Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya suka memasang mp3 bacaan Al-Quran di kereta. Soalan saya bolehkah saya mengikuti bacaan mp3 tersebut dan apakah hukumnya?. Saya senang menghafal apabila mengikuti bacaan tersebut.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Selain itu, di antara kelebihan membaca al-Quran ianya boleh memberi syafaat ketika pada hari kiamat kelak. Ini seperti hadith yang diriwayatkan ole Abu Umamah RA bahawa ia mendengar Nabi SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, kerana sesunggunhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada sesiapa yang membacanya.”

Riwayat Muslim (804)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk memasang ayat al-Quran di dalam kereta untuk menghafaz atau mengulangi al-Quran. Bahkan, secara tidak langsung, kita mendapat pahala mendengar ayat suci al-Quran, serta membacanya, dengan syarat ia mengikutinya dengan betul, menghayati dan tidak bermain-main ketika membacanya.

Sekalipun begitu, jika seseorang itu dapat membaca al-Quran dengan khusyuk dan tenang sambil melihat mashaf dalam keadaan penuh adab, maka itulah yang paling baik dan afdhal. Apatah lagi membaca al-Quran termasuk dalam ibadah dan sebaik-baik perkara, maka sebaik-baiknya berusahalah untuk mencapai kesempurnaannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahua‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Leave a Reply