Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah semut madu atau honeypot ant halal untuk dimakan? Bahkan saya ada melihat satu video di mana Gordon Romsay ada memakan madu dari semut berkenaan tanpa membunuh semut tersebut. Pautannya di sini: (https://www.youtube.com/watch?v=bsIvFsXnG90). Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas berkenaan semut madu atau honeypot ant ini. Semut honeypot, juga dikenali sebagai semut madu, ialah semut yang mempunyai pekerja khusus (repletes, plerergates, atau rotunds) yang memakan sejumlah besar makanan sehingga perut mereka membengkak dengan hebat. Semut lain kemudian mengekstrak khasiat daripada mereka, melalui proses trophallaxis. Mereka berfungsi sebagai larder (bekas simpanan makanan) hidup. Semut honeypot tergolong dalam mana-mana beberapa genera, termasuk Myrmecocystus dan Camponotus. Mereka pertama kali didokumentasikan pada tahun 1881 oleh Henry C. McCook, dan diterangkan lebih lanjut pada tahun 1908 oleh William Morton Wheeler.

undefined

Gambar di atas: Semut Madu atau Honeypot Ant (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Honeypot_ant#/media/File:HoneyAnt.jpg)

Banyak serangga, terutamanya lebah madu dan beberapa tebuan, mengumpul dan menyimpan cecair untuk digunakan di kemudian hari. Walau bagaimanapun, serangga ini menyimpan makanan mereka di dalam sarang mereka atau dalam sarang madu mereka. Namun, semut madu adalah unik dalam menggunakan badan mereka sendiri sebagai simpanan hidup, digunakan kemudian oleh semut sesama mereka apabila kekurangan makanan. Apabila cecair yang disimpan di dalam semut honeypot diperlukan, semut pekerja mengusap antena semut honeypot, menyebabkan semut honeypot memuntahkan semula cecair yang disimpannya itu.

Sarang Myrmecocystus ditemui dalam pelbagai persekitaran gersang atau separa gersang. Sesetengah spesies hidup di padang pasir yang sangat panas, yang lain tinggal di habitat peralihan, dan spesies lain boleh ditemui di kawasan hutan yang agak sejuk tetapi masih sangat kering untuk sebahagian besar tahun. Sebagai contoh, Myrmecocystus mexicanus yang dikaji dengan baik tinggal di habitat gersang dan separa gersang di barat daya Amerika Syarikat. Semut pekerja steril dalam spesies ini bertindak sebagai plerergate atau replete semasa masa kekurangan makanan. Apabila plerergate sepenuhnya membesar, mereka menjadi tidak bergerak dan tergantung dari siling sarang bawah tanah. Semut pekerja lain mengalirkan mereka dari tempat simpanan makanan cecair mereka untuk memberi makan kepada seluruh koloni. Plerergate boleh hidup di mana-mana sahaja di dalam sarang, tetapi di alam liar, mereka ditemui jauh di bawah tanah, tidak dapat bergerak, membengkak hingga sebesar buah anggur.

undefined

Gambar di atas: Semut madu atau Honeypot Ant berbanding tapak tangan manusia. (Sumber gambar: https://en.wikipedia.org/wiki/Honeypot_ant#/media/File:Honey_Ants_(7344580116).jpg)

Dalam Camponotus inflatus di Australia, replete membentuk 49% (516 semut) daripada koloni 1063 semut, dan 46% (1835 semut) daripada koloni 4019 semut. Koloni yang lebih kecil mengandungi enam ratu tanpa sayap. Koloni yang lebih besar mempunyai 66 bilik yang mengandungi replete, dengan maksimum 191 replete dalam satu ruang. Isi terbesar adalah 15 milimeter panjang dan mempunyai jisim 1.4 gram. Sarang itu mempunyai kedalaman maksimum 1.7 meter, dan terowong terbentang 2.4 meter dari pintu masuk sarang. Semut pekerja keluar mencari makan pada waktu siang untuk memungut nektar dari nektar Mulga, dan daging dari bangkai biawak berlidah biru Tiliqua.

Semut honeypot seperti Melophorus bagoti dan Camponotus spp. adalah serangga yang boleh dimakan dan menjadi sebahagian daripada diet pelbagai Orang Asli Australia. Orang-orang ini mengikis permukaan untuk mencari terowong menegak semut, dan kemudian menggali sedalam dua meter untuk mencari semut honeypot. Papunya, di Wilayah Utara Australia, dinamakan sempena kisah penciptaan semut madu, atau Dreaming, yang dimiliki oleh penduduk di sana, seperti Warlpiri. Semut madu diraikan dalam Mural Semut Madu karya Western Desert Art Movement, yang dilukis pada tahun 1971.[1]

Hukum memakan semut madu

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikan perbahasan kepada dua iaitu memakan semut madu itu sendiri dan madu yang diekstrak daripada semut. Pertamanya, berkenaan memakan semut, pada asasnya, semut termasuk dalam jenis haiwan yang haram dimakan kerana kerana ia termasuk dalam jenis serangga atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah. Justeru ia dianggap jijik dan kotor, serta tabiat semula jadi manusia menjauhinya. Ini merupakan pendapat dalam mazhab Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan Daud sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2793; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/15-16)

Pengharaman ini adalah selari sebagaimana firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi “الطَّيِّبَاتِ” ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan “الْخَبَائِثَ” pula bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83)

Malah Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Begitu juga, Ibn Hazm al-Zahiri juga berpendapat bahawa tidak halal untuk makan siput daratan dan juga apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat (iaitu serangga atau haiwan kecil yang melata) seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam jenisnya kerana haiwan-haiwan itu tidak boleh disembelih. Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada haiwan tersebut sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya. Oleh itu, ia adalah haram untuk dimakan kerana terdapatnya halangan bagi memakannya — yakni tidak boleh disembelih — kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan. (Lihat al-Muhalla, 6/77).

Tambahan lagi, terdapat larangan daripada membunuh semut sebagaimana hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ قَتْلِ أَرْبَعٍ مِنَ الدَّوَابِّ: النَّمْلَةِ، وَالنَّحْلَةِ، وَالْهُدْهُدِ، وَالصُّرَدِ

Maksudnya:Rasulullah SAW melarang daripada membunuh empat binatang yang melata iaitu semut, lebah, hud-hud dan al-Surad (sejenis burung lang).

Riwayat Ahmad (3066). Menurut Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut, hadith ini adalah sahih.

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dengan menukilkan daripada Imam al-Syafi‘i dan ashabnya — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — yang menyebutkan bahawa apa-apa haiwan yang dilarang daripada membunuhnya, hukumnya adalah haram untuk dimakan kerana jika ia adalah halal untuk dimakan, maka sudah tentu tidak akan dilarang daripada membunuhnya sebagaimana tidak dilarang untuk membunuh — yakni menyembelih — haiwan yang halal untuk dimakan. Contohnya ialah semut dan lebah, kedua-duanya adalah haram untuk dimakan — kerana terdapat larangan daripada membunuhnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/22).

Keduanya, berkenaan madu yang diekstrak daripada semut tersebut. Jika madunya dapat diekstrak dan dimakan tanpa perlu membunuh mahupun memakan semutnya, maka ia adalah diharuskan kerana madu termasuk dalam jenis cecair yang suci. Selain itu, menurut ulama mazhab Syafi‘i apa-apa cecair yang terpisah daripada bahagian dalam haiwan dan ia tidak termasuk dalam bahagian dalam haiwan tersebut (yakni tidak bersekali dengannya), melainkan hanya meleleh atau merembes seperti air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukumnya adalah mengikut hukum haiwan itu. Sekiranya haiwan tersebut najis, maka ia juga akan dikira sebagai najis, dan sekiranya tidak, maka ia adalah suci. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/85).

Tambahan lagi, al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa tidak ada bezanya pada peluh, air liur, hingus dan air mata antara orang berjunub, perempuan haid, orang yang suci, Muslim, kafir, baghal, keldai, kuda, tikus dan seluruh haiwan buas serta haiwan yang melata. Bahkan semuanya adalah suci dan daripada setiap haiwan yang dihukum sebagai suci kecuali babi dan anjing serta yang lahir daripada keduanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/559).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa semut madu atau honeypot ant ini adalah haram untuk dimakan. Hal ini kerana terdapat larangan daripada membunuh semut berdasarkan nas yang sahih. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Selain itu juga, ‘uruf atau adat masyarakat Islam di negara kita melihat semut, tidak kira apa jenisnya sekalipun termasuk dalam haiwan yang dianggap jijik untuk dimakan, maka ini menguatkan lagi hujah yang menunjukkan kepada pengharamannya. Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Namun, sekiranya madu itu dapat diekstrak daripada semut tersebut tanpa perlu memakannya mahupun membunuhnya, maka madu itu adalah diharuskan untuk dimakan kerana ia bukanlah sesuatu yang najis.

Akhirnya, kami juga ingin menyarankan dan menasihati kepada semua bahawa penjelasan mengenai isu-isu halal terutamanya melibatkan produk-produk dan lain-lain, sebaiknya hendaklah merujuk kepada badan berautoriti dalam negara kita, iaitu Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Honeypot_ant. Diakses pada 15 Mei 2024.

Leave a Reply