Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kongsikan, bagaimana cara untuk saya mendapatkan keberkatan dalam pekerjaan yang saya lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam melayari kehidupan, sesebuah pekerjaan amat penting untuk memperoleh keberkatan, di mana ia sudah pasti akan membawa kedamaian dan kebahagiaan. Antara pra-syarat tersebut ialah beriman dan bertakwa. Kesan yang akan diperolehi adalah sepertimana disebut dalam firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri berkata: (بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) Iaitu jamak kepada “بركة” dan ia bermaksud berterusan dan berkekalannya kebaikan; ilmu, ilham dan hujan daripada keberkatan langit, manakala tanaman, kesuburan, kemakmuran, keamanan, afiyah daripada keberkatan bumi. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/486).

Di samping itu, beberapa sebab di mana seseorang itu dapat mencari keberkatan dalam pekerjaannya.

  1. Amanah

Diriwayatkan daripada Samurah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَدِّ الْأَمَانَةَ إِلَى مَنْ ائْتَمَنَكَ، وَلَا تَخُنْ مَنْ خَانَكَ

Maksudnya: “Tunaikan amanah kepada siapa yang mengamanahkan kepada kamu dan jangan kamu khianat siapa yang mengkhianati kamu.

Riwayat Ahmad (15424), Al-Tirmizi (1264), dan Abu Daud (3534)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya. (Lihat Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 337/7).

  1. Benar dan jujur

Diriwayat daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094)

Al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160).

  1. Komitmen yang tinggi terhadap tugas yang diberi.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمُؤْمِنُ القَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إلى اللهِ مِنَ المُؤْمِنِ الضَّعِيفِ، وفي كُلٍّ خَيْرٌ. احْرِصْ علَى ما يَنْفَعُكَ، وَاسْتَعِنْ باللَّهِ وَلَا تَعْجِزْ، وإنْ أَصَابَكَ شَيءٌ، فلا تَقُلْ: لو أَنِّي فَعَلْتُ كانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ: قَدَرُ اللهِ وَما شَاءَ فَعَلَ؛ فإنَّ (لو) تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ.

Maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Pada masing-masing ada kebaikan. Tekunlah kamu atas sesuatu yang bermanfaat bagimu. Mintalah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu merasa lemah. Jika kamu tertimpa sesuatu, janganlah berkata: “Kalaulah aku berbuat demikian, maka akan menjadi demikian, demikian.” Akan tetapi berkatalah Allah telah mentakdirkan dan barang yang dikehendaki Allah, pasti Allah lakukan.” Kerana kata- kata (kalaulah) dapat membuka perbuatan syaitan.”

Riwayat Muslim (34)

Dapat difahami daripada hadith ini bahawa kekuatan di sini bukan terhad kepada kekuatan fizikal sahaja tetapi ianya berubah dari zaman ke zaman, apatah lagi di zaman moden ini. Kekuatan intelektual dan juga fikiran adalah diutamakan.

Al-Syahid Hassan al-Banna berkata: Jati diri yang saya maksudkan ialah anda memberikan tumpuan sepenuhnya kepada fikrah atau gagasan anda dan anda ketepikan semua prinsip dan tokoh lain selain daripada gagasan anda kerana gagasan anda adalah yang paling mulia, paling lengkap dan paling tinggi. (Lihat Ke Arah Keperibadian Unggul, hlm.61 )

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).

Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)

Pepatah menyebut: Orang yang hebat hanya memiliki sedikit masa namun banyak hasil dan kerjanya. Sedangkan orang yang malang memeliki banyak masa, namun hanya sedikit sahaja yang dapat dilakukannya.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply