Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum membeli atau menjual barangan tiruan yang mana jenama asalnya adalah hak milik orang kafir yang telah didaftarkan trademark? Contoh seorang Islam membeli atau menjual bag jenama Chanel yang fake di pasar malam. ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
(Surah al-Nisa: 29)
Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/175).
Diriwayatkan daripada Abu Bakrah Nafi‘ bin al-Harith R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ، وَأَمْوَالَكُمْ، وَأَعْرَاضَكُمْ، بَيْنَكُمْ حَرَامٌ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، فِي شَهْرِكُمْ هَذَا، فِي بَلَدِكُمْ هَذَا
Maksudnya: “Sesungguhnya darahmu, hartamu dan kehormatanmu terpelihara antara sesama kamu sebagaimana terpeliharanya hari ini, bulan ini dan negerimu ini.”
Riwayat al-Bukhari (67) dan Muslim (1679)
Hadith ini menunjukkan bahawa haram mengambil harta orang lain secara batil walaupun dengan kadar yang sedikit. (Lihat Minhah al-Allam,6/323)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas Harta Intelek bermaksud apa-apa yang berkaitan dengan hak cipta, paten, rekabentuk perindustrian, disk optik dan cap dagangan.[1]
Jenis-jenis Harta Intelek :
- REKABENTUK INDUSTRI: Reka bentuk perindustrian adalah aspek hiasan atau estetik sesuatu artikel. Reka bentuk boleh terdiri daripada tiga dimensi ciri seperti bentuk dan konfigurasi artikel, atau ciri dua dimensi, seperti corak dan hiasan. Ciri-ciri reka bentuk mesti diterapkan pada sesuatu artikel oleh mana-mana proses perindustrian di mana artikel yang tersiap tu menarik perhatian.
- TANDA DAGANG: Tanda perdagangan adalah tanda yang membezakan barangan dan perkhidmatan dari seorang peniaga dari yang lain. Tanda merangkumi perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau gabungan yang disebutkan tadi.
- PATEN: Paten adalah hak eksklusif yang diberikan untuk ciptaan, iaitu produk atau proses yang secara umumnya menyediakan kaedah yang baru untuk melakukan sesuatu, atau menawarkan penyelesaian teknikal baru kepada sesuatu permasalahan.
- PETUNJUK GEOGRAFI: Petunjuk geografi (GI) adalah tanda yang digunakan pada produk yang mempunyai asal geografi tertentu dan memiliki sifat atau reputasi yang disebabkan oleh asal itu.
- HAK CIPTA: Hak cipta adalah perlindungan yang diberikan kepada pengarang, pemilik hak cipta dan pelaku karya dan persembahan hak cipta sebagaimana ditetapkan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
- REKA BENTUK SUSUN ATUR LITAR BERSEPADU: Reka bentuk susun atur litar bersepadu adalah pelupusan tiga dimensi elemen litar bersepadu dan beberapa atau semua saling litar bersepadu atau pelupusan tiga dimensi yang disediakan untuk litar bersepadu yang ditujukan untuk pembuatan.
Menurut keputusan persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami yang Kelima tahun 1409H/ 1988M. Perbincangan tentang al-Huquq al-Ma’nawiyyah, Harta intelek seperti yang dinyatakan di atas mempunyai nilai ekonomi yang tersendiri dan diakui orang sebagai satu bentuk kekayaan. Justeru harta-harta seperti ini dikira sebagai hak khusus kepada pemiliknya. Oleh kerana itu, hak-hak seperti itu tidak boleh dilanggar.[2]
Pencurian hak-hak hak cipta yang mempunyai nilai merupakan pemanfaatan tanpa kebenaran. Ia menyebabkan penurunan nilai dan mungkin juga penurunan dari segi spesifikasi. Pemanfaatan tanpa kebenaran dari pemilik hak cipta tidaklah dianggap sebagai pencurian yang dikenakan hukuman kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat seorang itu dihukum sebagai pencuri akan tetapi, ia merupakan harta yang nilainya mungkin layak dituntut pampasan kewangan oleh pihak yang terjejas. Nilai ini ditentukan oleh pengadilan berdasarkan tempat dan masa dan hakim perlulah mengenakan tindakan terhadap perbuatan tersebut demi menjaga kemaslahatan. (Lihat Fatawa Wal Istisyarat al-Islam al-Yaum,10/360)
Kami telah menjawab isu ini pada artikel yang bernombor #1885: Menjual Jersey Tiruan(Copy Original).
Namun apa yang perlu ditekan di sini adalah hukum mengambil hak cipta orang lain secara batil adalah sama baik ia merupakan hak cipta muslim atau non muslim iaitu haram dan tidak dibolehkan. Ini kerana mengambil hak cipta dengan menjual barang tiruan dapat menjejaskan jualan pemilik asal dan akan merugikan mereka.
Ibn Uthaimin menyatakan bahawa: Jika seseorang mengambil harta kafir zimmi, Mu‘ahad, atau Musta’man tanpa hak, dia telah memakan harta orang secara zalim; kerana tiga kategori ini adalah golongan yang dilindung; oleh itu, harta mereka adalah dihormati, begitu juga diri mereka. (Lihat Tafsir al-Uthaimin, 2/466)
Justeru, menjual barang tiruan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 oleh Bahagian Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK). Perlu diketahui bahawa membeli atau menjual barangan tiruan atau membuat salinan atau cetak semula secara tidak sah untuk barangan yang telah dipatenkan, hukum asalnya adalah haram baik hak cipta itu dari pemilikan muslim atau non muslim.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahua’lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.myipo.gov.my/ms/kenali-myipo/ Diakses pada 23 April 2024
[2] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/1757.html Diakses pada 23 April 2024