Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat sejenis siput rare dan eksotik yang dipanggil siput harimau mirip siput babi. Soalannya, adakah ia halal dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan siput harimau itu. Nama biasa siput ini ialah Spiral Babylon. Namun, di Malaysia ia lebih dikenali sebagai siput harimau atau siput manis. Ia ialah spesies siput laut, moluska gastropod marin, dalam keluarga Babyloniidae. Ia adalah spesies jenis genus Babylonia. Nama saintifiknya ialah Babylonia spirata. Ciri pengenalan utamanya adalah baris lingkaran tompok coklat gelap bulat pada latar belakang coklat muda (kekuningan). Ia dapat dijumpai pada substrat lumpur, pasir dan cengkerang pada julat kedalaman antara 0 hingga 60 meter.[1]

undefined

Gambar atas: Siput Harimau atau Spiral Babylon. (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Babylonia_spirata#/media/File:Babylonia_spirata_(2766979275).jpg)

Memakan Siput Harimau

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, haiwan air dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu spesies ikan sebagaimana rupa bentuknya yang telah diketahui umum. Ia adalah halal untuk dimakan walau bagaimanapun cara ia dimatikan serta tidak perlu disembelih. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, tatkala haiwan buruan itu merangkumi haiwan buruan darat dan lautan, Allah SWT telah mengecualikan bagi kamu — dalam keadaan kamu sedang berihram — haiwan buruan laut iaitu haiwan laut yang hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu haiwan laut yang sudah mati. Justeru, perkara itu menunjukkan bahawa bangkai haiwan laut adalah halal. Selain itu, faedah kehalalannya itu adalah bertujuan supaya kamu memanfaatkannya dan begitu juga temanmu yang bersama kamu dalam perjalanan turut memanfaatkannya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/244).

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211)[2]

Selain itu, semua haiwan yang dianggap termasuk dalam jenis ikan secara bahasa dan ‘uruf adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf. Bahkan turut dinukilkan ijma‘ ulama berkenaan keharusan memakan ikan berserta semua jenis-jenisnya daripada ramai ulama. Di antaranya adalah seperti yang disebutkan oleh Ibn Hazm dalam Maratib al-Ijma‘ (hlm. 148), para ulama telah bersepakat bahawa ikan yang ditangkap dari laut, sungai, kolam dan mata air, apabila ditangkap hidup-hidup, disembelih, dan tangkapan itu dilakukan oleh seorang Muslim yang sudah baligh, berakal dan tidak mabuk, maka memakannya adalah halal (dibolehkan).

Begitu juga Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan bahawa kaum Muslimin telah berijma‘ akan keharusan memakan ikan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/86). Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menyatakan bahawa tidak ada khilaf di antara ulama berkenaan kehalalan untuk memakan ikan tanpa mengira jenis-jenisnya. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).

Keduanya, haiwan air yang tidak menyerupai bentuk kebiasaan ikan seperti babi air dan anjing laut. Para ulama telah berselisih pendapat dalam kategori ini. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/547-548). Bagi kategori ini, Imam al-Nawawi ada menukilkan tiga pendapat yang masyhur mengenai perkara ini dalam kitab beliau, dan menyatakan bahawa pendapat yang sahih di sisi ulama mazhab al-Syafi‘i adalah semuanya halal untuk dimakan, tanpa perlu berhajat kepada sembelihan. Justeru, bangkainya adalah halal untuk dimakan. Hal ini kerana perkataan al-Samak “السَّمَك” — sebagaimana yang terdapat dalam hadith — merujuk kepada semua hidupan air. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/33-34; al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/548). Ia termasuk sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya:Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.

(Surah al-Ma’idah: 96)

Begitu juga, terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya:Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.

Riwayat Abu Daud (83); al-Tirmizi (69) dan al-Nasa’i (59)

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari juga ada menukilkan pendapat Imam al-Mawardi yang menjadi dhawabit (garis panduan) dalam menentukan kategori suatu haiwan itu apabila berhimpun pada dirinya darat dan laut, iaitu:

مَا يَجْمَعُ مِنْ الْحَيَوَانِ بَيْنَ الْبَحْرِ وَالْبَرِّ إنْ كَانَ اسْتِقْرَارُهُ بِأَحَدِهِمَا أَغْلَبَ وَمَرْعَاهُ بِهِ أَكْثَرَ غَلَبَ عَلَيْهِ حُكْمُهُ

Maksudnya: “Haiwan yang berhimpun padanya antara laut dan darat (dapat hidup di kedua-duanya), sekiranya ia dapat tetap (berterusan) hidup pada salah satunya menurut kebiasaan dan hidupnya lebih banyak di situ. Maka, hukumnya mengikut kebiasaannya.”

Oleh itu, apa-apa haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air sahaja atau apabila ia keluar dari air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih, maka hukumnya adalah halal dimakan, walau bagaimana keadaannya pun serta ia dinisbahkan sebagai hidupan air. Kemudian, jika suatu haiwan itu tidak cenderung kepada mana-mana antara keduanya (air atau darat), maka hukumnya adalah seperti haiwan darat mengikut pendapat yang sahih serta tidak halal untuk memakannya melainkan setelah disembelih, jika ia termasuk dalam jenis haiwan yang boleh disembelih. Sekiranya tidak, hukumnya adalah haram — untuk memakannya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/566).

Tambahan pula Imam al-Syafi‘i juga ada menyebutkan bahawa untuk menentukan haiwan tersebut dalam kategori haiwan buruan yang mana, maka lihatlah haiwan itu hidupnya lebih banyak di darat atau di laut. Termasuk juga dalam kategori haiwan yang mengambil hukum haiwan laut ialah haiwan yang tinggal di dalam air perigi, paya, air tawar, air masin, air sedikit, air banyak dan lain-lain. (Lihat al-Umm, 2/130; 2/199).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa siput harimau atau siput manis ini termasuk dalam haiwan laut yang halal dimakan berdasarkan kepada keumuman nas yang menghalalkan semua hidupan laut dan bangkainya selagi mana tiada dalil lain yang menunjukkan kepada pengharamannya dan tidak memudaratkan. Apatah lagi, ‘uruf dan adat setempat sesetengah kawasan termasuklah di negara kita turut menunjukkan bahawa ia dimakan, dijual dan tidak dianggap sebagai haiwan jijik.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.talkaboutfish.com/southeast-asia-mollusca/ dan https://en.wikipedia.org/wiki/Babylonia_spirata. Diakses pada 25 April 2023.

[2] Imam al-Baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Leave a Reply