Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya penghujung bulan ramadan tahun ini, saya di masukan di hospital akibat GERD. Doktor sarankan saya supaya makan secara kerap tetapi dalam kuantiti yang sedikit untuk atasi masalah GERD di samping ubat-ubatan.Saya bercadang untuk puasa 6 hari di bulan Syawal,akan tetapi risau akan keadaan sakit GERD saya akan muncul akibat puasa tersebut. Mohon pandangan dan cadangan yang terbaik untuk saya.Terima Kasih? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Apabila tibanya Syawal, antara amalan sunat yang boleh dilakukan ialah dengan melakukan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Hal ini sebagaimana hadith yang menyebutkan mengenai kelebihan berpuasa 6 hari di bulan Syawal iaitu bersamaan pahalanya dengan berpuasa sepanjang tahun. Ini berdasarkan riwayat daripada Abu Ayub al-Ansari RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.
Riwayat Muslim (1164)
Imam al-Nawawi di dalam syarahya menyebutkan: hadith ini menjadi dalil bagi mazhab Syafi’i, Hanbali dan juga Dawud al-Zahiri bahawa disunatkan untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal manakala fadhilat seumpama berpuasa sepanjang tahun adalah berdasarkan hadith Nabi SAW yang lain yang mana menyebutkan bahawa setiap kebaikan itu dibalas dengan 10 kali ganda (أَنَّ الْحَسَنَةَ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ) (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/56)
Pahala berpuasa sepanjang tahun diibaratkan dengan setiap amalan kebaikan digandakan dengan 10 dan ini bermakna 30 hari pada bulan Ramadhan digandakan dengan 10 kebaikan bersamaan 300 dan puasa sunat syawal 6 hari bergandaan dengan 10 kebaikan bersamaan 60. Ini menjadikan jumlahnya 360 dan daripada perkiraan inilah dikatakan seumpama berpuasa sepanjang tahun (mengikut kiraan hijriyyah).
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan puasa 6 Syawal merupakan puasa sunat yang dituntut. Ini kerana Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang besar bagi sesiapa yang berpuasa pada bulan ramadhan. Oleh yang demikian bagi siapa yang mampu untuk berpuasa adalah amat digalakkan untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal.
Namun, dalam konteks isu yang telah dijelaskan di atas, kami ingin menegaskan bahawa tidaklah menjadi satu kesalahan apabila saudara memilih untuk tidak melaksanakan puasa tersebut. Hal ini disebabkan kerana puasa tersebut hanya merupakan puasa sunat, bukanlah puasa yang diwajibkan oleh syariat. Bahkan, dalam hukum syariat, diberikan kelonggaran untuk berbuka bagi mereka yang tidak mampu menjalankan puasa kerana masalah kesihatan.
Yang demikian sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa: Orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa kerana penyakit yang dijangka akan sembuh, baginya tidak diwajibkan berpuasa… Ini berlaku jika dia menghadapi kesukaran dalam berpuasa. Tidak disyaratkan baginya untuk menghabiskan puasa dalam keadaannya yang tidak mampu berpuasa. Sebaliknya, para ashab kami menyatakan: syarat bagi menghalalkan berbuka puasa adalah jika dia menghadapi kesukaran yang sukar ditanggung. (Lihat al-Majmu’, 6/261 )
Selain itu antara dalil bahawa dibolehkan untuk membatalkan puasa sunat ialah, seperti dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ummu Hani’ R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ
Maksudnya: “Seseorang yang berpuasa sunat menjadi penentu dirinya. Jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.”
Riwayat al-Tirmizi (32)
Oleh yang demikian bagi sesiapa yang membatalkan puasa sunat disebabkan keuzuran dan sebagainya, maka tidak perlu baginya mengganti balik puasa yang ditinggalkan tersebut. Ibn Rusyd menyebut: “Ulama’ bersepakat berkenaan hukum membatalkan puasa sunat, bahawa tidak ada kewajiban qadha’ bagi seseorang yang membatalkan puasa sunatnya kerana adanya uzur tertentu. Namun para ulama’ berbeza pendapat tentang seseorang yang membatalkan puasa sunatnya dengan sengaja atau tanpa adanya uzur tertentu. Jika menurut pendapat Imam Malik dan Abu Hanifah, mereka mewajibkan untuk qadha’ puasa sunat tersebut. Namun, tidak wajib mengqadha’ puasa sunat yang dibatalkan jika menurut pendapat Imam al-Syafi’i dan sebahagian ulama’ yang lain. (Lihat Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid, 1/287)
Syeikh Taqiyuddin Abu Bakar al-Hisni menyebut: Orang yang sedang berpuasa sunat tidak wajib menyelesaikannya sehingga waktu berbuka, yakni Maghrib. Namun alangkah baiknya untuk diselesaikan sehingga waktu berbuka. Tidak ada kewajiban qadha’ baginya jika dia membatalkan puasa sunat di pertengahan jalan. Tetapi sunat baginya mengqadha’ puasanya. Adakah hukumnya makruh jika dia membatalkan puasa sunat itu? Masalah ini perlu dipertimbangkan. Sekiranya dia membatalkannya dengan sebab adanya keuzuran, maka tidak makruh. Namun, jika sebaliknya, yakni tidak disebabkan adanya uzur tertentu, maka perbuatan membatalkan puasa sunat itu adalah makruh. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/296)
Justeru kami katakan, sesiapa yang menghadapi keuzuran seperti ditimpa penyakit atau sebab-sebab lain yang dapat memudaratkan kesihatannya sekiranya dia terus berpuasa, maka dibolehkan baginya untuk berbuka puasa, sama ada puasa tersebut wajib atau sunat. Ini kerana syarak memberi kelonggaran kepada mereka yang uzur untuk tidak menyempurnakan puasa demi untuk mengelakkan kemudaratan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Wallahua’lam.