Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Barangan yang ingin dijual beli, adakah dikenakan zakat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Samurah bin Jundub R.A, katanya:
كَانَ رَسُولُ الله صلى الله عليه وسلم يَأْمُرُنَا أنْ نُخْرِجَ الصَّدَقَةَ مِنَ الذِي نَعُدُّهُ لِلْبَيْعِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah memerintahkan kami untuk mengeluarkan zakat daripada (barang-barang) yang kami sediakan untuk dijual.”
Riwayat Abu Daud (1562)
Syeikh Abdullah al-Bassam menilai hadith di atas sebagai hasan. Beliau kemudiannya menjelaskan, hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang layyin (lemah) kerana ia daripada riwayat Sulaiman bin Samurah dan dia adalah seorang yang tidak dikenali (majhul). Selain itu, turut disebutkan dalam al-Talkhis bahawa ia diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Daraqutni dan al-Bazzar daripada hadith Sulaiman bin Samurah daripada bapanya, dan dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak dikenali. Manakala al-Zahabi menyatakan bahawa sanad ini adalah gelap tidak dapat ditentukan hukumnya. Akan tetapi Ibn ‘Abd al-Bar menilainya sebagai hasan dan ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi menyatakan, sanadnya adalah hasan gharib. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/363).
Seterusnya, Syeikh Abdullah al-Bassam mensyarahkan pula hadith di atas dengan menyatakan, di antara faedah yang dapat diambil daripadanya adalah:
Kewajipan zakat pada barangan yang disediakan untuk dijual. Dalam erti kata lain, barang dagangan. Dalilnya adalah berdasarkan kepada keumuman firman Allah SWT:
خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
Maksudnya: “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat).”
(Surah al-Taubah: 103)
Begitu juga firman-Nya:
وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَّعْلُومٌ
Maksudnya: “Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum.”
(Surah al-Ma‘arij: 24)
Dan harta dagangan pula adalah termasuk dalam harta yang umum, maka ia lebih utama untuk dimasukkan ke dalamnya. Adapun nas yang (jelas) menyebut berkenaannya adalah hadith di atas. Selain itu, Baginda juga pernah bersabda:
قَدْ اِحْتَبَسَ أَدْرَاعَهُ وَأَعْتَادَهُ
Maksudnya: “Dia telah menyimpan baju besi dan senjatanya.”
Riwayat Muslim (983)
Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini menunjukkan kepada kewajipan zakat perdagangan.
Begitu juga Ibn al-Munzir, al-Wazir dan selainnya menyatakan, para ulama telah bersepakat bahawa pada barang dagangan wajib dikeluarkan zakat. Al-Majd mengatakan: “Ini merupakan ijma‘.” Bahkan Syeikh al-Islam menyebutkan, para imam empat mazhab dan seluruh imam — kecuali yang berpendapat syaz (ganjil) — bersepakat tentang kewajipan zakat pada barang dagangan.
Selain itu, menurut Syeikh Abdullah al-Bassam juga hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan kepada kewajipan zakat dalam setiap barangan yang disediakan untuk dijual beli, dari mana-mana jenis perdagangan; sama ada dalam makanan, pakaian, perhiasan, peralatan, hartanah, haiwan, saham syarikat, atau dalam apa jua yang disediakan untuk dijual dan mendapat keuntungan.
Dalam erti kata lain, benda-benda yang tidak disediakan untuk tujuan perniagaan, tetapi disediakan untuk kegunaan dan keperluan, seperti rumah, kenderaan, pakaian, perabot, perhiasan, maka tidak diwajibkan zakat kerana ia bukan harta yang berkembang. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/363-364).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa barangan yang disediakan untuk dijual beli atau perdagangan turut dikenakan zakat sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith di atas.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”