Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Berapakah nisab zakat dirham atau perak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, daripada Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا ، فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ، حَتَّى يَحُولَ علَيْهِ الحَوْلُ

Maksudnya: “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.

Riwayat Abu Daud (1572); Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam (3/318) menilainya sebagai hasan.

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسَةِ أَوْسُقٍ مِنَ التَّمْرِ صَدَقَةٌ، وَلَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنَ الوَرِقِ صَدَقَةٌ، وَلَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ ذَوْدٍ مِنَ الإِبِلِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat ke atas kurma yang kurang daripada lima wasaq, dan tidak wajib juga zakat ke atas perak yang kurang daripada lima awaq, dan tidak wajib juga zakat ke atas unta yang kurang daripada lima ekor.”

Riwayat al-Bukhari (1459)

Menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, tidak dikenakan zakat pada emas sehingga jumlahnya 20 mithqal, manakala perak pula 200 Dirham. Sebagaimana yang disepakati bahawa setiap 10 dirham menyamai berat 7 mithqal, iaitu 33 6/10 gram mengikut timbangan mithqal ‘ajami. Oleh itu, 200 dirham bersamaan dengan 672 gram.

Sejarah membuktikan bahawa nilai 200 dirham perak menyamai 20 mithqal emas pada masa permulaan Islam. Berdasarkan sejarah inilah, perkiraan nisab zakat bagi emas dan perak bermula. Kemudian, berlaku pula perbezaan nilai dirham disebabkan perbezaan nilai emas. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/29).

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menjelaskan, nisab perak — sama ada ia ditempa, dibuat menjadi bar, atau sebagai hiasan — adalah 200 dirham. Perkara ini adalah ijma‘ ulama, namun mereka berselisih pendapat pada nilaian dirham tersebut. Setelah diteliti, nilaian dua ratus dirham adalah bersamaan dengan 595 gram iaitu pada kadar 56 riyal Saudi. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/319).

Pusat Pungutan Zakat MAIWP menukilkan, menurut Dr. Yusuf Al-Qaradawi, fuqaha telah bersetuju bahawa 200 dirham adalah bersamaan 595 gram. Logam perak yang ditempa kepada bentuk-bentuk lain seperti perkakasan, barang perhiasan, barang kemas tetap bersandarkan beratnya setelah pemilikannya melebihi nisab 595 gram.[1] Begitu juga Lembaga Zakat Selangor, MAIS menyatakan bahawa nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih.[2]

Kesimpulannya

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa zakat dirham atau perak wajib dikeluarkan apabila cukup haul dan mencapai nisab sebanyak 200 dirham atau lebih. 200 dirham itu pula mengikut kiraan semasa adalah bersama dengan 595 gram.

Kami bawakan di sini contoh pengiraannya bagi memudahkan lagi pemahaman pembaca sekalian. Sebagai contoh, sekiranya jumlah pemilikan perak dalam tempoh setahun ialah 900 gram (melebihi nisab) maka:

900 gram perak x RM3.08 [Harga segram perak semasa (2024)][3] x 2.5% = RM69.30.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-perak/. Diakses pada 25 April 2024.

[2] Lihat https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/jenis-jenis-zakat/zakat-emas-perak/. Diakses pada 25 April 2024.

[3] Lihat https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-perak/. Diakses pada 25 April 2024.

Leave a Reply