Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkan isteri bersalaman dengan bapa saudara suami?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Persoalan yang serupa telah kami berikan jawapannya dengan jelas dalam artikel kami yang bertajuk: “Menantu Lelaki Bersalaman dengan Adik Beradik Perempuan Ibu Mentua.” Dapat disimpulkan melalui artikel tersebut, pakcik kepada suami sama ada dari belah bapa mentua atau ibu mentua, mereka termasuk dalam mahram yang bersifat al-ta’qit (التَّأْقِيتُ) yakni sementara, seperti adik beradik lelaki kepada suami, bapa saudara suami dari sebelah ayah dan juga bapa saudara suami dari sebelah ibu, kerana mahram ini hanya menatijah satu implikasi yang bersifat sementara sahaja, iaitu haram berkahwin, tanpa wujudnya implikasi lain seperti diharuskan untuk bersalaman dengannya atau boleh bersendirian bersamanya.

Bapa saudara kepada suami mengambil hukum lelaki ajnabi yang perlu dipelihara batas pergaulan, seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka.”

(Surah al-Nur: 31)

Oleh kerana itu juga, Rasulullah SAW melarang dari kaum kerabat suami dari kalangan lelaki untuk sesuka hati duduk bersama dengan si isteri. Bahkan Baginda memberikan ancaman yang keras, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith ‘Uqbah bin ‘Amir R.A

إِيَّاكُمْ وَالدُّخُولَ عَلَى النِّسَاءِ. فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَرَأَيْتَ الحَمْوَ؟ قَالَ: الحَمْوُ المَوْتُ

Maksudnya: “‘Jauhilah kamu daripada masuk kepada wanita-wanita.’ Seorang lelaki Ansar berkata: ‘Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu dengan al-Hamwu (iaitu kaum kerabat suami yang halal dinikahi)?’ Baginda menjawab: ‘Al-Hamwu ialah kematian’.”

Riwayat al-Bukhari (5232) dan Muslim (2172)

Siapakah mereka yang dimaksudkan dengan al-Hamwu (الحَمْوُ)? Imam al-Nawawi berkata, mereka adalah kaum kerabat suami selain dari bapa dan anak-anak lelakinya. Adapun bapa dan anak-anak suami, mereka termasuk dalam mahram kepada isteri yang dibolehkan bersendirian bersamanya tanpa diancam dengan kematian. Manakala adik-beradik lelaki, anak saudara lelaki, bapa saudara dan anaknya, mereka ini bukanlah mahram kepada si isteri. Menjadi adat masyarakat dalam bermudah-mudahan tentang perkara ini sehingga tahap duduk bersendirian bersama isteri saudara mereka, inilah yang dikatakan kematian, dan ia paling utama untuk dihalang berbanding lelaki ajnabi lain. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/154)

Ibn Hajar al-‘Asqalani pula membawakan beberapa tafsiran ulama’ tentang maksud: (الحَمْوُ المـَـوْتُ), antaranya:

  • al-Qurtubi berkata, bersendiri dengan kerabat suami ini boleh membawa kepada kerosakan agama sekiranya berlaku maksiat, atau membawa kepada kematian jika hukuman kepada maksiat itu adalah rejam, atau membawa kepada kebinasaan wanita itu sendiri dengan berlakunya penceraian. Di dalam kitab al-Mufhim, beliau mengatakan, kaum kerabat suami yang duduk bersendirian bersama isteri saudaranya itu diibaratkan seperti kematian yang menakutkan dan membinasakan.
  • al-Tabari pula menyebutkan, bersendiriannya seorang lelaki bersama isteri saudaranya itu diibaratkan seperti kematian. Orang Arab menyifatkan suatu perkara yang dibenci dengan kalimah ‘mati’. Ibn al-A‘rabi menyatakan: “Ia merupakan kalimah yang digunakan oleh Arab sebagaimana mereka menyebut: ‘Singa itu adalah kematian,’ yakni apabila bertembung dengan singa itu boleh membawa kepada kematian. Maksudnya, takutlah akan ia sepertimana kalian takut akan kematian.”
  • al-Qadhi ‘Iyadh berpendapat, bersendirian dengan kaum kerabat suami boleh membawa kepada fitnah dan kebinasaan dalam agama, maka Rasulullah mengibaratkannya seperti binasa kematian. Sabda Baginda ini datang dalam bentuk penekanan. (Lihat Fath al-Bari, 9/332)

Meneliti hadith Rasulullah SAW di atas, bersendirian antara isteri dan kaum kerabat lelaki suami adalah dilarang kerana dikhuatiri ia akan membawa kepada kebinasaan, dari aspek agama dan hubungan kekeluargaan itu sendiri. Oleh yang demikian, bersalaman adalah lebih aula atau utama untuk ditegah kerana bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi pastinya memberikan rangsangan yang lebih kuat kepada nafsu syahwat. Dalam hadith lainnya daripada Ma‘qal bin Yasar R.A, Rasulullah SAW memberikan ancaman bagi mereka yang sengaja bersentuhan dengan wanita ajnabi seraya bersabda:

لِأَن يُطْعِنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمَخِيطٍ مِنْ حَدِيدٍ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَن يَمَسَّ امْرَأَةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: “Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).”

Riwayat al-Tabarani (486)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan ringkas di atas, kami katakan bahawa isteri tidak boleh bersalaman dengan bapa saudara kepada suami dari belah bapa atau belah ibunya, sebagaimana yang jelas dalam nas-nas syara‘

Diharapkan agar Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman yang jelas dan baik dalam isu salam-bersalaman ini, dalam masa yang sama mengukuhkan lagi tautan ukhuwwah serta silaturrahim antara kaum kerabat suami atau isteri di atas landasan yang benar. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنَا، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ، وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ، وَجَنِّبْنَا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي أَسْمَاعِنَا، وَأَبْصَارِنَا، وَقُلُوبِنَا، وَأَزْوَاجِنَا، وَذُرِّيَّاتِنَا، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ، وَاجْعَلْنَا شَاكِرِينَ لِنِعْمَتِكَ، مُثْنِينَ بِهَا، قَابِلِيهَا، وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا

Maksudnya: “Ya Allah, tautkanlah di antara hati kami, perbaikilah hubungan di antara kami, tunjukkan kami jalan kedamaian, selamatkan kami dari kegelapan menuju kepada sinaran, jauhkan kami dari semua keburukan, yang zahir mahupun yang tersirat. Berkatilah kami dalam pendengaran kami, penglihatan kami, hati kami, isteri dan keturunan kami. Terimalah taubat kami, Engkau yang Maha menerima taubat dan Maha Penyayang. Jadikan kami orang-orang yang bersyukur pada nikmat-Mu, memuji nikmat-Mu, menerima nikmat-Mu, dan sempurnakanlah nikmat-Mu kepada kami”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply