Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Imam solat hari raya Aidilfitri di surau saya telah memulakan solat dengan bacaan al-Fatihah terlebih dahulu. Selepas tersedar kesilapan dia meninggalkan selangan takbir dan tasbih, dia terus bertakbir dan bertasbih kemudian membaca semula al-Fatihah. Soalan saya, adakah solat tersebut sah, kerana dia telah membaca al-Fatihah dua kali dalam satu rakaat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Melihat kepada persoalan yang diajukan saudara, kami membahagikan masalah ini kepada dua perbahasan utama:
- Hukum membaca surah al-Fatihah dua kali dalam satu rakaat.
- Hukum memulakan solat sunat hari raya dengan bacaan surah al-Fatihah.
Selepas menerangkan kedua-dua perbahasan ini, barulah kita akan sampai kepada kesimpulan yang lebih jelas.
Membaca Surah Al-Fatihah Dua Kali dalam Satu Rakaat
Membaca surah al-Fatihah merupakan rukun yang mesti dilakukan dalam setiap rakaat solat, dan ini disepakati oleh majoriti fuqaha’ dari kalangan al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah dan al-Hanabilah. (Lihat al-Syarh al-Saghir, 1/309; Nihayah al-Muhtaj, 1/476; Kasyaf al-Qina‘, 1/386)
Terdapat dua pendapat di kalangan fuqaha’ berkenaan hukum solat tersebut sekiranya bacaan al-Fatihah diulang sebanyak dua kali dalam satu rakaat yang sama. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah telah meringkaskan perbahasan ini seperti yang berikut:
- Pendapat Pertama: Membatalkan Solat
Ini adalah salah satu pendapat fuqaha’ al-Malikiyyah, salah satu pendapat al-Syafi‘iyyah, dan salah satu pendapat al-Hanabilah.
- Pendapat Kedua: Tidak Membatalkan Solat
Ini pendapat yang lebih tepat di kalangan fuqaha’ al-Syafi‘iyyah, mu‘tamad al-Hanabilah dan dipersetujui oleh al-Hanafiyyah terutamanya dalam solat fardhu bahawa hukumnya adalah makruh. Pendapat lain fuqaha’ al-Malikiyyah pula, perbuatan ini diharamkan, tetapi tidak membatalkan solat. (Lihat Majma‘ al-Anhar, 1/148; al-Fawakih al-Dawani, 1/216; Hasyiah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 1/275; al-Insaf, 2/99)
Kami berpada dengan membawa petikan dari fuqaha’ al-Syafi‘iyyah, Imam al-Nawawi, yang menyebutkan di dalam kitab beliau al-Majmu‘ (4/91): “Sekiranya seseorang membaca al-Fatihah dua kali kerana terlupa, maka tidak menjadi masalah. Dan jika dia sengaja melakukannya, terdapat dua pandangan: Pandangan yang tepat, ia tidak membatalkan solat kerana tidak menjejaskan sifat solat itu. Pandangan kedua, ia membatalkan solat sepertimana mengulangi rukun rukuk.”
Ibn Hajar al-Haitami juga berpendapat, seseorang yang mengulang bacaan al-Fatihah dalam satu rakaat, sunat untuk dia melakukan sujud sahwi. Beginilah yang dinukilkan oleh al-Zarkasyi dari Imam al-Rafi‘i. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/183)
Syeikh Muhammad bin Sa‘id al-Hadhrami ketika membahaskan tentang sebab-sebab dituntut melakukan sujud sahwi, beliau berkata, perlu dilakukan sujud sahwi sekiranya seseorang mengulang bacaan al-Fatihah dan mengulang bacaan tasyahhud, meskipun kesengajaan melakukan hal tersebut tidak membatalkan solat. (Lihat Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah, hlm. 294)[1]
Maka jelas di sini bahawa hukum mengulangi bacaan al-Fatihah ini adalah makruh, ia tidaklah membatalkan solat seseorang itu dan dia dituntut untuk melakukan sujud sahwi.
Memulakan Solat Sunat Hari Raya dengan Surah Al-Fatihah
Umum mengetahui bahawa kaifiyat solat sunat dua hari raya dimulai dengan 7 kali takbir diselangi 6 kali tasbih, seterusnya diteruskan dengan bacaan surah al-Fatihah pada rakaat yang pertama. Akan tetapi, bagaimana pula jika imam tersebut terlupa bertakbir dan bertasbih, lalu terus memulakan solat dengan surah al-Fatihah?
Imam al-Nawawi membahaskan isu ini seraya berkata, jika seseorang itu lupa takbir zawa’id (takbir yang diselangi tasbih) ketika solat raya, maka perlu diteliti dahulu situasinya:
Sekiranya dia teringat ketika sudah rukuk, atau selepas rukuk, tiada perselisihan bahawa dia tidak perlu mengulang takbir tersebut kerana sudah terlepas.
- Jika dia membacakan takbir itu semasa sedang rukuk atau selepas rukuk, hukumnya makruh tetapi tidak membatalkan solatnya. Hal ini kerana takbir termasuk dalam zikir, dan zikir tidak membatalkan solat meskipun ia dibacakan pada selain tempat yang sepatutnya.
- Jika dia bangun semula dengan sengaja dari rukuk untuk bertakbir, dalam keadaan dia tahu tentang pengharamannya, maka solatnya batal. Sebaliknya jika dia tidak tahu bahawa mengundur kembali rukun solat boleh membatalkan solat, maka solatnya tetap sah tetapi dia perlu sujud sahwi.
Sekiranya dia teringat ketika selesai membaca al-Fatihah dan sebelum rukuk, terdapat dua pandangan:
- Qaul Jadid: Dia tidak perlu bertakbir kerana telah terlepas, dan tempat untuk bertakbir itu adalah selepas takbiratul ihram.
- Qaul Qadim: Dia perlu bertakbir kerana masih berada pada keadaan berdiri, dan sunat baginya untuk membaca semula al-Fatihah.
Pendapat yang tepat menurut ashab al-Syafi‘iyyah, dia tidak perlu bertakbir kerana telah terlepas. (Lihat al-Majmu‘, 4/123)
Ibn Qudamah al-Maqdisi menyebutkan, takbir dan zikir yang diselanginya adalah sunat, bukanlah wajib. Tidak terbatal solat itu dengan meninggalkan takbir (takbir yang diselangi tasbih ketika solat raya) secara sengaja atau kerana terlupa, dan tidak ada perselisihan dalam masalah ini. (Lihat al-Mughni, 2/284)
Kesimpulan
Natijah dari perbincangan ini, kami mengatakan bahawa pengulangan bacaan surah al-Fatihah sebanyak dua kali tidak membatalkan solat, tetapi hukumnya adalah makruh dan dia perlu melakukan sujud sahwi.
Adapun dalam konteks solat dua hari raya, apabila imam tersebut terlupa takbir zawa’id, dia disunatkan untuk bertakbir dan mengulang semula bacaan al-Fatihah selagi mana dia masih kekal dalam keadaan berdiri dan belum rukuk.
Semoga pencerahan ini dapat memberikan ilmu serta kefahaman kepada masyarakat Islam di Malaysia, serta menambahkan pengetahuan baharu buat mereka yang bertugas sebagai imam. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam
Nota Hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/17959/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%AA%D9%83%D8%B1%D8%A7%D8%B1-%D9%82%D8%B1%D8%A7%D8%A1%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D9%81%D8%A7%D8%AA%D8%AD%D8%A9-%D9%81%D9%8A-%D8%A7%D9%84%D8%B1%D9%83%D8%B9%D8%A9-%D8%A7%D9%84%D9%88%D8%A7%D8%AD%D8%AF%D8%A9. Diakses pada 26 April 2024.