Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah wang syubhah digunakan untuk membeli sistem peralatan  audio untuk kegunaan pelajar dan masyarakat? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Abu ‘Abdillah, Nu’man bin Basyir R.Anhuma, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الحَلالَ بَيِّنٌ وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُوْرٌ مُشْتَبِهَاتٌ لاَ يَعْلَمُهُنَّ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرأَ لِدِيْنِهِ وعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ. أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى. أَلا وَإِنَّ حِمَى اللهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وإذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya: “Sesungguhnya  yang  halal  itu  jelas  dan  yang  haram  itu  jelas.  Di antara  keduanya  terdapat  perkara-perkara  yang  syubhah  (samar-samar)  yang  tidak diketahui  oleh  sebahagian  manusia.  Maka  sesiapa  yang  menjauhi  perkara  syubhah bermakna  dia  telah  menyelamatkan  agama  dan  kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan.  Sebagaimana  penggembala  yang  membawa  haiwan  gembalaannya disekitar  padang  larangan,  maka  lambat  laun  dia  mungkin  akan  memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan.  Ketahuilah  bahawa  dalam  diri  ini  terdapat  segumpal  daging,  jika  ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan: “Apabila sesuatu itu tidak jelas keadaannya, maka ia adalah syubhat dan sikap wara’ adalah dengan meninggalkannya. Sufyan al-Tsauri menyatakan: “Itu tidaklah membuatku kagum, tetapi yang lebih membuat aku kagum adalah meninggalkan sesuatu yang syubhat.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200)

Imam al-Suyuti dalam mensyarahkan hadith menyatakan perkara mutasyabihat merupakan perkara yang tidak jelas halal dan haramnya dan sesiapa yang meninggalkannya bererti ia telah menyelamatkan agamanya daripada fitnah. (Lihat Syarh al-Suyuti ala Sahih Muslim, 4/190)

Pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi mengenai syubhat belaiu menyatakan: “Di sini, kami menegaskan bahawa mengetahui yang halal dan haram secara umum sahaja masih tidak memadai. Asas halal dan haram sememangnya tidak lari bagi setiap Muslim, akan tetapi masih terdapat segelintir umat Islam terjerumus ke dalam perkara yang diharamkan seolah-olah mereka sedang menerokai perjalanan untuk jatuh ke lembah neraka, sedangkan mereka semua mengetahui apa yang mereka lakukan.

Yang penting di sini, seseorang itu mestilah mempunyai sifat takwa kepada Allah SWT yang menjadi asas bagi semua permasalahan hidup.  Mereka juga boleh menggunakan ungkapan lain yang sering kedengaran sejak akhir-akhir ini seperti: Seseorang itu mestilah mempunyai kesedaran yang tinggi yang boleh menahan orang yang beragama Islam pada batasan halal serta melindungi mereka daripada melalui jalan yang haram.

Apabila seseorang Islam sudah dilengkapi dengan sesuatu ilmu yang menyedarkan tentang batasan agama dan syariatnya, di samping adanya kesedaran yang jitu berkenaan perihal menjaga diri daripada melalui batasan itu supaya tidak mendekatinya, maka pada ketika itu akan lengkaplah semua kebaikan pada dirinya.” (Lihat al-Kafi Syarh Hadith 40, hlm. 78)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami ingin menekankan bahawa seorang muslim hendaklah menitik berat tentang sumber  halal dan haram dalam kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, jika wang tersebut dianggap syubhat, iaitu tidak pasti sama ada halal atau haram, ia masih boleh digunakan untuk tujuan awam yang penting, seperti pembinaan jambatan, peningkatan jalan, pembaikan tandas, dan lain-lain. Namun, prinsip utama adalah dengan menjauhi perkara-perkara yang syubhat dan memastikan sumber kewangan yang benar-benar halal dan patuh syariah.

Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut fatwa Imam al-Ghazali dalam kitab al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (9/351):

“Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…”

Justeru, kami berpandangan menggunakan wang syubhah untuk membeli audio untuk kegunaan pelajar atau masyarakat awam adalah diharuskan. Ini kerana ia digunakan untuk keperluan dan kemaslahatan orang ramai. Di sini kami mengambil peluang untuk mengingatkan agar sentiasa berhati-hati dari sumber yang haram mahupun syubhat. Nu’man bin Basyir R.Anhuma, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang memelihara dirinya daripada sebarang syubah maka sebenarnya dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.”

Riwayat Bukhari (52) dan Muslim (20)

Hadith ini menjelaskan bahawa orang yang tidak menjauhkan diri dari perkara-perkara yang tidak pasti, iaitu yang syubhah (samar-samar) dalam kehidupannya, maka dia telah menyerahkan dirinya ke dalam celaan. Sebagaimana kata sebahagian salaf:

مَنْ عَرَّضَ نَفْسَهُ لِلتُّهَمِ، فَلَا يَلُومَنَّ مَنْ أَسَاءَ بِهِ الظَّنَّ

Maksudnya: “Sesiapa yang meletakkan dirinya di tempat yang mendatangkan tohmah, maka janganlah dia menyalahkan orang yang buruk sangka padanya.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Wallahua`lam.

Leave a Reply