Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya seorang lelaki, jadi apa hukum saya bersalaman dengan adik beradik perempuan ibu mertua?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pada kebiasaannya, masyarakat Islam di Malaysia akan meraikan hari raya Aidilfitri bersama sanak saudara di kampung halaman sendiri atau pasangan masing-masing. Maka seringkali timbul persoalan yang tercetus dari rasa hormat terhadap ahli keluarga, seperti ibu dan bapa saudara dari sebelah isteri atau suami, adakah diharuskan untuk kita bersalam-salaman dengan mereka atau tidak. Persoalan ini amat berkait rapat dengan perbahasan mahram.

Mahram menurut fuqaha’ bermaksud, seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharaman tersebut untuk selama-lamanya, dengan sebab yang diharuskan syara‘, dan bukan kerana kemuliaannya serta bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

Apabila kita meneliti takrifan di atas, dapat difahami bahawa hakikat mahram itu bersifat al-ta’bid (التَّأْبِيدُ) yakni selama-lamanya dihukumkan sebagai mahram, kerana ia mewujudkan implikasi mahram dalam kategori nasab dan juga asbab (perkahwinan dan susuan) seperti yang berikut :

  • Haram berkahwin dengannya.
  • Boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh bersendirian bersamanya.

Berbeza dengan mahram yang bersifat al-ta’qit (التَّأْقِيتُ) yakni sementara, seperti adik beradik perempuan kepada isteri, ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu, kerana mahram ini hanya menatijah satu implikasi yang bersifat sementara sahaja, iaitu haram berkahwin. Mereka ini hanyalah haram untuk dikahwini kerana larangan yang terdapat di dalam firman Allah SWT:

وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ

Maksudnya: “Dan (janganlah) kamu menghimpunkan antara dua beradik perempuan (dalam tempoh perkahwinan yang sama).”

(Surah al-Nisa’: 23)

Antara golongan yang termasuk dalam kategori ini adalah bapa saudara suami atau ibu saudara isteri, sama ada dari sebelah ayah atau ibu mereka. Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يُجْمَعُ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَعَمَّتِهَا وَلاَ بَيْنَ الْمَرْأَةِ وَخَالَتِهَا

Maksudnya: “Tidak boleh untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama) antara seorang perempuan dengan ibu saudaranya (dari sebelah ayah) dan begitu juga dengan ibu saudaranya (dari sebelah ibu).”

Riwayat al-Nasa’ie (3288)

Prof. Dr. ‘Abd al-Nasir Khadr Milad mengklasifikasikan ‘mahram sementara’ ini bagi mereka yang haram dihimpunkan dalam satu perkahwinan, seperti menghimpunkan antara dua adik beradik, atau menghimpunkan antara anak saudara dan ibu saudara dalam satu perkahwinan. ‘Illah atau sebab pengharaman ini kerana dikhuatiri berlaku permusuhan antara kaum kerabat dan terputus hubungan silaturrahim. (Lihat al-Musarahah fi Ahkam al-Musafahah, hlm. 43-44; al-Mughni, 9/523)

Bersalaman dengan Wanita Ajnabi

Berdasarkan penjelasan di atas, mahram kerana perkahwinan dan juga susuan yang bersifat al-ta’bid diharuskan untuk bersalaman dengan mereka, seperti ibu mentua, ibu kepada ibu mentua, dan ke atas.

Manakala mahram yang bersifat al-ta’qit tidak menjadi asbab diharuskan untuk bersalaman dengan mereka, seperti adik beradik ipar, ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Mereka mengambil hukum wanita ajnabi yang perlu dipelihara batas pergaulan, seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka.”

(Surah al-Nur: 30-31)

Kesimpulan

Natijahnya, menantu lelaki haram bersalaman dengan adik beradik perempuan ibu mentua, sebagaimana menantu perempuan diharamkan untuk bersalam dengan adik beradik lelaki bapa mentua.

Meskipun adat bersalaman di Malaysia menunjukkan adab dan hormat kita terhadap mereka yang lebih tua, tetapi tidak bersalaman kerana mendahulukan perintah syara‘ bukanlah bermakna tidak ada keharmonian dan kerenggangan hubungan sesama keluarga. Bahkan keharmonian itu terbina dengan saling membantu, beramah mesra dan bertanya khabar di dalam musim-musim perayaan, bertukar juadah, di samping menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh agama.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam beragama, di samping memelihara hubungan silaturrahim sesama kaum keluarga serta sahabat handai kita.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply