Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, bagaimana cara untuk menjadikan keluarga sebagai sebuah keluarga Baiti Jannati?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ketika Rasulullah SAW pulang ke rumah dalam keadaan gementar, Baginda SAW berkata kepada Khadijah R.Anha: “Selimutkan aku! Selimutkan aku!” Maka Rasulullah SAW pun diselimuti sehingga hilang keresahannya. Rasulullah SAW kemudian menceritakan kepada Khadijah R.Anha apa yang berlaku kepadanya. Rasulullah SAW berkata, “Aku bimbang sesuatu yang tidak baik berlaku padaku.” Lantas Khadijah R.Anha menyahut:
كَلَّا وَاللهِ مَا يُخْزِيكَ اللهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الكَلَّ، وَتَكْسِبُ الـمَعْدُومَ، وَتَـقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَـوَائِبِ الحَقِّ
Maksudnya: “Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam.”
Riwayat al-Bukhari (3) dan Muslim (160)
Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata, antara faedah yang terdapat dalam kisah ini adalah sunnah menenangkan orang yang menghadapi sesuatu masalah dengan menyebutkan sesuatu yang boleh menyenangkan hatinya, agar perkara yang dihadapi terasa ringan. Dan sunnah juga bagi seseorang yang sedang menghadapi sesuatu untuk berkongsikan perkara tersebut dengan orang yang dipercayai nasihat serta sudut pandangnya. (Lihat Fath al-Bari, 1/25)
Kita dapat melihat bagaimana Khadijah R.Anha telah menjadi tunjang kekuatan kepada suaminya sehingga Rasulullah SAW pernah bersabda,
إنِّي قَدْ رُزِقْتُ حُبَّهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah direzekikan cinta Khadijah”
Riwayat Muslim (2435)
Ini adalah satu ungkapan romantik yang menggambarkan betapa cinta dan kasihnya baginda SAW kepada isterinya Khadijah R.Anha.
Khadijah R.Anha adalah sebaik-baik wanita bagi umat ini. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ali R.A daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
خَيْرُ نِسَائِهَا مَرْيَمُ، وَخَيْرُ نِسَائِهَا خَدِيجَةُ
Maksudnya: “Sebaik-baik wanita (pada zaman)nya ialah Maryam dan sebaik-baik wanita (pada zaman)nya ialah Khadijah.”
Riwayat al-Bukhari (3815)
Selain itu, Khadijah R.Anha termasuk dalam kalangan orang yang dijamin syurga. Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سَيِّدَاتُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ أَرْبَعٌ: مَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ ، وَآسِيَةُ
Maksudnya: “Penghulu wanita ahli syurga empat orang: Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulillah, Khadijah binti Khuwailid dan Asiah.”
Riwayat Imam Ahmad dalam Fadha’il al-Sahabah (1336) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4921). Al-Suyuti menilainya sebagai sahih dalam al-Jami‘ al-Saghir (4744). Begitu juga ia turut dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (3678)
Berdasarkan hadith di atas, jelas bahawa keempat-empat orang yang disebut dalam hadith ini iaitu Khadijah, Fatimah, Asiah dan Maryam adalah ahli syurga. Selain itu, Allah SWT juga pernah menyampaikan salam kepada Khadijah R.Anha dan menyampaikan berita gembira kepadanya bahawasanya beliau akan diberikan rumah di dalam syurga yang dibina daripada permata. Rumah itu juga di dalamnya tidak mempunyai kebisingan mahupun kepenatan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَتَى جِبْرِيلُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَذِهِ خَدِيجَةُ قَدْ أَتَتْ مَعَهَا إِنَاءٌ فِيهِ إِدَامٌ، أَوْ طَعَامٌ أَوْ شَرَابٌ، فَإِذَا هِيَ أَتَتْكَ فَاقْرَأْ عَلَيْهَا السَّلاَمَ مِنْ رَبِّهَا وَمِنِّي وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ لاَ صَخَبَ فِيهِ، وَلاَ نَصَبَ
Maksudnya: “Jibril datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, Khadijah akan datang membawa bekas yang berisi lauk pauk, atau makanan, atau minuman. Apabila dia sampai kepadamu, maka sampaikan salam kepadanya daripada Tuhannya dan daripadaku, serta sampaikan kepadanya khabar gembira berupa rumah di syurga daripada permata. Tidak ada suara bising dan rasa lelah di dalamnya.’”
Riwayat al-Bukhari (3820)
Cukuplah isteri yang solehah yang menjadi penawar kehidupan serta meraih dalam menuju Baiti Jannati. Daripada Abi Umamah al-Bahili R.A, sabda Rasulullah SAW:
مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللَّهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ ” .
Maksudnya: “Tidaklah seorang beriman selepas takwa kepada Allah mendapat banyak faedah lebih baik baginya daripada isteri yang solehah, jika disuruhnya nescaya ia mentaatinya. Dan jika melihat kepadanya, ia merasa sukacita, dan jika bersumpah atasnya, nescaya isteri tersebut menunaikannya. Jika suaminya keluar rumah, nescaya dia menjaga kehormatan dan harta suaminya.”
Riwayat Ibn Majah (1857), al-Tabarani (8/264), Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq (43/279). Al-Suyuti menyatakan hadith ini hasan dalam al-Jami’ al-Saghir (7792)
Perkahwinan ibarat seperti melayari bahtera di samudera. Kadangkala ombak taufan melanda dan kadangkala bongkah batu yang menghalangnya. Justeru hiasilah dengan empat perkara.
- Ilmu yang sentiasa dilazimi.
- Sabar dalam ujian kehidupan.
- Syukur dengan kurniaan tuhan.
- Bangun malam untuk tahajjud bersama kerana ini pesanan Rasulullah SAW kepada puterinya Sayyidah Fatimah dan Saidina Ali RA
Manuju ke arah kebahagiaan rumahtangga sehingga menjadikannya Baiti Jannati merupakan dambaan setiap pasangan suami isteri. Dalam meraih kebahagiaan rumahtangga, seluruh ahli keluarga memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab yang disulami dengan kasih sayang serta ajakan dan ajaran yang baik dari masa ke semasa.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”