Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Pagi tadi, saya pergi solat jenazah di masjid. Dan kemudian saya mengiringi jenazah ke perkuburan Bukit Kiara. Datang seorang ulama yang solat bersama sebilangan jemaah kecil. Saya sekali lagi solat jenazah bersama imam tersebut. Adakah dibolehkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangimu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Rasulullah SAW pernah solat di kubur. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَ يَقُمُّ المَسْجِدَ فَمَاتَ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ، فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ – أَوْ قَالَ: قَبْرِهَا – فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا

Maksudnya: “Ada seorang lelaki berkulit hitam atau perempuan berkulit hitam yang selalu menyapu (membersihkan) masjid meninggal dunia. Lalu Nabi SAW bertanya mengenainya. Mereka menjawab: ‘Dia telah meninggal dunia.’ Baginda SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memberitahuku. Tunjukkan kepadaku di mana kubur lelaki itu.’ – Atau Baginda bersabda: ‘Kubur perempuan itu.’ – Lalu Baginda SAW menziarahi kuburnya dan bersolat jenazah ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (458)

Nas ini menunjukkan, walaupun mayat telah dikebumikan, jika seseorang mengetahui, maka hukumnya adalah dibolehkan untuk solat di perkuburan. Berkenaan solat dua kali, kami berpendapat hukumnya adalah harus bagi yang kedua, bahkan sebagai memuliakan jemaah yang solat, lantas ia menyertai jemaah tersebut.

Menurut Imam Khatib al-Syarbini menyatakan bahawa:

 (وإذا صلي عليه (أي الميت) فحضر من (أي شخص) لم يصل (عليه) صلى (عليه ندبًا؛ لأنه صلى الله عليه وآله وسلم صلى على قبور جماعة، ومعلوم أنهم إنما دفنوا بعد الصلاة عليهم، وتقع هذه الصلاة فرضًا كالأولى، سواء أكانت قبل الدفن أم بعده، فينوي بها الفرض كما في (المجموع) عن المتولي ويثاب ثوابه) اه

Maksudnya: Sekiranya jenazah telah disolatkan kemudian hadir orang yang belum solat ke atas jenazah tersebut, maka disunatkan solat sunat ke atas jenazah itu kerana Nabi SAW pernah solat di sisi kubur secara berjemaah, seperti yang sedia maklum mereka hanya mengebumikan (jenazah) setelah solat ke atasnya. Solat ini dikira fardu sepertimana solat yang pertama sama ada (solat dilakukan) sebelum pengebumian ataupun selepasnya. Oleh itu, seseorang itu berniat fardhu pada solat tersebut (jenazah) sepertimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Majmu’ yang dinukilkan al-Mutawalli dan dia diganjari dengan pahala solat fardhu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/51)

Dalam hal ini juga, Imam al-Nawawi menjelaskan di dalam kitabnya al-Majmu’, kata beliau:

إذَا صَلَّى عَلَى الْجِنَازَةِ جَمَاعَةٌ أَوْ وَاحِدٌ ثُمَّ صَلَّتْ عَلَيْهَا طَائِفَةٌ أُخْرَى فَأَرَادَ مَنْ صَلَّى أَوَّلًا أَنْ يُصَلِّيَ ثَانِيًا مَعَ الطَّائِفَةِ الثَّانِيَةِ فَفِيهِ أَرْبَعَةُ أَوْجُهٍ (أَصَحُّهَا) بِاتِّفَاقِ الْأَصْحَابِ لَا يُسْتَحَبُّ لَهُ الْإِعَادَةُ بَلْ الْمُسْتَحَبُّ تَرْكُهَا.

Maksudnya: Jika seseorang individu atau jemaah telah mendirikan solat jenazah ke atas seorang jenazah, kemudian terdapat jemaah yang lain yang mendirikan solat jenazah ke atas jenazah yang sama, adakah dibolehkan jika orang yang telah mendirikan solat tersebut ingin solat kali kedua bersama jemaah kedua? Terdapat empat pandangan. Pandangan yang paling sahih yang disepakati oleh para ulama mazhab al-Syafie bahawa tidak disunatkan untuk dia mengulangi kembali (solat jenazah), bahkan disunatkan untuk dia meninggalkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/246)

Walau bagaimanapun jika dia tetap melaksanakan solat jenazah bersama jemaah kedua tersebut, maka solatnya sah mengikut pandangan mazhab al-Syafie. Kata Imam al-Nawawi lagi:

فَعَلَى هَذَا لَوْ صَلَّى ثَانِيًا صَحَّتْ صَلَاتُهُ وَإِنْ كَانَتْ غَيْرَ مُسْتَحَبَّةٍ هَذَا هُوَ الْمَشْهُورُ فِي كُتُبِ الْأَصْحَابِ

Maksudnya: Berdasarkan apa yang telah diterangkan, jika dia tetap melaksanakan solat (jenazah) kali kedua, maka solatnya sah walaupun tidak disunatkan. Pandangan ini merupakan pandangan yang masyhur dalam kitab-kitab para ulama al-Syafie. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/246)

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Leave a Reply