nak beli juga. Bila kita lihat orang lain beli gelang emas, maka kita pun nak beli juga. Sedangkan kita tidak mampu membelinya, maka jalan pintas yang kita akan lakukan adalah dengan berhutang.
- Pengaruh dari rakan atau jiran
Mereka ini kadang-kadang sering memberi galakan untuk berhutang. Lebih sukar lagi jika jiran atau sahabat handai itu sendiri adalah ejen kepada sesebuah produk dan setiap hari mempengaruhi kita untuk memiliki sesuatu yang sebenarnya kita tidak perlukan.
Benarlah hadith Nabi SAW, seperti riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
Maksudnya: “Seseorang menurut agama teman karibnya. Maka hendaklah kalian melihat siapakah yang menjadi teman karibnya”.
Riwayat Abu Daud (4835) dan Tirmizi (2552)
Syeikh Syams al-Haq dalam syarahnya menyebutkan, manusia pada kebiasaannya akan mengikut kawannya dari segi perbuatan, perjalanannya. Maka perhatikanlah dan selidikilah sesiapa yang kamu ingin berkawan. Sesiapa yang kamu redha tentang agama dan akhlaknya maka berkawanlah dengannya. Sekiranya tidak, maka jauhilahnya. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 13/123).
- Tiada sifat qana’ah di dalam diri
Qana’ah ialah merasa cukup dengan apa yang ada. Maka bila kita tiada qana’ah dalam diri kita maka kita akan rasa tidak puas dan bersyukur dengan apa yang ada. Kononnya mahu memperbaiki kehidupan dari semasa ke semasa, tetapi terlupa kesan dan akibat daripada berhutang tersebut.
Sepertimana kata Imam al-Syafi’i Rahimahullah:
الْعَبْدُ حُرٌّ إِنْ قَنِعَ وَالْحُرُّ عَبْدٌ إِنْ طَمَعْ
فَــاقْــنَـعْ وَلَا تَـطْـمَـعْ فَـلَا شَيْءٌ يَشِينُ سِوَى الطَّمَعْ
“Hamba itu merdeka selama mana dia bersifat qana’ah
Sebaliknya, orang merdeka menjadi hamba selama mana tamak
Maka berqana’ahlah dan jangan kamu tamak
Tidak ada sesuatu yang hina kecuali tamak.”
(Lihat Diwan al-Imam al-Syafi’i, hlm. 57)
- Tidak sabar
Antara faktor lain yang dilihat turut menyumbang kepada masalah hutang ini ialah keinginan memiliki sesuatu benda dengan cepat walaupun pada hakikatnya, ia di luar kemampuan individu tersebut.
Kadang-kadang, kemampuannya adalah amat terhad. Tetapi dek desakan nafsu, maka hilang kesabarannya, lantas sanggup berhutang sehingga membebankannya. Bahkan, memerangkapnya dalam sebuah kehidupan yang sengsara.
- Kemudahan pinjaman zaman sekarang
Kemudahan pinjaman yang disediakan oleh beberapa pihak tertentu seperti institusi kewangan dan perbankan bagi menggalakkan lagi amalan berhutang. Hal ini terbukti berdasarkan hanya dengan slip gaji tanpa mengira risiko yang dihadapi di kemudian hari. Inilah yang banyak berlaku di kalangan pekerja-pekerja atau belia yang masih muda, yang belum mengenal asam garam kehidupan yang akhirnya terbelenggu dengan hutang.
Penutup
Sebagai penutup, Nabi SAW telah mengajarkan kepada umatnya suatu doa yang boleh melunaskan hutang:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)