Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Mohon Dato’ Seri Dr. Zulkifli memberi respon mengenai ramai orang yang menghina ulama’ yang mana tanpa segan silu menulis kata-kata yang kesat di media sosial tanpa batasan. Apakah punca gejala menghina berleluasa di zaman kini? Apakah kesan kepada orang yang menghina ulama’? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, pertamanya kita hendaklah mengetahui siapakah yang dimaksudkan dengan ulama’ tersebut, mengikut neraca ulama’, bukannya neraca orang awam. Ulama’ dapat ditakrifkan sebagai:

  • Ulama’ ialah yang mengenali syariah Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah.
  • Ulama’ ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia, seperti disebutkan oleh al-Tabari dalam Jami‘ al-Bayan (3/327).
  • Ulama’ ialah ahli fiqh Islam dan fatwa berkisar daripada pendapat mereka di kalangan manusia yang mana mereka dikhususkan untuk istinbat hukum dan begitu prihatin dalam mendhabitkan qawaid halal daripada yang haram. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/7).
  • Ulama’ ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya:Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

(Surah al-Sajdah: 24)

  • Ulama’ ialah golongan yang masyarakat dan umat ini belajar dan bertafaqquh dalam ilmu agama yang kemudian menyampaikan dakwah serta peringatan.
  • Ulama’ ialah petunjuk kepada manusia yang sentiasa wujud di sepanjang zaman untuk membela agamanya.
  • Ulama’ ialah ketua Jemaah yang diperintahkan kita beriltizam dengannya dan melarang kita daripada berpisah daripadanya.

Mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah Ali ‘Imran: 18)

Persoalan seterusnya, bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya, ialah:

  • Dengan ilmu mereka.
  • Dengan kedalaman kefahaman mereka dalam bab syubhah sehingga dapat membezakan dengan jelas.
  • Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
  • Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
  • Mereka dikenali dengan mulianya mereka daripada dikalahkan oleh dunia.
  • Ulama’ dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak seyogia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Semoga dengan takrifan dan definisi serta pengenalan ulama’ ini maka sudah pasti masyarakat benar-benar akan mengenali dhawabit ulama sejati. Kami tertarik dengan kenyataan ulama al-Azhar ketika kami berada di Kaherah yang menyebut: ‘Ilmu (علم), kemudian ‘Amal  (عمل) dan natijah daripada pelaksanaan kedua-duanya akan memperolehi Lama‘ (لمع) yang memberi makna bercahaya. Maksudnya orang yang berilmu dan beramal sentiasa dilihat sebagai pedoman kepada khalayak masyarakat. (Lihat Tinta Nasihat untuk Penuntut Ilmu, hlm. 39-42).

Menjawab persoalan di atas, amat tidak wajar seseorang memaki, menghina dan mencela ulama’ kerana kedudukan mereka di sisi Allah SWT adalah amat baik dan mulia. Dengan sebab itu, sebuah hadith menyebut bahawa Abu Darda’ pernah bertanya kepada seorang: Apakah kamu tidak datang untuk berdagang atau hajat keperluan lain-lainnya, betul-betul kamu tidak datang kecuali untuk belajar hadith ini? Jawabnya: Benar-benar saya tidak datang kemari kecuali untuk belajar hadith ini, maka Abu Darda’ berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الجَنَّةِ، وإنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا لِطالِبِ الْعِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ، وَإِنَّ العَالِمَ يَسْتَغْفِرُ لَهُ كُلُّ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الْأَرْضِ وَالْحِيْتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ. وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ القَمَر لَيْلَةَ البَدْر عَلَى سائر الْكَوَاكِب. وَإِنَّ العُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِرْهَمَا وَلاَ دِيْنَارًا وإنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّ وَافِرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang berjalan di jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan dari jalan-jalan syurga. Dan malaikat selalu menghamparkan sayapnya untuk menaungi orang yang menuntut ilmu kerana reda dengan apa yang dilakukan. Dan orang alim itu diminta agar diampunkan oleh penduduk langit dan bumi dan ikan-ikan di dalam air, dan kelebihan seorang alim terhadap ahli ibadat sebagaimana kelebihan bulan purnama terhadap bintang-bintang yang lain. Dan ulama itu sebagai pewaris Nabi-nabi, dan Nabi-nabi itu tidak mewariskan harta perak atau emas, tetapi mereka mewariskan ilmu, maka siapa yang mendapatkannya bererti telah mendapat bahagian yang sebanyak-banyaknya.”

Riwayat al-Tirmizi (2682), Abu Daud (3641) dan Ibn Hibban (88)

Justeru, ulama yang menjadi pewaris nabi berada di kedudukan yang amat mulia. Maka, tidak sewajarnya kita menghina dan memperlekehkannya. Benar, mereka tidak maksum, tetapi kesungguhan mempelajari ilmu, mengajar dan mendidik ummah serta menyuruh perkara yang baik adalah sifat yang terpuji yang digalakkan oleh islam. Dengan sebab itu, Allah SWT mengangkat darjat mereka berdasarkan kepada nas yang telah disebutkan dalam banyak hal.

Seterusnya, berkenaan punca gejala menghina ini berleluasa di zaman kini pula, secara ringkasnya adalah disebabkan:

  1. Kejahilan
  2. Taasub yang tercela.
  3. Terpengaruh

Sejarah membuktikan, penghina dan orang yang mencerca dan merendahkan para ulama’ diakhiri dengan balasan yang buruk. Di mana Allah SWT mendatangkan bala kepadanya. Bukan itu sahaja, kehidupannya juga akan menjadi sempit dan sukar.

Daripada Ibn Asakir, katanya: “Ketahuilah wahai saudaraku, semoga Allah taufikkan kami dan kamu untuk mendapat keredhaannya dan menjadikan kami mereka yang takut dan bertaqwa kepadanya dengan sebenar-benar. Bahawa daging-daging ulama Rahimahumullah itu beracun dan adat Allah dalam menjatuhkan sitar atau kain dinding yang menghina mereka amat maklum. Ini kerana, mereka yang terbabit dalam menghina ulama’ sedangkan para ulama’ berlepas diri adalah perbuatan dan perkara yang amat besar. Sementelahan lagi menghina maruah mereka dengan ucapan dusta, tipu daya dan pembohongan mengakibatkan kesudahan yang amat dahsyat.” (Lihat Tabyin Kazib al-Muftari, hlm 29-30).

Terdapat seorang ulama Rabbani, bila mana dia dihina banyak kali dia sabar dan tidak ada masalah, sehinggalah suatu ketika dia menyampaikan khutbah, orang tetap kata kepadanya, dia terus sabar sampailah akhirnya dia berdoa, “Ya Allah lindungilah aku daripada kejahatannya.” Tidak berapa lama orang yang menghina dan mengata kepadanya itu mengalami kelumpuhan lalu meninggal dunia. Hal ini benar-benar berlaku dalam sejarah. Jadi, jangan kita hina dan merendah-rendahkan ulama’ kerana mereka adalah pewaris para nabi.

Kita boleh berkhilaf dengan mana-mana ulama’ dari segi pendapat, akan tetapi jangan sampai dibawa ke dalam hati dengan membenci dan  dendam kesumat. Maka, ini tidak boleh. Sebagaimana kata Ibn al-Qayyim dalam kitabnya bahawa:

شَيْخُ الإِسْلَامِ حَبِيبٌ إِلَيْنَا، وَالحَقُّ أَحَبُّ إِلَيْنَا مِنْهُ

Maksudnya: “Syeikh al-Islam ialah orang yang kami kasihi, akan tetapi kebenaran itu adalah lebih kami kasihi daripadanya.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/262)

Begitulah juga sebagaimana Imam al-Syafi‘i amat mengasihi Imam Malik, tetapi banyak pandangannya yang amat berlainan dengan Imam Malik. Sekalipun begitu sedikitpun hal itu tidak mengurangkan rasa hormatnya atau penghormatan kepada gurunya, Imam Malik itu. Begitulah juga ulama’-ulama’ lain sesama mereka. Mereka ini tidak ada sampai membenci mahupun dendam kesumat lebih daripada orang lain, sebaliknya mereka sayang bahkan mereka menjunjung apa yang disebut dalam al-Quran al-Karim:

وَالَّذِينَ جَاءُوا مِن بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.’

(Surah al-Hasyr: 10)

Jadi dengan sebab itu kita sepatutnya berdoa, “rahimahullah.” Sebab itu, orang Arab selalu kata, “hadahullah (Semoga Allah beri petunjuk kepadanya).” Itulah adab dan akhlak. Sebab itu dalam Islam ada disebutkan adab al-Khilaf. Bila kita faham berkenaan hal ini, maka tidak ada masalah. Majma‘ al-Fiqh al-Islami menyatakan, untungnya apabila ulama berkhilaf, kerana di situ menjadi luasnya fiqh. Hal ini sebenarnya berbetulan dengan apa yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz bahawa kami seronok dengan khilafnya para sahabat, kalau tidak hidup kita dalam keadaan kesempitan kerana sependapat sahaja.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Leave a Reply