Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah wang KWSP tidak perlu difaraidkan, atau ia menjadi hak isteri sepenuhnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

(Surah al-Nisa’: 7)

Al-Tabari menafsirkan firman Allah di atas: “Bagi setiap anak lelaki kepada seorang arwah lelaki mendapat bahagian dari pusaka, dan setiap anak perempuan juga mendapat bahagian dari pusaka, sama ada sedikit yang ditinggalkan atau banyak, bahagian yang telah ditetapkan, wajib diberikan, telah diketahui bahagiannya, dan perlu dilunaskan dalam tempohnya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 7/597)

Berkenaan wang KWSP ini, ia tidak dikira sebagai harta sepencarian, sebaliknya ia merupakan harta persendirian yang boleh dikeluarkan selepas mencapai tempoh matang. Oleh yang demikian, wang KWSP tersebut tidak boleh menjadi hak isteri si mati sepenuhnya, sebaliknya ia perlu dibahagikan kepada ahli waris Status wang KWSP ini telah dijelaskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) kali ke-49 yang bersidang pada 19 September 2000, mereka telah menyimpulkan perihal wang simpanan KWSP, SOCSO dan seumpamanya bagi ahli beragama Islam yang meninggal dunia seperti berikut:

  • Wang KWSP dan wang disimpan adalah pusaka yang mesti dibahagikan mengikut hukum faraid.
  • Penama KWSP adalah wasi atau pentadbir harta. Penama hendaklah membahagikan wang KWSP (peninggalan si mati) mengikut hukum faraid.
  • Bahagian Undang-Undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hendaklah menasihatkan KWSP supaya menyemak semula peraturan dan undang-undang yang sedia ada berhubung dengan penamaan supaya selaras dengan hukum syara‘.[1]

Urusan faraid tersebut akan diselesaikan oleh penama yang telah dibuat oleh ahli. Pihak KWSP sendiri telah memberikan galakan untuk membuat penamaan bagi membolehkan waris terdekat mengeluarkan simpanan KWSP tanpa sebarang kesulitan. Tambahan lagi, ahli keluarga yang berada di bawah tanggungan akan dipertimbangkan untuk menerima satu bayaran Bantuan Kematian bagi membantu mereka dalam waktu kesulitan. Sekiranya penama tersebut juga telah meninggal dunia, waris terdekat ahli layak untuk memohon bagi Pengeluaran Kematian. Kesemua bahagian simpanan KWSP ahli boleh dikeluarkan mengikut bahagian penamaan yang dibuat.[2]

Kami juga mencadangkan untuk saudara bertanya secara terus kepada pihak KWSP berkenaan proses yang perlu dilakukan bagi menguruskan wang KWSP peninggalan ahli keluarga itu. Sekiranya ada keperluan untuk mendapatkan bimbingan yang lebih baik, penama tersebut boleh mengambil khidmat guaman syariah dari mana-mana syarikat yang dipercayai. Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan pencerahan kepada saudara yang bertanya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15206. Diakses pada 25 April 2024.

[2] Lihat https://www.kwsp.gov.my/ms/ahli/akaun-pengguna/kematian. Diakses pada 25 April 2024.

Leave a Reply