Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah mencuci pakaian dengan cara “dry cleaning” dikira bersih dan mensucikan najis? Sekalipun tidak menggunakan air, cucian dengan cara ini tetap dapat membersihkan dan menghilangkan kotoran yang terdapat pada pakaian itu. Ini kerana sesetengah pakaian tidak boleh dibasuh dengan menggunakan air kerana ia akan merosakan fabrik atau kainnya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mentakrifkan terlebih dahulu “dry cleaning” ini. Dry cleaning atau cucian kering ini ialah sebarang proses pembersihan pakaian dan tekstil menggunakan pelarut selain daripada air. Cucian kering masih melibatkan cecair, tetapi pakaian sebaliknya direndam dalam pelarut cecair yang bebas air (biasanya pelarut bukan polar, berbanding air yang merupakan pelarut polar). Tetrakloroetilena (perchloroethylene), yang dikenali dalam industri sebagai “perc,” adalah pelarut yang sering digunakan. Pelarut alternatif ialah 1-bromopropana dan spirit petroleum.

Kebanyakan kain gentian semula jadi boleh dicuci dalam air tetapi sesetengah sintetik (cth, viscose, lyocell, modal, dan cupro) bertindak balas dengan lemah dengan air dan harus dibersihkan dengan kering jika boleh. Ungkapan “cucian kering” digunakan untuk kedua-dua kedai yang menyediakan perkhidmatan cucian kering dan untuk pengendali mesin yang menjalankan proses tersebut.[1]

Menurut Britannica, “cucian kering” ialah sistem pembersihan tekstil dengan pelarut kimia dan bukannya air. Bahan kimia, selalunya halida (halide) atau organohalogen (sebatian yang mengandungi atom halogen yang terikat pada atom karbon), melarutkan kotoran dan gris daripada fabrik. Karbon tetraklorida pernah digunakan secara meluas sebagai cecair pencuci kering, tetapi kesan kesihatannya yang buruk telah mengurangkan penggunaannya; sebatian halogen organik lain kini lebih disukai, terutamanya tetrakloroetilena, yang jauh lebih stabil dan kurang toksik.[2]

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya para ulama berbeza pendapat dalam hal membersihkan dan menyucikan najis dengan menggunakan selain air mutlak kepada dua pendapat.

Pendapat pertama, iaitu jumhur fuqaha dalam kalangan Malikiyyah, Syafi‘iyyah dan Hanabilah, serta riwayat yang paling sahih daripada Imam Ahmad, juga pendapat yang dipegang oleh Muhammad bin al-Hasan dan Zufar daripada kalangan ulama Hanafiyyah bahawa tidak boleh untuk menghilangkan dan membersihkan najis pada pakaian dan tubuh badan melainkan dengan air mutlak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَنزَلْنَا مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ طَهُورًۭا

Maksudnya: “Dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci.”

(Surah al-Furqan: 48)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ لِّيُطَهِّرَكُم بِهِۦ

Maksudnya: “Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya.”

(Surah al-Anfal: 11)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Allah SWT menyebutkannya sebagai suatu nikmat. Jadi jika kesucian itu boleh terhasil atau dicapai tanpanya, maka nikmat tersebut juga tidak akan terhasil. Selain itu, tidak terdapat satu riwayat daripada Nabi SAW mengenai menghilangkan najis tanpa menggunakan air. Sebaliknya terdapat riwayat daripada Nabi SAW mengenai menghilangkan najis dengan menggunakan air dan tidak ada dalil yang jelas berkenaan menghilangkannya dengan menggunakan selain air. Maka, wajib mengkhususkannya (iaitu menghilangkan najis hanya dengan air mutlak) kerana jika dibolehkan untuk menghilangkan najis dengan menggunakan selain air, pasti Baginda akan menjelaskannya sekurang-kurangnya sekali atau lebih agar diketahui keharusannya sebagaimana yang dilakukan Baginda dalam perkara lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/96; al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/262).

Pendapat kedua, iaitu pendapat Abu Hanifah, Abu Yusuf dan satu riwayat daripada Hanabilah bahawa dibolehkan untuk membersihkan dan menyucikan najis dengan menggunakan air dan juga dengan setiap cecair bersih yang mampu untuk membersihkan dan menghilangkannya seperti cuka, air mawar dan seumpamanya, yang jika diperah ia mampu mengalir (daripada perahan tersebut) berbeza halnya dengan lemak, minyak, susu dan minyak sapi.

Mereka berhujah berdasarkan dengan hadith Aisyah R.Anha, beliau berkata:

مَا كَانَ لِإِحْدَانَا إِلَّا ثَوْبٌ وَاحِدٌ تَحِيضُ فِيهِ، فَإِذَا أَصَابَهُ شَيْءٌ مِنْ دَمٍ قَالَتْ بِرِيقِهَا، فَمَصَعَتْهُ بِظُفْرِهَا

Maksudnya: “Tidak ada salah seorang daripada kami melainkan memiliki sehelai kain yang dipakai ketika sedang haid. Sekiranya kain tersebut terkena sedikit darah, dia akan membasahkan dengan air liur pada tempat yang terkena sedikit darah itu, lalu menggoresnya dengan kuku.

Riwayat al-Bukhari (312)

Begitu juga dengan hadith Abu Sa‘id al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan untuk mendirikan solat dengan memakai kasut itu.”

Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889)

Hadith-hadith di atas menunjukkan mengenai berlaku atau terjadinya taharah (membersihkan najis) tanpa menggunakan air. Jadi, secara tidak langsung ia menunjukkan bahawa menggunakan air bukanlah suatu syarat untuk membersihkan najis.  Tambahan lagi, cuka dan cecair suci seumpamanya juga boleh menjadi bahan pembersih bagi najis dan menghilangkannya seperti mana fungsi air, maka cecair suci tersebut turut mengambil hukumnya — yakni hukum air. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/262).

Selain itu, pendapat kedua ini merupakan  pendapat yang dirajihkan (dipilih) oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah bila mana beliau menyebutkan dalam al-Fatawa al-Kubra (5/311), najis dapat dibersihkan dan disucikan dengan setiap cecair suci yang dapat menghilangkannya seperti cuka dan seumpamanya. Ini juga adalah riwayat daripada Imam Ahmad, pendapat yang dipilih oleh Ibn ‘Aqil dan mazhab Hanafiyyah.

Begitu juga al-Mardawi dalam kitabnya, al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf (2/276) turut menyatakan, terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawa najis boleh dibersihkan dan disucikan dengan setiap cecair suci yang mampu untuk menghilangkannya seperti cuka dan seumpamanya. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh Ibn ‘Aqil, Syeikh Taqiuddin dan pengarang al-Fa’iq.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa membersihkan pakaian dengan cara “dry cleaning” atau cucian kering ini adalah diharuskan dan pakaian yang dibersihkan dengan cara ini dikira bersih dan suci serta boleh dibawa dalam solat. Lebih-lebih lagi jika pakaian tersebut tidak boleh dibasuh dengan menggunakan air biasa kerana basuhan dengan air biasa akan merosakan fabrik atau kainnya, ataupun di sana terdapatnya kesukaran atau halangan untuk membasuh dan menghilangkan najis itu di tempat-tempat tertentu dengan menggunakan air. Tambahan lagi, pendapat ini juga dilihat lebih bersesuaian dengan prinsip-prinsip syariah dan asas-asasnya yang umum yang menyeru kepada kemudahan dan mengangkat atau menghilangkan kesusahan dan kesulitan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa pendapat yang lebih selamat dan berhati-hati (ihtiyat) adalah pendapat pertama iaitu membersihkan dan menyucikannya dengan air mutlak, sebagaimana pendapat jumhur ulama. Hal ini adalah sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf sebagaimana yang ditegaskan oleh para fuqaha’:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Oleh itu, jika tidak terdapat sebarang halangan bagi membersihkannya dengan air, maka sebaik-baiknya bersihkanlah ia dengan menggunakan air mutlak. Inilah yang lebih baik dan utama. Namun, jika pakaian itu tidak boleh dibasuh dengan air sebagaimana caranya yang biasa kerana ia akan merosakan fabrik atau kainnya atau lain-lain sebab seumpamanya, maka tidak mengapa membersihkannya dengan cara cucian kering atau “dry cleaning” dengan cara bertaqlid kepada ulama yang mengharuskannya. Pakaian itu juga dikira bersih dan suci serta boleh dibawa dalam solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Cucian_kering. Diakses pada 22 April 2024.

[2] Lihat https://www.britannica.com/technology/dry-cleaning. Diakses pada 22 April 2024.

Leave a Reply