Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru tular satu video wanita mencukur wajah atau melakukan “face shaving,” di mana dia mencukur mukanya atau bulu-bulu halus di mukanya (selain kening). Dikatakan banyak kelebihan daripada perbuatan tersebut seperti kulit akan terasa lembut dan halus serta meningkatkan penyerapan sesuatu produk skincare? Soalannya, apakah hukum face shaving ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan memberikan sedikit definisi atau penjelasan ringkas berkenaan mencukur muka atau face shaving ini. Mencukur wajah boleh membantu membersihkan dan mencerahkan kulit seseorang, menjadikannya lebih mudah untuk menggunakan solek. Akan tetapi ia juga boleh menyebabkan kerosakan dan menyebabkan rambut tumbuh ke dalam. Legenda mengatakan bahawa beberapa wanita paling cantik dalam sejarah, mencukur muka mereka. Walaupun ini tidak dapat dibuktikan, kebanyakan kecantikan hari ini terbuka tentang faedah bercukur.

Setiap wanita mempunyai rambut/bulu muka. Terdapat dua jenis, rambut vellus[1]  dan rambut terminal. Rambut vellus ialah bulu yang hampir tidak kelihatan yang menutupi sebahagian besar muka dan badan seseorang. Peranannya adalah untuk mengawal suhu dan menyejat peluh. Rambut vellus sangat halus dan lut sinar. Jika seseorang itu meneliti wajahnya, terutamanya dalam cahaya matahari yang terang, dia mungkin dapat melihat bulu vellus di pipi, dahi, bibir atas dan bawah, leher, dagu dan kawasan bauk atau cambangnya (side burn). Manakala rambut terminal pula adalah lebih gelap dan tebal. Sesetengah wanita mempunyai rambut terminal di sepanjang bibir atas dan bawah, jambang, leher, dan dagu. Pencukuran muka boleh digunakan untuk menanggalkan kedua-dua jenis rambut/bulu ini; vellus dan terminal.

Seterusnya, di sana terdapat beberapa kebaikan dan kekurangan mencukur muka bagi wanita. Di antara kelebihannya ialah:

  • Kanvas muka bersih. Mencukur muka anda menghilangkan rambut, serpihan, minyak berlebihan dan sel kulit mati, yang boleh mencerahkan rupa kulit. Ini membantu solekan berjalan dengan lancar dan tahan lebih lama.
  • Keyakinan diri. Sesetengah orang sedar tentang rambut/bulu muka. Jika seseorang itu akan berasa lebih yakin dan lebih baik tentang penampilannya dengan bercukur, mungkin wajar untuk dia berbuat demikian.

Manakala dari segi kekurangannya pula ialah:

  • Five o’clock shadow.[2] Jika seseorang bercukur untuk menanggalkan rambut terminal, dia mungkin perlu mencukur lebih kerap untuk memastikan ia terkawal. Jika dia mempunyai banyak rambut gelap, dia mungkin melihat bayang-bayang di bawah kulit selepas bercukur.
  • Rambut tumbuh ke dalam. Mencukur bulu vellus tidak akan menyebabkan rambut tumbuh ke dalam, tetapi mencukur rambut terminal boleh menyebabkan benjolan yang menyakitkan ini meletus.
  • Kerosakan pada kulit. Mencukur membawa risiko parut dan luka yang mungkin berdarah dan menyakitkan. Mencukur juga boleh menyebabkan “razor burn.”[3]
  • Kekeringan dan gatal-gatal. Jika seseorang mempunyai kulit kering, bercukur boleh mengeringkannya lagi dan berasa tidak selesa. Ia juga boleh menyebabkan mengelupas dan gatal-gatal. Melembapkan serta-merta selepas itu akan membantu dia mengelakkan “kekurangan” ini.[4]

Dalam menjawab soalan di atas, face shaving atau mencukur muka ini sebenarnya melibatkan hukum mencukur bulu-bulu pada wajah wanita. Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa bulu kening termasuk dalam bulu yang dilarang oleh syarak untuk mencukurnya. Ini berdasarkan riwayat daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah SWT melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat  al-Bukhari (4886) dan Muslim (2125)

Ibn Hajar al-‘Asqalani turut menukilkan kata-kata Imam Abu Daud dalam al-Sunan dengan katanya: Al-Namisah “النامصة” adalah perempuan yang mengurangkan (menipiskan) bulu keningnya. Beliau juga menukilkan kata-kata Imam al-Tabari yang berikut: Tidak boleh bagi seorang perempuan itu untuk mengubah sedikitpun daripada penciptaan asal dirinya yang telah Allah ciptakan dengan menambah atau mengurangkan bertujuan untuk mendapatkan kecantikan. Tidak boleh dia lakukan untuk suaminya dan tidak juga kepada selainnya, seperti sesiapa yang kedua keningnya bersambung lalu dia membuang bulu yang berada di antara keduanya. (Lihat Fath al-Bari, 10/390).

Seterusnya, berkenaan menghilangkan bulu-bulu pada wajah selain daripada bulu kening bagi wanita, para ulama berselisih pendapat mengenainya, yang mana perbezaan pendapat tersebut terbina di atas perbezaan mereka pada takrif al-Nams (النَّمْصُ) kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:

Pendapat pertama: Al-Nams (النَّمْصُ) adalah merujuk kepada bulu-bulu pada wajah, dan ini merangkumi bulu kening dan bulu-bulu muka selainnya. Pendapat ini dinukilkan daripada kebanyakan ahli bahasa, ahli fiqh dan ulama yang mensyarahkan hadith.

Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan juga memilih pendapat pertama ini iaitu al-Nams meliputi semua bulu di wajah berdasarkan kepada alasan-alasan berikut:

  • Keumuman hadith-hadith yang menyebutkan berkenaan al-Nams (النَّمْصُ), di antaranya hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A yang datang dengan lafaz, “وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ”. Makna asal perkataan al-Nams dari segi bahasa adalah mencabut bulu. Jadi, ia meliputi setiap bulu di wajah.
  • Pendapat sebahagian fuqaha’ yang mengkhususkannya sebagai bulu kening ditolak oleh nukilan daripada kebanyakan ahli bahasa, ahli fiqh dan ulama yang mensyarahkan hadith yang menafsirkannya sebagai merangkumi seluruh bulu di muka.

Walaupun demikian, ulama yang menyatakan bahawa al-Nams adalah meliputi semua bulu muka turut membuat pengecualian jika terdapat pertumbuhan janggut, misai, atau ‘anfaqah (kumis)[5] pada wanita itu, di mana mereka membolehkan bagi wanita tersebut untuk menghilangkannya. Hal itu adalah disebabkan:

(a) Wanita diperintahkan untuk berhias bagi suaminya, dan bulu-bulu ini merosakkan penampilannya, mencetuskan ketidaksenangan pada penampilannya, dan menghalang keseronokan atau bersedap-sedapan yang sempurna, bahkan menjadikan wanita itu menyerupai lelaki.

(b) Allah SWT menjadikan wajah wanita tanpa bulu yang jelas kelihatan. Jadi, jika bulu itu muncul, hal itu dianggap sebagai suatu kecacatan dan keaiban. Seterusnya, menghilangkan kecacatan atau keaiban itu pula adalah dibenarkan oleh syarak, dan ia bukanlah suatu perubahan kepada ciptaan Allah SWT. Justeru, tidak terdapat padanya (dalam situasi tersebut) ‘illah pengharaman al-Nams.

Kemudian, Dr Soleh al-Fauzan menyimpulkan, menurutnya berdasarkan kepada hal tersebut, menghilangkan bulu wajah wanita seperti misai dan janggut adalah dibenarkan jika ia merosakkan penampilan wajah seorang wanita.

Ini selari sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam syarahannya terhadap sahih Muslim, perkataan al-Namisah merujuk kepada wanita yang menghilangkan bulu pada wajahnya, manakala al-Mutanammisah pula merujuk kepada wanita yang meminta untuk dilakukan perbuatan tersebut kepadanya. Perbuatan ini adalah haram melainkan apabila janggut atau misai tumbuh pada wajah wanita itu, maka tidak haram ke atasnya untuk menghilangkannya, bahkan menghilangkannya (janggut atau misai yang tumbuh itu) adalah disunatkan di sisi kami — ulama Syafi‘iyyah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/106).

Selain daripada itu, turut dinyatakan dalam kitab Fiqh al-Manhaji bahawa al-Nams adalah mencabut bulu pada wajah yang diharamkan bagi lelaki dan perempuan. Tidak ada perbezaan antara pelaku dan orang yang diperlakukan, kerana ini menyebabkan laknat Allah terhadap mereka. Laknat hanya ditujukan kepada tindakan yang haram, bahkan kepada salah satu daripada dosa-dosa besar. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 3/102).

Dalam isu ini juga Ibn Hazm ada menyatakan bahawa al-Nams adalah mencabut bulu daripada wajah. Oleh itu, sesiapa yang melakukannya kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain, maka dia dilaknat oleh Allah SWT. (Lihat al-Muhalla, 2/398).

Dalilnya adalah sebagaimana riwayat yang kami telah sebutkan di atas menerusi hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A. Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Pendapat kedua: Al-Nams (النَّمْصُ) hanya merujuk kepada dua bulu kening pada wajah secara khusus. Ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh sebahagian fuqaha’. Imam Abu Daud memilih pendapat ini, di mana beliau menyatakan, al-Namisah “النامصة” ialah mencukur bulu kening sehingga ia halus (menipis). (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 181-182; Sunan Abi Daud, 6/246).

Pendapat kedua ini juga merupakan pendapat yang dipilih dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah (5/195) bahawa al-Nams adalah mencabut (mencukur) bulu kening dan ia tidak dibolehkan kerana Nabi SAW melaknat para wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya.

Malah, al-Lajnah juga pernah ditanya berkenaan hukum mencabut bulu yang tumbuh di antara dua kening? Mereka menjawab, dibolehkan untuk mencabutnya kerana ia tidak termasuk dalam bulu kening. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 5/197).

Ini kerana bulu-bulu ini (selain bulu kening) termasuk dalam jenis bulu yang didiamkan syarak mengenainya, maka hukumnya adalah diharuskan. Dalam erti kata lain, harus untuk mengekalkannya ataupun menghilangkannya; kerana apa yang didiamkan oleh al-Kitab dan al-Sunnah, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh ulama al-Lajnah al-Da’imah sebagaimana yang kami sudah nukilkan pendapat mereka di atas, begitu juga pendapat yang dipilih oleh Syeikh Ibn al-‘Uthaimin. (Lihat Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, 3/879).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa mencukur bulu-bulu di wajah bagi wanita selain daripada bulu kening termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh para ulama. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa pendapat yang dilihat lebih selamat dan berhati-hati adalah tidak dibenarkan untuk mencukur bulu-bulu halus di muka atau face shaving sekalipun ia tidak melibatkan bulu kening kerana terdapatnya larangan akan hal itu dalam hadith yang sahih dan ia termasuk dalam mengubah ciptaan Allah SWT demi semata-mata untuk kecantikan. Melainkan jika pada wajah wanita tersebut tumbuhnya bulu-bulu yang kelihatan seperti janggut, misai, kumis atau seumpamanya sehingga ia mendatangkan aib dan malu kepada wanita tersebut, atau sehinggakan wajahnya hampir serupa dengan lelaki disebabkan oleh kehadiran bulu-bulu itu, maka dalam situasi tersebut tidak haram ke atasnya untuk mencukur/menghilangkannya, bahkan disunatkan pula kepadanya untuk menghilangkannya.

Namun begitu, kami tidak menafikan di sana terdapat sebahagian ulama yang mengharuskan untuk mencukur bulu-bulu pada wajah wanita selain bulu kening kerana yang dimaksudkan dalam hadith adalah merujuk kepada bulu kening sahaja dan bulu-bulu lain pada wajah selain bulu kening adalah termasuk dalam bulu yang didiamkan oleh syarak mengenainya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)

Nota Hujung:

[1] Iaitu rambut nipis, kecil dan tidak gelap sejak bayi.

[2] Iaitu permulaan janggut yang muncul lewat petang di muka lelaki yang tidak bercukur sejak pagi. (Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/five-o’clock%20shadow. Diakses pada 2 Mei 2024).

[3] Iaitu kerengsaan kulit yang boleh disebabkan oleh pencukuran kering, pencukuran yang terlalu agresif atau pencukuran dengan bilah yang tumpul. (Lihat https://gillette.com/en-us/shaving-tips/how-to-shave/razor-burn#. Diakses pada 2 Mei 2024.

[4] Lihat https://www.healthline.com/health/women-shaving-face#pros-cons. Diakses pada 2 Mei 2024.

[5] ‘Anfaqah (العَنْفَقَة) ialah bulu yang tumbuh di antara bibir bawah dan dagu. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 912).

Leave a Reply