Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara melangsaikan hutang?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hutang mudah untuk dibuat dan ia hanya mengambil masa sekejap sahaja untuk membuat hutang. Namun untuk membayarnya mengambil masa yang lama bahkan bertahun-tahun. Menyimpan hutang boleh meletakkan seseorang itu dalam jerangkap samar dan hanya tunggu masa untuk muflis. Oleh sebab itu, membayar hutang perlukan kaedah yang betul dan strategi yang tersusun supaya hutang yang ada itu tidak berpanjangan.
Antara langkah bagi menyelesaikan hutang ialah:
Pertama: Mempelajari kesilapan yang lalu.
Hasil daripada pelajaran ini kita tidak akan lagi mengulangi kesilapan sehingga perkara itu menyebabkan kita berhutang. Sebagai contoh pada setiap kali perayaan, maka kita mesti perlukan perbelanjaan yang lain untuk menyambut hari raya disamping itu pendapatan bulanan kita juga perlu tampung kos keperluan bulanan seperti biasa. Pasti, Jalan pintas yang kita akan ambil untuk menampung perbelanjaan hari raya adalah dengan berhutang. Maka jalan solusi untuk mengelak daripada berhutang adalah dengan menabung. Dengan perancangan menabung dari awal, kos perbelanjaan hari raya dapat ditampung.
Kedua: Berhenti daripada membuat hutang baru.
Kadang-kadang segelintir daripada masyarakat kita berhutang dengan tujuan untuk mambayar hutang yang lain. Situasi ini seolah-olah gali satu lubang, kemudian kambus kemudian gali lubang yg lain. Justeru itu, azamkan tekad untuk melunaskan satu-satu hutang dan berhenti daripada menambah hutang yang lain.
Ketiga: Bahagikan pendapatan dengan berhemah.
Sebagai contoh gaji bulan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti 10% sedekah, 10% simpanan, 10% keluarga dan 30% pembayaran hutang atau sebagainya.
Keempat: Aktifkan kuasa tabungan.
Menyimpanlah dari awal, iaitu sewaktu anda mempunyai pendapatan yang stabil. Jangan sesekali leka dengan hidup yang penuh dengan kesenangan tanpa memikirkan masa depan yang sebenarnya masih kabur.
Kelima: Bacalah sejarah orang kaya yang pernah jatuh dengan hutang, tapi dapat bangkit dengan sendiri sehingga menjadi antara orang yang terkaya. Jadilah orang yang bijaksana kerana orang yang bijaksana mempelajari dan mengkaji sejarah kesilapan orang lepas.
Keenam: Menolong saudara kita yang dalam kesusahan.
Niat untuk menolong saudara dan umat Islam serta menegakkan syiarnya ini sudah pasti akan mendapat pertolongan daripada Ilahi.
Ketujuh: Perlu ada azam dan keyakinan kukuh bahawa kita mampu melangsaikan hutang. Allah SWT berfirman:
فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ
Maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Kelapan: Bergantung dan berdoa kepada Allah.
Jalinkan hubungan yang kukuh dengan Allah. Memelihara yang fardu dan sunat seperti qiamullail, puasa, solat Dhuha, sedekah dan lain-lain.
Akhir sekali, kehendak seseorang menyelesaikan hutang adalah perlu dengan azam dan tekad yang sungguh disamping berusaha dengan gigih. Juga perlu disulami tawakal kepada yang Maha Esa. Maka sudah pasti menatijahkan keputusan yang baik.
Bacalah sejarah salaf al-Soleh yang jelas menunjukkan dengan sikap yang bersungguh-sungguh sudah pasti ada jalannya. Justeru, sewajarnya kita tanamkan tekad kita agar dapat melaksanakannya disamping menadah tangan bermunajat kepada Allah Maha Esa.
Marilah sama-sama kita melazimi doa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”
Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)