Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana perspektif Islam tentang seorang perempuan yang bekerja tetap, kemudian dia mendapat 3 bulan cuti bergaji selepas bersalin? Bagaimana konsep gaji itu, kerana tidak ada pertukaran tenaga kerja antara majikan dan pekerja, secara tidak langsung majikan seakan dizalimi oleh undang-undang?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan saudara, perlu diketahui bahawa setiap syarikat yang mengambil pekerja seharusnya telah sedia maklum tentang akta-akta pekerja yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Tujuan akta-akta ini dibuat adalah untuk selarikannya dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Cerian SR.5.4.2 yang menitikberatkan konsep mengutamakan keluarga. Ia juga sebagai perlindungan kepada hak wanita dalam dunia pekerjaan.

Kerajaan Malaysia telah menetapkan undang-undang berhubung kemudahan bercuti yang wajib diberikan kepada pekerja perempuan yang bersalin. Di dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022, disebutkan pada seksyen 37:

  1. Jika pekerja wanita layak mendapat cuti bersalin di bawah subperenggan (a)(i), sama ada atau tidak, dia layak menerima elaun bersalin daripada majikannya untuk tempoh yang layak di bawah perenggan (c), atau sama ada dia telah memenuhi syarat atau tidak. syarat yang dinyatakan dalam perenggan (2)(a), dia boleh, dengan persetujuan majikannya, mula bekerja pada bila-bila masa dalam tempoh yang layak jika dia telah diperakui layak untuk menyambung semula kerja oleh pengamal perubatan berdaftar.
  2. dalam subperenggan (d)(ii), dengan menggantikan perkataan “sixty” dengan perkataan “ninety-eight.”

Disebutkan dalam subperenggan (a)(i): “Setiap pekerja wanita berhak mendapat cuti bersalin untuk tempoh yang layak bagi setiap pantang.”

Dan di dalam perenggan (d)(ii) pula disebutkan: “‘Tempoh yang layak’ bermaksud tempoh cuti bersalin tidak kurang daripada sembilan puluh lapan hari berturut-turut.”

Di dalam seksyen 41A dari akta yang sama, disebutkan: “Majikan tidak dibenarkan untuk memberhentikan, memberikan notis penamatan khidmat kepada pekerja yang hamil atau mengalami penyakit yang berpunca daripada kehamilannya, kecuali atas alasan:

  • pekerja melakukan salah laku, atau;
  • pelanggaran dengan sengaja terhadap kontrak perkhidmatan, atau;
  • penutupan perniagaan majikan.”[1]

Sekiranya seorang majikan itu maklum akan akta yang telah diwartakan ini, kemudian bersetuju untuk mengambil pekerja perempuan bekerja di syarikatnya, maka majikan tersebut wajib memberikan hak yang telah ditetapkan tersebut, sebagaimana pekerja wajib menunaikan hak majikan semasa bekerja. Ini jelas sebagaimana yang warid dalam hadith ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلَالًا أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا ‏

Maksudnya: “Orang Islam itu terikat dengan syarat-syaratnya (perjanjian) melainkan syarat mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.”

Riwayat al-Tirmizi (1352)

Syeikh al-‘Azim Abadi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah   balik.” (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 10/26)

Hadith di atas menerangkan ciri-ciri yang yang terkandung di dalam akad atau perjanjian yang seharusnya dipatuhi. Oleh itu para ulama’ menggariskan bahawa hukum bagi kedua-dua belah pihak yang berjanji seharusnya meredhai satu sama lain dengan isi kandungan perjanjian itu selagi ia tidak menyalahi hukum syara‘.

Berbeza situasinya jika majikan tersebut tidak bersetuju dengan akta yang telah ditetapkan, maka dia sepatutnya tidak mengambil pekerja perempuan. Oleh yang demikian, tidak wajar penunaian hak ini diistilahkan sebagai kezaliman, sebaliknya kezaliman yang nyata apabila majikan itu sendiri sering berdalih atau mempersulit setiap hak yang berkaitan dengan pekerja. Ketahuilah bahawa syarikat yang dibangunkan tersebut tidak akan dapat berkembang dengan baik tanpa adanya khidmat dari pekerja yang berkualiti, dan pekerja yang berkualiti dapat dipupuk dengan memastikan kebajikannya terjaga. Kebajikan yang dimaksudkan adalah hak kehidupan asasi pekerja sebagai manusia yang pastinya akan berkeluarga dan perlu kepada kepentingan-kepentingan lain, seperti masa untuk berehat, kemudahan membuat pinjaman kewangan bagi tujuan membeli rumah, dan lain-lain.

Dalam pada itu, pekerja juga perlu memastikan agar hak majikan ditunaikan sepenuhnya sesuai dengan akad perjanjian yang dipersetujui. Ini amat dititikberatkan oleh Islam, sehingga terdapat satu hadith daripada ‘Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat (897) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (4929, 4930 dan 4931) tetapi dengan sanad yang berbeza.

Allah SWT juga menyebutkan di dalam firman-Nya:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”

(Surah al-Mu’minun: 8)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni, jika mereka (orang mu’min) diberi amanah, mereka tidak mengkhianati, malah mereka mengembalikannya kepada pemiliknya. Dan jika mereka membuat perjanjian atau akad, mereka memenuhinya (terma dan syarat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/404)

Begitu juga firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Al-Maraghi menjelaskan akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/191-194)

Kami mengajak untuk sama-sama kita merenung sabda Rasulullah SAW dalam hadith Abu Hurairah R.A:

آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”

Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)

Semoga kita tidak tergolong dari kalangan mereka yang tidak menunaikan hak sesama manusia, seterusnya jauh dari sifat munafiq yang disebutkan oleh Rasulullah SAW. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://jtksm.mohr.gov.my/sites/default/files/2023-11/Akta%20Kerja%201955%20%28Akta%20265%29.pdf. Diakses pada 24 April 2024.

Leave a Reply