#5851: Perbezaan Sertu dan Samak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah perbezaan sertu dan samak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kedua-dua istilah ini terkait dengan kaedah untuk membersihkan sesuatu.  Jadi, kedua-kedua lafaz atau perkataan ini perlu diperhalusi makna dan penggunaannya, khususnya dalam bahasa Melayu, sekali gus dilihat juga penggunaannya dalam istilah fiqh.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, menyertu adalah menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis mughallazah (anjing dan babi) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, menyamak.[1]

Manakala, samak pula mempunyai beberapa makna. Antaranya ialah bahan zat yang digunakan untuk memasak serta mewarnai kulit binatang, menggosok tali layang-layang dengan kaca, menyucikan anggota badan, tempat, dan sebagainya yang terkena najis mughallazah dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali, sejenis tumbuhan yang digunakan untuk menyamak kulit.[2]

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa boleh jadi kekeliruan ini terhasil daripada takrifannya dari sudut bahasa, khususnya penggunaannya dalam bahasa Melayu. Ini kerana dalam bahasa melayu, samak atau menyamak ini juga mengandungi makna yang sama seperti sertu, menyertu iaitu membersihkan najis mughallazah dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

Seterusnya, dari sudut penggunaan atau istilah fiqh, perkataan “sertu” ini merujuk kepada cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu air bercampur tanah sebanyak sekali dan enam kali air mutlak. Tidak kira najis itu, najis ‘aini atau najis hukmi. Sama ada terkena pada pakaian, badan, atau tempat. (Lihat al-Mujtaba fi Syarh Safinah al-Naja, 69).

Manakala salah satu makna “samak” pula diambil daripada perkataan bahasa Arab, al-Dabgh “الدَبْغُ” yang merujuk kepada cara atau kaedah menyucikan kulit haiwan yang boleh dimakan atau tidak, iaitu dengan menghilangkan darah, daging dan semua yang melekat pada kulit yang membusukkan jika tidak dibuang, dengan sesuatu alat yang tajam seperti tawas atau buah manjakani dan seumpamanya. (Lihat Matla‘ al-Badrain, 25).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami menyimpulkan bahawa perkataan “sertu” dalam bahasa Melayu adalah istilah yang hanya merujuk kepada kaedah penyucian najis mughallazah iaitu tujuh kali basuhan yang salah satu basuhannya air bercampur dengan tanah. Manakala perkataan “samak” pula dalam bahasa Melayu boleh digunakan bagi merujuk kepada makna “sertu” dan juga kepada kaedah menyucikan kulit haiwan, agar ia menjadi suci dan boleh digunakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=sertu. Diakses pada 8 Mei 2024.

[2] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=samak&d=41812&#LIHATSINI. Diakses pada 8 Mei 2024.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *