Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah seorang muslimah memotong rambut dengan perempuan bukan islam ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Aurat dan Hukumnya yang Asas

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185)

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)

Dijelaskan dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula bahawa aurat adalah suatu angggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu’ah al Fiqhiyah al Kuwaitiyah, 31/44)

Pada asasnya, hukum menutup aurat adalah wajib sepertimana disepakati ulama’ berdasarkan firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur :31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar RA:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Daud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Allah SWT turut berfirman:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

(Surah al-A’raf :26)

Secara asasnya, ulama mazhab Syafi’ie menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya ialah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu juga antara wanita dan wanita. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/188-189)

Dalam menjawab persoalan di atas kami katakan dalam isu ini  berkait rapat tentang soal aurat wanita muslimah dengan wanita non muslim. Perkara ini merupakan perkara yang diperselisihi dikalangan ulama. Namun majoriti ulama berpandangan aurat wanita muslimah dengan wanita non muslim hendaklah dijaga seperti aurat wanita muslimah dengan lelaki ajnabi.

Hal ini telah dijelaskan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa : Menurut pandangan majoriti ulama fiqh bahawasanya aurat perempuan muslimah pada pandangan perempuan kafirah adalah seperti aurat perempuan pada pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. ( Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 1/47)

Namun sebahagian ulama Syafi’iyyah berpandangan bahawa aurat Muslimah pada pandangan wanita kafir adalah seluruh tubuh yang selain daripada kepala, tangan dan kaki.

Ibn Hajar al-Haitami berkata: Pandangan yang lebih sahih adalah haram perempuan kafir zimmi dan kesemua perempuan kafir walaupun kafir harbiy melihat kepada perempuan muslimah, tetapi harus dia melihat dari perempuan muslimah apa yang zahir ketika bekerja. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 7/200)

Begitu juga Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari: Perkataanya “Anggota yang zahir ketika bekerja” iaitu muka, kepala, tangan hingga siku dan kaki hingga lutut. (Lihat Asna al-Matalib, 14/280)

Justeru dalam isu ini , kami berpendapat bahawa adalah diharuskan bagi wanita Muslimah untuk memotong rambut dengan wanita non-Muslim. Pandangan ini bersandarkan kepada pendapat sebahagian ulama Syafi’iyyah yang menyatakan bahawa wanita kafir dibenarkan melihat muka dan kepala wanita Muslimah. Namun, kami menggalakkan untuk mencari kedai gunting rambut atau salon Muslimah kerana ia  lebih terjamin dalam menjaga kehormatan aurat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply