Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Pandangan mengenai ustaz atau ustazah yang suka bertiktok atas alasan untuk menyampaikan ilmu, tetapi sampai ada menyelit tarian dan nyanyian. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menjelaskan terlebih dahulu serba sedikit berkenaan aplikasi tiktok. TikTok ialah perkhidmatan rangkaian media sosial milik ByteDance mengkhusus kepada perkongsian video pendek mencakupi tarian, nyanyian segerak bibir, komedi, dan bakat dalam durasi sesingkat 3 saat sehingga ke 10 minit. Aplikasi ini mempunyai versi khusus yang digunakan di Republik Rakyat China bernama Douyin dengan pelayan berasingan di negara tersebut untuk mematuhi sekatan penapisan China. Aplikasi ini dilancarkan pada 2017 untuk iOS dan Android di pasaran di luar China.
Aplikasi ini popular di Asia, Amerika Syarikat, dan bahagian lain di dunia. TikTok ialah aplikasi yang paling dimuat turun di Amerika Syarikat pada Oktober 2018, aplikasi China pertama untuk mencapai matlamat ini. Sehingga 2018, ia boleh didapati di lebih daripada 150 pasaran dan dalam 75 bahasa. Pada Februari 2019, TikTok dan Douyin bersama meraih satu bilion muat turun secara global tidak termasuk pemasangan Android di China. Pada tahun 2019, TikTok diisytiharkan sebagai aplikasi mudah alih ketujuh yang paling dimuat turun pada dekad 2010-an, iaitu dari tahun 2010 hingga 2019.[1]
Secara umumnya sebarang aplikasi media sosial termasuklah tiktok adalah diharuskan lebih-lebih lagi jika ia digunakan untuk perkara yang bermanfaat dan tidak terdapatnya perkara-perkara yang menyalahi syarak. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Dalam erti kata lain, pengguna yang bertanggungjawab dalam mengurus dan memandu penggunaan aplikasi tersebut sama ada kepada jalan yang bermanfaat mahupun jalan yang membawa kerosakan kerana semua aplikasi tersebut hanyalah sebagai medium ataupun wasilah dalam menyampaikan sesuatu. Jadi, hukum asalnya adalah harus selagi mana ia digunakan kepada jalan yang bermanfaat dan tidak mengandungi perkara yang menyalahi syarak, serta boleh berubah kepada hukum lain tertakluk kepada cara pengguna mengendalikannya.
Manakala berdakwah atau menyampaikan ilmu termasuk dalam perkara yang dituntut, khususnya kepada para ulama. Firman Allah SWT:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌۭ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh manusia berbuat makruf serta melarang mereka daripada segala perkara mungkar. Dan mereka itulah golongan yang berjaya.”
(Surah Ali ‘Imran: 104)
Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa dakwah kepada Allah bersifat fardu kifayah di setiap kawasan dan wilayah. Sekiranya ada orang yang melaksanakan tanggungjawab dakwah ini, maka baki yang lain tidak lagi diwajibkan dan ia menjadi sunat muakkad. Jika tidak ada orang yang memikul tanggungjawab ini dengan sempurna, maka semua penduduk di kawasan dan wilayah tersebut berdosa. Oleh itu, ia menjadi wajib kepada setiap orang untuk memikulnya mengikut kadar kemampuan masing-masing.
Sebahagian ulama pula menyebut bahawa dakwah ialah fardu ain kepada para rasul A.S dan ulama yang faqih, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
Maksudnya: “Sampaikan daripada aku walaupun satu ayat.”
Riwayat al-Bukhari (3461)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dibolehkan dan tidak menjadi masalah untuk menyampaikan ilmu melalui medium media sosial seperti tiktok, facebook dan lain-lain, dan juga seumpamanya seperti radio, televisyen, surat khabar, internet dan lain-lain. Hal ini kerana aplikasi tiktok dan seumpamanya itu hanyalah bertindak sebagai wasilah ataupun medium dalam menyampaikan ilmu tersebut. Justeru, para ahli ilmu perlu bijak dan kreatif dalam menggunakan kemudahan yang ada ini untuk menyampaikan risalah Allah SWT ini, supaya capaian dakwah dapat lebih meluas lagi.
Adapun persoalan berkaitan ada diselitkan tarian dan nyanyian, pada asasnya kedua-dua perkara ini termasuk dalam hiburan. Secara umumnya, Islam tidak menghalang umatnya daripada berhibur. Akan tetapi hiburan di sisi Islam perlu disuluh dan dipandu mengikut nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam, serta tidak mengandungi perkara-perkara yang dilarang ataupun bertentangan dengan agama. Selain itu, pada dasarnya, Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.
Ini berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا يَوْمَ فِطْرٍ أَوْ أَضْحًى، وَعِنْدَهَا قَيْنَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَعَازَفَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثٍ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ؟ مَرَّتَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا اليَوْمُ
Maksudnya: “Abu Bakar masuk menemuinya dan Nabi SAW berada di sisinya (Aisyah) pada Hari Raya Aidilfitri atau (Aidil) Adha. Di sisinya (Aisyah) ada dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu yang dinyanyikan kaum Ansar pada hari (perang) Bu‘ath. Maka Abu Bakar berkata: ‘Seruling syaitan? Beliau mengucapkannya sebanyak dua kali. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya, dan hari raya kita adalah hari ini.’”
Riwayat al-Bukhari (3931) dan Muslim (892)
Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati dibolehkan dalam Islam. Ini adalah seperti mana dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 273)
Selain itu, berkenaan hiburan ini juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam Muzakarah kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membuat beberapa ketetapan sebagai panduan kepada semua pihak sama ada penganjur atau penonton berkaitan hiburan iaitu:
- Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
- Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka hukumnya adalah haram.
- Pancaragam atau alat muzik yang melalaikan seperti lalai menunaikan solat dan sebagainya hukumnya haram.
- Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
- Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.[2]
Tambahan lagi, berhubung dengan hiburan ini juga, di sana terdapat garis panduan telah dikeluarkan bagi memastikan hiburan tersebut mencapai maksud dan selari dengan prinsip Islam. Antara garis panduan tersebut adalah berkenaan persembahan muzik dan tarian, iaitu:
Persembahan Muzik
- Tidak menimbulkan gerak geri liar.
- Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
- Tidak melalaikan.
Persembahan Tarian
- Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
- Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
- Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
- Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
- Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.[3]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan dan tidak menjadi masalah bagi seseorang ustaz mahupun ustazah menyampaikan ilmu melalui tiktok kerana aplikasi tiktok hanyalah berfungsi sebagai salah satu medium penyampaian seperti mana radio, televisyen dan lain-lain, selagi mana ia tidak melibatkan perkara yang dilarang dalam syarak.
Adapun perbuatan diselitkan tarian dan nyanyian dalam penyampaian tersebut, kami berpendapat dan merasakan tidak sepatutnya begitu. Ini kerana sekalipun tarian dan nyanyian itu diharuskan hukumnya, jika ia memenuhi garis panduan yang ditetapkan dan tidak mengandungi perkara-perkara yang menyalahi syarak seperti percampuran antara lelaki dan wanita sekalipun secara maya, menimbulkan fitnah dan syahwat, dan hal-hal seumpamanya, namun perbuatan menyanyi dan menari itu sendiri sebenarnya telah merendahkan dan menjatuhkan maruah dan martabat seorang ilmuan itu sendiri, yang telah ditinggikan oleh Islam. Bahkan juga telah menghilangkan nilai akhlak seorang Muslim sejati.
Nabi SAW bersabda:
أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا
Maksudnya: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”
Riwayat al-Tirmizi (11)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Nota Hujung:
[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/TikTok. Diakses pada 13 Mei 2024.
[2] Lihat https://www.facebook.com/DakwahJakim/photos/a.10150091927227398/10152346436742398/?type=3. Diakses pada 19 September 2023.
[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/assets/files/old-site/garis_panduan_hiburan_dalam_islam.pdf. Diakses pada 19 September 2023.