Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsiran ayat 4 daripada Surah al-Kafirun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ

Maksudnya: “Aku tidak sesekali akan menjadi penyembah apa yang kamu sembah.”

(Surah al-Kafirun: 4)

Al-Syaukani ketika menafsirkan ayat “وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ” menyatakan bahawa maknanya ialah aku tidak pernah sama sekali sebelum ini menyembah apa yang kamu sembah. Dalam erti kata lain, hal itu tidak pernah dijanjikan daripadaku. (Lihat Fath al-Qadir, 5/619).

Ibn Juzai dalam kitab tafsirnya, setelah beliau menjelaskan berkenaan ayat sebelumnya iaitu ayat “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” bahawa ini adalah suatu perkhabaran bahawa Baginda SAW tidak menyembah berhala-berhala mereka. Seterusnya, beliau menimbulkan persoalan bahawa jika ditanyakan: Mengapa diulangi makna ini iaitu melalui ayat “وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ”? Maka jawapannya dari dua sudut. Pertamanya adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Zamakhsyari bahawa ayat “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” merujuk kepada masa depan (akan datang), manakala ayat “وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ” pula merujuk kepada masa lalu. Dalam erti kata lain, maksudnya adalah aku tidak pernah sama sekali menyembah apa yang kamu sembah sebelum ini, jadi bagaimana kamu meminta perkara itu daripadaku sekarang. Keduanya adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn ‘Atiyyah bahawa ayat “لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ” berkemungkinan merujuk kepada masa kini secara khusus. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/518).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply