Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya isteri kedua saya banyak kali menyatakan kalau dia meninggal, dia tidak benarkan adik beradik saya untuk menziarahi. Adakah ini suatu amanah dan apa hukumnya ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Wasiat menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yang disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.
Wasiat itu merupakan salah satu dari amal kebaikan yang dilakukan seseorang bagi menampung kekurangannya daripada amal kebaikan ketika hayatnya, dan juga wasiat itu kerana mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT.
Wasiat ini disyariatkan berdasarkan firman Allah SWT:
مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ
Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”
Dan juga firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا شَهَادَةُ بَيْنِكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ حِينَ الْوَصِيَّةِ اثْنَانِ ذَوَا عَدْلٍ مِّنكُمْ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil di antara kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 106)
Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”
Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Islam telah menggariskan beberapa ketetapan untuk memastikan tujuan di sebalik wasiat itu tercapai. Antaranya ialah hendaklah memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh pewasiat, kerana pewasiat menetapkan syarat tersebut dengan matlamatnya tertentu. Namun demikian, tidaklah diwajibkan bagi ahli waris untuk memenuhi syarat yang telah ditetapkan jika ia bertentangan dengan prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh syarak.
Dalam isu ini wasiat atau pesanan yang sedemikian menyalahi apa yang telah diharuskan oleh syara’. Oleh yang demikian wasiat yang ditinggalkan tersebut adalah terbatal dan tidak wajib bagi ahli waris untuk menurutinya. Hal ini juga sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي المعْرُوفِ
Maksudnya: “Tiada ketaatan pada perkara maksiat, sesungguhnya ketaatan hanya pada perkara yang makruf (kebaikan) sahaja.”
Riwayat al-Bukhari (7257) dan Muslim (1840)
Syeikh Abd ‘Aziz Bin Abdullah al-Rajihi menyatakan bahawa: tiada ketaatan kepada manusia dalam maksiat, walaupun dia seorang pemerintah. Jika seorang pemerintah memerintahkanmu untuk minum arak, jangan taat kepadanya atau jika dia memerintahkanmu untuk membunuh tanpa alasan yang benar, jangan taat kepadanya atau jika seorang isteri memerintahkan suaminya dalam maksiat, jangan taat kepadanya. (Lihat Syarh Kitab al-Sunnah, 6/10)
Dinyatakan dalam Kitab Bahjah Qulub al-Abrar wa Qurrati ‘Uyun al-Akhyar (hlm121) bahawa: sesiapa yang memerintahkan mereka untuk melakukan maksiat kepada Allah, dengan melakukan sesuatu yang diharamkan atau meninggalkan sesuatu yang wajib, maka tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam maksiat kepada Allah. Jadi, jika seseorang memerintahkan membunuh seseorang yang dipelihara darahnya, atau memukulnya, atau mengambil harta miliknya, atau meninggalkan kewajiban haji atau ibadah yang wajib, atau memutuskan hubungan dengan seseorang yang wajib dihubungkan silaturrahim, maka tidak ada ketaatan kepada mereka. Ketaatan kepada Allah adalah lebih utama daripada ketaatan kepada makhluk.
Justeru kami nyatakan bahawa sebarang pesanan wasiat yang tidak berlandaskan syarak atau melanggar ketetapan syarak adalah tidak sah. Justeru, tidaklah menjadi satu kesalahan bagi saudara sebagai suami untuk tidak mematuhi wasiat yang ditinggalkan oleh isteri. Selain itu, ahli waris atau keluarga boleh menziarahi beliau selepas kematian, dan ini sejajar dengan ajaran syarak yang dianjurkan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam.