Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hukum troll di media sosial dan  mempermain-mainkan ayat al-quran dengan menulis dalam bahasa melayu atau inggeris semata-mata ingin mendapat perhatian? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218); Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581).

Begitu juga al-Quran merupakan sebuah kitab hidayah yang membawa manusia kepada jalan yang benar, yang membezakan di antara perkara yang benar dan perkara yang batil. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

 شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan perbuatan mempermain-mainkan ayat suci al-Quran seperti yang tular di media sosial adalah perbuatan yang melampau dan boleh membawa kepada kekufuran. Perbuatan ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia menyentuh sensitiviti agama dan boleh menyebabkan orang yang melakukannya terkeluar daripada Islam jika tidak bertaubat dengan sungguh-sungguh.

Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَـٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ

Maksudnya: Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.” Katakanlah, “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?”

(Surah al-Taubah: 65)

Ayat ini turun kepada sebahagian orang munafik ini sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya, katanya: “Abdullah ibn Wahab berkata: Hisyam bin Sa‘d mengkhabarkan kepadaku, daripada Zaid bin Aslam, daripada Abdullah bin Umar, katanya: “Seorang lelaki berkata ketika perang Tabuk dalam satu majlis, ‘Aku dapati para qurra’ kita (orang yang mahir membaca al-Quran dalam kalangan kita), adalah orang yang paling menjaga perut, paling pembohong dan paling pengecut apabila bertempur dengan musuh.’ Seorang lelaki yang berada di masjid ketika itu berkata, ‘Engkau pembohong, dan engkau adalah munafik! Aku pasti akan memberitahu Rasulullah SAW tentang hal ini.’ Lalu berita tersebut sampai kepada Rasulullah SAW, lalu ayat di atas diturunkan.” Abdullah bin Umar berkata: “Aku melihat lelaki itu bergantung pada tali kekang unta Rasulullah SAW dan batu terkenanya, sambil dia berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami hanya bergurau dan bermain.’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Adakah dengan Allah dan Rasul-Nya kamu mempersendakan? Janganlah kamu memohon kemaafan, kerana kamu telah kufur selepas keimanan kamu.’” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/171)

Menurut imam al-Nawawi, perbuatan mempersendakan agama bagi seorang muslim adalah haram bahkan boleh membawa kepada murtad. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/293)

Ibn Hajar al-Haitami pula menyatakan, perbuatan tersebut merupakan suatu bentuk daripada dosa-dosa besar. Persendaan terhadap agama itu termasuklah mempersendakan nama Allah SWT atau Nabi SAW, mempermainkan perintah dan larangan-Nya. Hal ini sebagai contoh apabila seseorang berkata “Jika Allah memerintahkan kepadaku begini dan begitu maka tidak akan aku lakukan” atau “Jika kiblat arahnya sedemikian tidak akan aku solat menghadapnya” dan sebagainya daripada bentuk-bentuk yang mempersendakan agama. (Lihat al-Jawazir ‘an Iqtiraf al-Kabair, 1/48)

Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan bahawa; ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Justeru, kami menegaskan bahawa tindakan menghina dan memainkan ayat-ayat suci al-Quran adalah perilaku golongan munafiq yang harus diberikan peringatan keras. Ini kerana tindakan tersebut boleh membawa individu tersebut ke lembah kekufuran. Dengan ini, kami menasihati mereka yang kerap menghina ayat-ayat al-Quran untuk segera bertaubat dan memohon pengampunan atas dosa yang telah dilakukan. Bertaubatlah dengan penuh penyesalan dan berazam untuk tidak mengulangi tindakan tersebut. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang, dan Dia menerima taubat hamba-hamba-Nya yang benar-benar tulus. Selain itu, perbanyakkanlah amal ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah untuk memperbaiki diri serta menjauhi dari tindakan yang boleh membawa kepada dosa dan kekufuran.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

Wallahua’lam.

Leave a Reply