Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, yang mana lebih baik, sedekah kepada masjid atau sedekah kepada adik-beradik?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Di antaranya, orang yang bersedekah akan diganjari dengan pahala yang banyak.
Firman Allah SWT:
مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍۢ مِّا۟ئَةُ حَبَّةٍۢ ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ ٢٦١ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَٰلَهُمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَآ أَنفَقُوا۟ مَنًّۭا وَلَآ أَذًۭى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
(Surah al-Baqarah: 261-262)
Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526).
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ، وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ، وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ، أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ
Maksudnya: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”.
Riwayat Muslim (995)
Imam al-Nawawi RA berkata bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Nabi SAW memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7. [Lihat al-Minhaj, 86/7]
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya keluarga kita dalam keadaan susah, maka perlu diutamakan sedekah kepada ahli keluarga berbanding pihak lain. Namun begitu, tidak salah untuk sedekah sedikit kepada masjid sekiranya ada lebihan wang kerana sedekah itu tidak mempunyai had minimum atau maksimum tetapi mengikut keikhlasan kita dalam memberi.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Wallahua’lam.