Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum atau adakah dibolehkan memasang audio ayat suçi Al Quran di rumah ketika ingin meninggalkan rumah untuk beberapa hari.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-A’raf: 204)

Imam al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa, ayat ini diturunkan ketika Nabi SAW melakukan solat. Hal ini seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud RA menyatakan athar daripada Said RA menyebut: ketika golongan musyrikin datang seketika mana Rasulullah SAW mengerjakan solat, lalu mereka bersembang sesama mereka dan tidak mendengari bacaan al-Quran dengan percakapan yang lagha bertujuan mengganggu Baginda SAW dalam mengerjakan solat. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/353-354)

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فِيهِ سُورَةُ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu umpama kubur. Sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah.”

Riwayat Muslim (780)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah untuk memasang ayat al-Quran ketika keluar rumah selagi mana ada tujuan kerana adabnya, al-Quran itu dibuka untuk didengari dan dihayati. Oleh sebab itu, apabila kita sudah selesai membaca al-Quran, kita disunatkan untuk tutup mushaf tersebut. Namun, perkara yang lebih utama adalah kita sendiri yang melazimi membaca al-Quran. Hal ini agar kekuatan dalaman kita menjadi kuat dan teguh. Begitu juga, dinasihatkan apabila kita memasang bacaan ayat al-Quran di dalam rumah, sewajarnya kita menyantuni juga jiran tetangga agar tidak mengganggu jiran di sekeliling rumah kita.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply