Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum lelaki test pakai emas perhiasan seperti cincin atau gelang, tetapi belikan untuk isteri atau ibu. Apa hukum test pakai? Adakah ianya haram ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, perhiasan emas adalah dibolehkan untuk wanita berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
أُحِلَّ الذَّهَبُ وَالْحَرِيرُ لإِنَاثِ أُمَّتِي وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا
Maksudnya: “Telah dihalalkan emas dan sutera asli bagi perempuan dalam kalangan umatku dan diharamkan (keduanya) bagi lelaki.“
Riwayat al-Nasai’e (9387)
Penggunaan emas untuk tujuan perhiasan adalah harus bagi kaum wanita dan haram bagi kaum lelaki. Wanita dibenarkan memakai emas kerana keperluan wanita berhias dan mencantikkan diri di hadapan suami. (Lihat Subul al-Salam, 1/460; Syarah al-Muharrar fi al-Hadith, 20/49)
Pengharaman Menyerupai Jantina Berlawanan
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَنَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لُبْسَةَ الْمَرْأَةِ، وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لُبْسَةَ الرَّجُلِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW melaknat seorang lelaki yang memakai pakaian wanita, dan seorang wanita yang memakai pakaian lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5435) dan Ahmad (8309)
Syeikh Badr al-Din al-‘Aini dalam menjelaskan hadith ini, menyebut: (Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki menyerupai orang perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang, gelang kaki, dan juga anting-anting. (Lihat ‘Umdah Al-Qari, 22/41)
Jelas daripada hadith ini bahawa adalah haram hukumnya bagi seseorang untuk memakai pakaian mahupun perhiasan yang khas bagi jantina yang berlawanan dengannya.
Dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ akan pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/267)
Ibnu Hajar al-Haitami pula menyatakan bahawa antara bentuk menyerupai wanita ialah memakai perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan yang dilazimi oleh mereka, seperti gelang tangan dan gelang kaki; adapun cincin maka diharuskan bagi lelaki memakainya. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 1/261)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan syarak melarang dengan jelas bagi seorang lelaki memakai sebarang perhiasan emas kerana emas ialah perhiasan yang dikhususkan oleh kaum wanita sahaja. Terdapat nas secara jelas melarang penggunaan emas bagi lelaki sebagaimana sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَلْبَسْ حَرِيرًا وَلَا ذَهَبًا
Maksudnya: “Barang siapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat, maka janganlah memakai sutera asli dan emas.”
Riwayat Ahmad (22249)
Begitu juga dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:
أُحِلَّ لِإِنَاثِ أُمَّتِي، وَحُرِّمَ عَلَى ذُكُورِهَا
Maksudnya: “Halal bagi umatku yang perempuan, dan haram bagi kaum lelaki dalam umatku.”
Riwayat Ahmad (19502)
Al-Syaukani berkata: Hadith ini merupakan dalil yang digunakan jumhur ulama yang berpendapat bahawa sutera dan emas haram bagi lelaki dan harus bagi wanita. (Lihat Nail al-Autar, 2/98)
Selain itu juga Abu Hurairah R.A berkata:
أنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.”
Riwayat Muslim (2089)
Imam al-Nawawi menyebut bahawa kaum Muslimin telah berijma’ (bersepakat) akan keharusan perempuan untuk memakai cincin emas dan telah berijma` juga akan pengharaman buat lelaki bagi memakai cincin emas. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/65)
Justeru berdasarkan dalil-dalil dan pandangan ulama yang dinyatakan di atas, kami berpendapat dalam isu ini tidak dibolehkan bagi seorang lelaki untuk memakai emas, walaupun hanya sekadar mencuba, sama ada dengan maksud membeli untuk ahli keluarga perempuan atau untuk tujuan-tujuan lain. Hal ini kerana penggunaan perhiasan emas dibenarkan oleh syarak hanya untuk golongan wanita, sementara dilarang kepada kaum lelaki, kecuali dalam keadaan darurat atau tujuan yang mendesak.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahua’lam.